Kepada insan yang tidak kekok untuk saya panggil ayah,
ummi, kakak, abang, dan adik. Saya harap anda semua teladani nasihat ini.
Jangan jadi seperti saya.
Dahulu, saya ada seorang sahabat, boleh dikatakan kami
sangat akrab, terlalu akrab. Bahkan kami pernah berbincang, jika siapa antara
kami terlebih dahulu kembali ke Rahmatullah, maka yang masih hidup akan
memandikan jenazah. Berbincang tentang syurga, yang kami ingin saling bersebelahan,
kerana kami tak kuat untuk berjauhan. Indah, persahabatan syariat yang sangat
indah. Ketika ditanya di mana bermula persahabatan indah itu, saat inilah
baharu saya sedar, bahawa dia insan pertama yang mentasmi' hafazan surah al
Waqiah saya. Ya Allah, berseninya takdir yang Dikau ukir.
Bertahun lamanya kami meniti saat terindah dalam hidup,
sehinggalah tragedi 13 Ogos 2013 merubah segalanya 360 darjah. Daripada sahabat
yang sangat akrab menjadi, insan yang saling menjauhi. Ya Allah, tidak
terbayang bagaimana sakitnya hati saya ketika itu, kerana terpaksa berjauhan
dengan insan yang dahulunya umpama nyalir nyali nadi ini. Ya Allah, dugaan
apakah ini? Banyak dalam sujud saya menangis, teresak-esak, merengek bagai
bayi, meminta kekuatan, merayu kepada Tuhan, agar persahabatan ini kembali
terjalin. Apakah tragedi 13 0gos 2013 tersebut, biarlah diri insan yang
terlibat sahaja yang mengetahuinya.
Berminggu mendiamkan diri, melayan ego masing-masing,
saya sudah tidak tahan lagi. Peritnya derita hanya Allah yang tahu. Lalu, saya
pinta sebuah perbincangan, lantas pada suatu petang segala yang terbuku di
dalam dada saya luahkan, dan dia berbuat demikian juga. Alhamdulillah, hubungan
kembali terjalin. Ukhwah yang renggang bertaut kembali. Kami melayari lagi
hari-hari dengan kesederhanaan kasih sebagaimana yang dididik oleh Baginda
Rasulullah.
Namun, entah mengapa saya rasakan hubungan selepas
perbalahan itu tidak sama lagi. Kami akrab, namun tidak rapat. Dan, kejahatan
saya sendiri, mulut senang sahaja mencaci peribadi sahabat itu, tidak seperti
dahulu. Ya Allah, apa terjadi pada imanku, dan kesetiaanku pada persahabatan?
Lalu, saya jujur dengan diri sendiri, saya perlukan perhatian. Saya perlukan
balasan daripada pemberian, bukan sebagai membalas budi, namun cukuplah sekadar
untuk saya berasa dihargai. Ya, saya ingin dihargai. Saya ingin dia menelefon
saya setelah saya menelefon dia, saya ingin dia memulakan perbualan di SMS
setelah saya memulakannya, saya ingin dia mengajak saya keluar bersamanya,
setelah saya yang sering memulakan segalanya. Saya inginkan komitmen dia dalam
persahabatan. Kerana lemah dengan hasutan syaitan, saya berasa hubungan
persahabatan ini tidak adil. Lalu, hari demi hari saya menunggu sesuatu yang
saya sebut sebagai komitmen. Saya tagih komitmen itu saat demi saat, namun
seumpama menunggu bulan jatuh ke riba, sahabat itu juga diam, dan bungkam. Semakin
lama, masing-masing diam, terus diam, senyap, dan kini berjauhan. Kemesraan
terbang, hilang entah ke mana. Kekok, dan segan pula menyulami persahabatan
kami.
Di mana silap saya? Silap saya ialah saya tidak berusaha
untuk meluahkan bahawa saya inginkan komitmen dalam persahabatan ini secara
bersemuka. Saya hanya menulis di Facebook, dan blog mengenai perasaan saya, tanpa
memilih untuk berbincang. Saya buta, buta dengan ego, dan perasaan tinggi diri.
Saya banyak menghitung kebaikan saya untuk dia, sehingga terlupa dosa yang
pernah saya buat kepada dia. Ya Allah, sahabat jenis apa saya ini? Saban hari,
jika tidak di Facebook, dan blog, saya pilih orang lain untuk meluahkan rasa
tidak senang hati, sedangkan saya punya ruang untuk berjumpa, dan berbincang
dengan sahabat saya. Akhirnya, kami berpisah sebagai insan asing. Tanpa
bersalam, tanpa pelukan, kami berpisah, entah bila akan bertemu lagi.
Hari ini, hati saya tergerak untuk membuka akaun Tweeter
setelah didesak beberapa sahabat. Lebihlah saya kecewa, dia juga melakukan yang
sedemikian di akaun Tweeter miliknya. Lalu, saya lihat tarikh-tarikh dan status
yang ditulis, nyata dia sedang mengharungi kesakitan perpisahan sebagaimana
yang saya rasa, namun segalanya terluah di dinding Tweeter yang tidak bernyawa,
yang tidak punya perasaan. Sesal, memang ada sesalan yang berbuah di hati saya.
Namun, dalam kenyataan sebenar, Allah sedang mengukir sesuatu yang masih belum
jelas pada pandangan saya.
Kepada ayah, ummi, kakak, abang, dan adik, jika kalian
punyai masalah dalam perhubungan, berbincanglah. Jangan hanya menulis pada
dinding-dinding yang tidak bernyawa. Jangan kerana laman sosial, makna
silaturrahim yang sebenar mati, dan hilang. Berbincanglah, dalam perbezaan
carilah titik persamaan. Bawalah kenangan, dan pengalaman manis yang telah
terbina sebagai pengikat hubungan yang retak. Janganlah Facebook, dan Tweeter
membaham mangsa yang seterusnya.
Moga Allah mengampunkan dosa saya, dosa sahabat saya,
dan dosa kalian.
No comments:
Post a Comment