Friday, 22 November 2013

Perikatan Pantai Merang

Aku jarang jatuh cinta,
Namun cinta itu tertumpah di Pantai Merang.
Pantai yang riang,
Asyik menyanyi-nyanyi lagu sendiri.
Ketika nyanyian perlahan,
Aku faham bahawa bayu tenang,
Ketika nyanyian kuat,
Aku faham ketenangan kian hilang.

Apalah ada pada pantai itu?
Wajah yang suram air bergelombang,
Sejarah terukir teluknya menelan nyawa,
Lalu apalah yang ada
Sehingga aku jatuh cinta?

Aku bercinta dengan bahtera,
Bahtera ukhuwah yang teroleng di Pantai Merang,
Bergerak-gerak disapa badai kecil.
Layarnya tersulam kasih,
Haluannya ketaqwaan.
Maka bagaimana aku
Tidak jatuh cinta?

Bersama teman-teman,
Kami layarkan bahtera ini,
Merentasi banyak lautan,
Singgah di banyak pelabuhan,
Tidak sedikit ditimpa badai.
Namun,
Kerana menyedari di bahuku
Bersemi teman-teman mulia,
Perjalanan tidak mengenal mundur.

Namun,
Apalah daya yang aku ada?
Dalam banyak pelabuhan tersinggah,
Aku yang tertinggal.
Tertinggal sendirian,
Tertinggal kesepian.

Lantas aku,

Dimamah kerinduan Perikatan Pantai Merang.

2 comments: