Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Segala puji, puja, dan syukur kita rafakkan kepada Tuhan yang telah memberikan kita segala nikmat kehidupan. Dialah yang telah menebarkan rezeki buat semua kehidupan samada kehidupan yang seni-seni, mahupun hidupan yang besar-besar. Dialah yang melantunkan angin membelai lembut wajah kita, dan Dia jugalah yang menerjang segala badai sehingga kita diuji dengan ketakutan. Dialah yang Maha Agung, Maha Bijaksana, dan Dialah guru kepada sekalian guru, penghulu segala ilmu. Selawat, dan Salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad solallahualaihiwasallam, kaum kerabat Baginda, sahabat-sahabat Baginda, para ulama’ yang benar, para pemimpin yang adil, dan insan-insan yang sering merajutkan kerinduan kepada Baginda. Marilah kita sama-sama melafazkan alhamdulillah. Segala puji bagi Allah, yang telah menyantunkan dunia dengan penuh kesusilaan untuk kita semua menikmati, dan menggunakannya dengan sebaik mungkin.
Manusia terdiri daripada dua unsur yang digabungkan menjadi satu. Unsur ini dinamakan sebagai jasad dan roh. Keduanya saling melengkapi bagi melahirkan makhluk Tuhan yang melata di atas muka bumi. Umpama gandum dengan air. Jika gandum dibiarkan kering, maka kekallah ia dinamai gandum, jika air dibiar tenang, maka kekallah ia bernama air. Namun, jika keduanya diadun dengan baik, makanya jadilah ia makanan, suatu yang berguna buat tubuh manusia. Sejak zaman berzaman, jika tubuh mengalami sebarang masalah, maka doktor atau bomoh akan dijadikan rujukan bagi menyembuhkan penyakit. Manakala, jika roh ataupun jiwa saat ditimpa kesakitan akan dirujuk kepada bomoh juga, namun kebiasaannya akan dirawat kononnya dengan bantuan kuasa lain, yang akhirnya menjadi punca kepada masalah syirik dan khurafat.
Hasrat manusia untuk mencari perlindungan kemudian bermula dengan mencari Tuhan. Maka disembahlah pepohon, sungai, matahari, bulan, bahkan haiwan, (animisme) dengan hasrat bahawa unsur itu mampu menjadi pelindung kepada diri mereka. Inilah bukti bahawa fitrah manusia yang ingin bertuhan, bukan sahaja wujud hari ini, bahkan sejak bermulanya zaman. Islam kemudian datang dengan meniup angin kebahagiaan hingga memasuki lorong-lorong terkecil ruang alam jagat. Umpama embun yang memekarkan bunga, begitulah Islam datang, dan memekarkan jambangan fitrah ketuhanan yang satu, Allah subhanahuataala.
Diajarkan kepada manusia mengenai Allah, sang Pencipta alam dunia, dan syurgaloka. Dialah yang wajib disembah, Dialah yang wajib ditaati, dan Dialah yang wajib ditakuti. Kerana manusia ini hidup tanpa arah tujuan, dilahirkan insan yang menyampaikan kata firmanNya kepada ummat manusia. Itulah Muhammad, jurutera utama dalam aspek pembinaan modal insan. Al Quran yang dijadikan sumber rujukan telah melahirkan insan-insan agung yang digeruni di seluruh dunia, bahkan dikagumi oleh makhluk dunia dan makhluk akhirat. Nama-nama seperti Abu Bakar, Uthman, Umar, Ali, Hamzah, Sultan Sulaiman al Kanuni, Sultan Muhammad al Fateh, Umar Abdul Aziz, bahkan ribuan lagi nama terkemuka, semuanya bermula melalui didikan acuan al Quran dan as Sunnah. Bagaimana mereka boleh hebat dengan al Quran, sedangkan kita hari ini ragu-ragu dengan al Quran. Bila hadis dibaca, Quran diperdengarkan, hati hilang rasa getar. Jangan dibandingkan iman sahabat dengan iman kita, debu tapak kaki kuda yang menyeberang pedang bersilang arus pada medan Badar, Uhud, dan Khandak, belum tentu mampu kita lebihi kemuliaannya. Kasihan al Quran. Kasihan hadis. Sayunya hati Rasulullah. Dengan darah dan jerih Baginda usahakan, kemudian sampai kepada kita, semuanya diabaikan. Usahkan difahami, dibaca dengan teliti itupun bukan setiap hari. Muhasabahlah diri, kerana hidup mesti mati, kerana matilah jalan untuk bertemu Ilahi. Allah.
Sempana ramadhan yang datang saban tahun, sebagai kurniaan Tuhan untuk ummatnya kembali mengangkat darjat yang hilang pada sebelas bulan yang lalu, maka perbanyakkanlah diri kita membaca al Quran. Hayatilah setiap makna, dan khabar dari Tuhan. Insya Allah, kita akan faham apa itu Islam sebenarnya, dan ke mana Islam hendak membawa kita. Adakah pada puncak dunia, atau pada bangunan tinggi mencakar awan, atau pada duit yang berkoyan? Semuanya sudah dijawab Tuhan, hanya baca dan faham, hati yang gundah menjadi tenang, terlerailah setiap simpulan yang kusut pada fikiran. Firman Allah:
Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara hak dan yang bathil) – Al Baqarah ayat 185.
Dalam meniti waktu yang tinggal hanya beberapa jam untuk bertemu pada bulan yang penuh rahmat ini. Terasa getar ketakutan berlari pada segenap urat nadi. Takut, jika tiada kesempatan bertemu dengan bulan yang dirindui. Sebelas bulan berpisah, manakan ada kekasih mampu menahan rindu pada buah hatinya yang bayang-bayangnya sudah timbul, namun jasadnya belum diperlihatkan. Mohon pada Tuhan, panjangkanlah usia ini untuk bertemu ramadhan. Sekiranya inilah ramadhan yang penghabisan, biarlah penghabisan itu dalam ramadhan. Umpama kekasih yang wafat, dalam ribaan buah hatinya.
Akhirnya, saya mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf kepada semua pihak seandainya ada laku yang telah mengguris hati, ada sikap yang terlalai, ada kata yang menusuk hati. Maafkan kesalahan hamba, moga Tuan hidup dalam keberkatan. Kepada semua warga IPG KDRI, salam Ramadhan al Mubarak. Moga ramadhan yang ini dijagai dengan sempurna, hidupkanlah ia dengan sunnah, usah lagi membina permusuhan, ataupun fitnah memfitnah. Jadikan Ramadhan sebagai bulan untuk kita kembali mengangkat darjat diri. Umpama setahun bermandi lumpur, sekarang langit sudah mendung, gamaknya hujan tidak lama lagi, dapatlah kulit tersentuh air, bersihkan diri, bersihkan hati.
Salam Ramadhan 1432 Hijrah. Selamat Berpuasa. Maaf Zahir dan Batin.
Mohd Nurhafizu Adha Bin Shamddin
Yang di Pertua
Jawatankuasa Perwakilan Pelajar
Institut Pendidikan Guru
Kampus Dato’ Razali Ismail
Kuala Terengganu
No comments:
Post a Comment