Wednesday, 20 November 2013

Pechah Rotan Yang Sederhana

Perdesaan kecil di hujung kota,
Bersimpuh ketenangan bernama permai,
Mengalir kebahagiaan bernama damai.

Perdesaan kecil di hujung kota,
Berwajah sederhana penuh makna,
Di kiri dan kanan,
Tanah tidak tersisa
Melainkan tumbuh subur kurniaan yang Esa.

Aku menjejaki perdesaan itu,
Dengan perasaan ingin tahu.
Sebelumnya hanya cerita bertalu-talu,
Kini ketenangan itu di hadapanku,
Sebuah kesederhanaan tanpa lagu,
Belum cuba sudah pasti akan rindu.

Pechah Rotan,
Perdesaan kecil yang tua,
Dari jalan denai berselut merah,
Kini berturap bertambah mudah.
Namun,
Kesederhanaan itu kekal,
Tidak seperti jalan, dan rumah.

Rakyatnya cukup dengan sedikit,
Mencari lebih tidak membukit,
Sekadar ada biar tercuit,
Hidup dengan penawar dalam dunia yang sakit.

Sebuah desa sederhana di hujung kota,
Aku sentiasa rindu pada angin pagi yang segar,
Pohon getah kiri dan kanan jalan,
Dan lebih aku rindu,
Kerajinan rakyat mengerjakan tanah TuhanNya.

Pechah Rotan yang sederhana,
Aku pasti kembali,
Kerana di tanah subur itu,
Telah menumbuhkan cinta yang kuat.
Sungguh tidak ku temui lagi cinta itu,
Akan tetap ku lawat,
Melihat tempat berbekas
Tunas kasih yang mekar dalam jiwaku.


Nurhafizu Adha

No comments:

Post a Comment