Tuesday 28 January 2014

Malam Bicara Pemimpin Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail 2014; Satu Analisis.


Malam Bicara Pemimpin (MBP) merupakan malam pertama, dan terakhir kita semua akan mendengar hujah bicara, seorang individu yang terpilih sebagai calon Ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP). Mereka mengutarakan pandangan, dan pendirian secara umum; memberi penjelasan yang ringkas, demi mengaut kepercayaan daripada pengundi. Saya berada di sana, dalam misi memahami MBP dari kaca mata orang luar, dan bukannya pengundi. Alhamdulillah, setelah menghubungi pihak Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus (JPRK), saya berada di sana secara sah, dan membuat pemerhatian secara menyeluruh mengenai MBP.

Secara keseluruhan, MBP telah dilaksanakan dengan baik oleh jentera JPRK. Sejujurnya saya terharu, kerana JPRK sudi melaksanakan MBP tahun ini menggunakan model baharu MBP yang telah dicetuskan oleh JPRK tahun 2013. Dan, lebih saya syukuri kerana beberapa penambahbaikan telah diadakan, selari dengan keadaan semasa yang menuntut para guru pelatih untuk sentiasa berfikir secara kritis, kreatif, inovatif, dan optimis. MBP tahun ini membuktikan bahawa guru pelatih sentiasa berada dalam arus dinamik positif, yang boleh dilentur namun tidak boleh dimanipulasi. Tahniah!

Calon-calon yang berucap pada MBP wajar diberi penghargaan, dan pujian atas keberanian, serta kecekalan yang telah ditonjolkan. Beberapa calon khususnya, wajar diberi penghormatan atas idea mengubah formaliti MBP dengan sesuatu yang kreatif, namun masih berada tepat pada landasan idea kepimpinan. Walau bagaimanapun, memahami dan menganalisis MBP secara mendalam, akan memperlihatkan beberapa kekurangan dalam hujah para calon. Sebahagian calon dilihat gagal memahami portfolio-portfolio yang mereka tandingi. Saya terkejut apabila ada calon yang telah mengemukakan manifesto yang jelas melanggar Perkara 8, Jadual Ketiga Akta 174. Akan tetapi, saya akan memberi penghormatan paling besar sekiranya ada dalam kalangan JPP yang mampu meminta pihak berkuasa, menyemak kembali Perkara 8, Jadual Ketiga, Akta 174 tersebut, lantas mampu memindanya demi kebaikan bersama.

Analisis hujah para calon hanya menyentuh permukaan yang sangat hambar. Kebanyakan ucapan gagal menambat keyakinan para pengundi, tanpa menidakkan adanya ucapan-ucapan, dan gaya pemimpin yang sangat berani, lantas memaparkan komitmen diri. Beberapa isu telah berjaya disentuh dengan baik, namun tidak membumi. Saya tertarik dengan isu tuntutan penyamarataan elaun, dan isu barang pos. Saya kira keadaan akan menjadi lebih dekat dengan guru pelatih, sekiranya ada calon yang berani menggunakan peluang MBP yang turut dihadiri oleh para pentadbir IPG, untuk mengemukakan tuntutan secara langsung dari pentas ucapan. Contoh-contoh tuntutan tersebut adalah, meletakkan beberapa aktiviti pelajar seperti Hari Terbuka, Sambutan Ihya’ Ramadhan, Karnival Sukan, dan Malam Munajat Perdana di dalam Takwim Induk IPG.

Penampilan memaparkan pendirian, gaya melambangkan pemikiran, suara melambangkan kekuatan, dan hujah melambangkan kebijaksanaan. Majoriti calon JPP yang menyertai MBP semalam gagal menonjolkan penampilan seorang guru, apatah lagi seorang pemimpin peringkat glokal yang cemerlang. Pemakaian yang terlalu santai, menyimpang dengan arus sebenar dunia kepimpinan, dan keguruan. Pada MBP para calon sewajarnya membawa penampilan  yang mampu menambat kepercayaan dengan hanya sekilas pandangan. Saya teringat pesanan seorang tokoh pemikir barat iaitu Malcolm Gladwell di dalam bukunya yang bertajuk Blink. Kata Gladwell, “suatu ketika dahulu kita memerlukan masa yang terlalu lama untuk mengenali seseorang, dan adakalanya ketika kita sudah mengenali si dia dengan sebenarnya, si dia telah selesai memanipulasi kita. Lantas, kita perlu mengenali seseorang dengan sekilas pandang, dan tentunya pandangan pertama adalah pada wajah, tubuh, dan pakaiannya”. Anda akan mempelajari teknik yang dibahaskan oleh Gladwell ini, sekiranya anda berusaha memiliki buku karangannya.

Sebagai pemimpin, komunikasi sangat penting, namun saya tidak akan mengulas dengan panjang pada masalah komunikasi para calon JPP semasa MBP kerana memahami mereka merupakan pemimpin-pemimpin muda yang sedang belajar, dan akan sentiasa menambah baik mutu komunikasi, dan kemahiran berucap mereka dari masa ke masa. Sungguhpun demikian, beberapa perkara asas seperti lontaran suara, pemilihan perkataan, kekuatan tatabahasa dalam motto, dan laras bahasa perlu diberi perhatian yang serius oleh setiap calon.

DEBAT YANG DIPERTUA

Saya cukup teruja apabila kedua orang calon YDP berada di pentas yang sama mengemukakan manifesto mereka, dan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh para pengundi. Menyedari jawatan YDP merupakan jawatan paling utama, maka memberi keyakinan kepada saya calon yang merebut jawatan tersebut sudah mempunyai kredibiliti, serta kemahiran yang baik.

Dari segi pemakaian, atau penampilan seorang pemimpin, kedua mereka tampil dengan penampilan serta gaya yang sederhana. Keduanya memakai pakaian yang tidak melebihi untuk dibandingkan antara satu sama lain. Namun, melihat pada aspek komunikasi, salah seorang calon YDP mempunyai kelebihan yang ketara. Saya tertarik dengan soalan teknikal yang dikemukakan oleh wakil pengundi lelaki. Soalan tersebut memaparkan pengalaman yang dimiliki calon YPD dalam menangani masalah birokrasi di IPG. Semasa mendengar soalan, saya menuntut jawapan yang ringkas, padat, dan berguna. Kedua calon YDP telah memberi penerangan yang baik, namun ketika menilai dari aspek psikolinguistik, kelemahan salah seorang calon sangat menyerlah. Penerangan yang terlalu panjang, dengan sebutan perkataan secara pipih, serta pergerakan ke depan dan belakang secara berulang kali menunjukkan calon tersebut tidak yakin dengan jawapan yang diberi. Manakala, calon YDP selainnya, memberi jawapan dengan tegas, dan meletakkan dirinya sebagai mangsa birokrasi tersebut. Sebutan perkataan “sekiranya saya berada di dalam situasi tersebut” merupakan ayat keemasan seorang pemimpin yang sangat dengan dengan rakyatnya. Sebutan perkataan calon YDP tersebut adalah bulat-bulat, dan kedengaran tegas, melambangkan keyakinan.

Soalan psikologi yang ditanya oleh wakil pengundi wanita juga agak mencabar, dan mencetus keadaan yang seakan polemik. Dan jawapan yang diberi oleh kedua calon YDP sangat tipikal, tanpa sebarang kejutan. Jika saya diberi peluang bertanya soalan, tentu sekali saya akan bertanya “saya hanya akan mengundi salah seorang daripada calon YDP ini, maka kenapa saudara berasa saya perlu undi saudara, berbanding orang yang berada di sebelah saudara itu?

CADANGAN

Pada masa akan datang, saya berharap JPRK akan terus berusaha menambah baik MBP. Berikut merupakan beberapa cadangan daripada saya.

1.      Mengadakan etika pemakaian para calon JPP
2.      MBP diadakan selama 2 hari, hari pertama untuk memperkenalkan calon, hari kedua untuk bentang manifesto.
3.      Mewujudkan jawatan Pencatat Isu yang akan mencatat isu-isu yang dikemukakan calon, kemudian dihantar kepada pihak eksekutif IPG, bagi memberi peluang kepada pihak eksekutif untuk memahami kehendak guru pelatih.
4.    Mewujudkan Debat YDP dengan mengambil format Debat Presiden.
5.  Meluaskan had tempat penganjuran MBP bukan hanya di Dewan al Farabi, namun boleh diadakan di tempat terbuka seperti di tempat parkir kenderaan kolej kediaman.
6.   Setiap calon yang bertanding mesti memahami portfolio yang direbut.
7.  Hujah yang dikemukakan calon hendaklah selari dengan undang-undang IPGM.

Kesimpulannya, MBP telah dianjurkan dengan baik, dan saya yakin akan sentiasa ditambah baik dari masa ke masa. Saya mengucapkan jutaan terima kasih atas kebaikan JPRK membuka ruang untuk saya hadir semasa MBP. Kepada para calon, saya ucapkan sejuta tahniah kerana telah berani tampil di pentas, dan memberi ucapan yang sangat bermakna. Mengenai kritikan, dan komen, saya berharap semua pihak bersedia menerimanya dengan terbuka demi kebaikan bersama.

Sekian, terima kasih.

TOPIK 1 : PEMERKASAAN YANG DIPERTUA TUNJANG KEPERKASAAN JAWATANKUASA PERWAKILAN PELAJAR.

Kedudukan Yang Dipertua (YDP) sebagai pemimpin pelajar nombor 1 di Institut Pendidikan Guru (IPG) mewajarkan gelaran Yang Dipertua dipakai, dan digunakan. Yang Dipertua membawa maksud, individu yang ditua-tuakan oleh masyarakat sekeliling yang telah melantik beliau. Sifat ketua-tuaan itu membawa kepada penghormatan, dan taat setia atas pemikirannya yang matang, serta eksklusif. Beliau menduduki tangga teratas senarai kepimpinan pelajar di IPG, dan merupakan individu paling dekat dengan kepimpinan eksekutif di IPG. Oleh yang demikian, dalam proses pemerkasaan JPP, maka tiada pendekatan lebih tepat melainkan jawatan YPD diperkasakan terlebih dahulu.

Pemerkasaan YDP mempunyai beberapa tahap, memecah ruang tipikal yang diwarisi daripada YDP terdahulu. Baik dari segi penampilan, komunikasi, pemikiran, dan sosial, YDP harus berani membuat pusingan U bersesuaian dengan kapasiti punca kuasa yang telah diberi.

Saya dengan ini mengemukakan beberapa cadangan, yang saya kira mampu menjadi batu loncatan ke arah memperkasakan jawatan YDP.

1. Unit Komunikasi Yang Dipertua (UKYDP)

Terinspirasi daripada Unit Komunikasi Menteri Besar, maka saya lihat wujudnya kewajaran untuk menubuhkan satu badan khas dalam menyalurkan maklumat, serta perkembangan semasa YDP bersama JPP. Berdasarkan pengalaman bertugas selama 3 tahun di dalam JPP, masalah utama yang dihadapi JPP adalah berdepan dengan pelajar, dan pensyarah yang sering menabur tohmah “JPP tidak berbuat apa-apa”, sedangkan dalam kalangan JPP mereka sedang berlumus dengan sesuatu perkara. Masalah akses kepada perbuatan, dan kerja JPP ini menyebabkan berlakunya perselisihan maklumat antara JPP dan pelajar yang dipimpin. Oleh yang demikian, dengan adalan UKYDP ini maka, segala mesyuarat, kunjungan hormat, pertemuan, perbincangan, lawatan, aktiviti, dan peristiwa yang disertai YPD mahupun JPP akan dipaparkan kepada khalayak secara bergambar, rakaman video, ataupun laporan.

UKYDP akan menggunakan kemudahan laman sesawang berdaftar, dan laman sosial seperti Facebook, dan Tweeter sebagai wadah memaklumkan aktiviti JPP. UKYDP tidak perlu ditubuhkan sebagai biro yang baharu, namun boleh diserap untuk berada di bawah mana-mana biro yang dirasakan sesuai di dalam JPP. Namun, ahli yang menganggotai UKYDP mestilah aktif, dan telus dalam menyampaikan maklumat.

2. Penasihat Khas YDP

Tiada burung yang mampu terbang jauh jika bersendirian. Sebegitu jugalah dengan seorang pemimpin. Tiada pemimpin yang mampu meneroka jauh alam kepimpinan tanpa bimbingan. YDP selaku penjawat jawatan tertinggi di dalam JPP wajar memilih sendiri penasihat yang beliau inginkan, dan bukannya tertakluk atas pilihan pihak eksekutif. Kebebasan yang diberi ini akan memberi ruang keselesaan kepada YDP untuk berkomunikasi, dan meminta nasihat ketika memerlukannya. Penasihat Khas ini boleh terdiri dalam kalangan sesiapapun, samada warga IPG, mahupun bukan. Keutamaan yang harus difahami di sini adalah keperluan YDP mendapatkan idea, dan kebernasan dalam mentadbir urus JPP serta pelajar.

Saya mencadangkan YDP mempunyai tiga Penasihat Khas yang meliputi tiga bidang utama, iaitu Penasihat Undang-undang, Penasihat Agama, serta Penasihat Komunikasi dan Protokol. Ketiga-tiga jawatan ini akan diberi punca kuasa daripada IPG untuk menjalankan tugas rasminya sebagai penasihat kepada YDP pada saat diperlukan, atau memerlukan. Penasihat Khas akan membantu YDP setiap masa dalam membuat keputusan, dan membikin buah fikiran segar demi menjadikan pentadbiran JPP bertambah baik.

3. Peruntukan Elaun Khas YDP

Pengalaman, dan pengetahuan menjadi panduan artikel ini ditulis. Justeru, bersandarkan kepada pengalaman, maka elaun khas bagi YDP saya kelaskan sebagai tuntutan paling kritikal. Sedia maklum, YDP akan sering menerima kunjungan, baik daripada warga IPG, mahupun bukan IPG. Adakalanya, jamuan ringan, ataupun cenderahati dihulur sebagai tanda ketimuran yang segar subur di dalam diri setiap daripada kita. Oleh yang demikian, peruntukan elaun khas YDP akan membantu kelancaran majlis yang dirangka. Saya tidak menolak wujudnya peruntukan bagi aktiviti-aktiviti JPP, namun kita juga sedia maklum betapa sukarnya JPP untuk menerima kelulusan peruntukan yang diminta, kerana JPP bersaing dengan jabatan-jabatan akademik, serta bukan akademik yang ada di IPG. JPP tidak mempunyai peruntukan khas yang boleh digunakan oleh JPP sahaja, tanpa perlu bersaing, dan berebut. Maka, kewujudan elaun khas ini, sedikit sebanyak membantu JPP melaksanakan aktiviti, di samping meraikan tetamu-tetamu yang berkunjung di IPG. Saya mencadangkan YDP menerima sebanyak RM 1500 setahun.


4. Penilaian Sebelum Lantikan YDP

YDP merupakan jawatan tertinggi dalam kalangan pelajar di IPG. Maka, untuk menyandang jawatan tersebut, mestilah penyandangnya merupakan pelajar yang paling layak, serta paling berpengetahuan. Jika dilantik pelajar-pelajar baharu sebagai pengerusi biro, perkara tersebut masih boleh diterima, sebagai jalan mereka untuk mempelajari selok belok kepimpinan. Namun, penyandang jawatan YDP mestilah bukan dalam kalangan pelajar yang baharu mula mengorak langkah, kerana YDP sendiri merupakan kemudi kepada JPP, penentu hala tuju, dan kebersamaan para ahli JPP. Oleh yang demikian, satu penilaian khas perlu diadakan sebelum calon-calon YDP dibawa ke medan Pilihan Raya Kampus (PRK).

Penilaian tersebut meliputi Penilaian Sahsiah, Penilaian Emosi, Penilaian Pengurusan Teknikal, dan Penilaian Kecekapan Mengurus Masa. Penilaian-penilaian ini membantu pemilihan YDP diadakan dalam keadaan yang setara, di padang yang sama rata. Pertandingan antara calon YDP yang pernah berada di dalam gelumang JPP, dengan pelajar yang baharu bertatih akan kelihatan tidak adil, jika mana-manapun antara keduanya menang. Maka, saya cadangkan Penilaian Sebelum Lantikan YDP diadakan bagi menjamin kualiti, dan keberkesanan YDP dalam meluaskan kapasiti kuasa yang dimiliki.

Kesimpulannya, Yang Dipertua merupakan jawatan perdana dalam kalangan pelajar. Jawatan yang disandang bukan hanya pada gelaran jawatan, namun makna yang terkandung di sebaliknya. Bukan mudah menjadi insan yang sepatutnya ditua-tuakan, namun dilayan sebagai anak hingusan. Oleh yang demikian, saya berharap cadangan-cadangan yang diberi ini akan dipertimbangkan sewajar mungkin, demi memartabatkan YDP beserta JPP.