Monday 30 December 2013

Kesian

Kesian.. kesian.. kesian..
Kesian pada si buta yang pada matanya tergonggong kebodohan,
Dipercayai TV sebulat mutlaknya,
Seolah tertipu jutaan rakyat mengenai kemiskinan dirimu.

Antara TURUN dengan GULING,
tak sama takkan sama.
Sungguh berguling membawa turun,
jika langkah terjaga turun tak berguling.

Wahai yang sedang meneguk darah dari bejana emas,
TAHNIAH!

Tuesday 17 December 2013

Kelantan Di Hatiku

Dalam negara
Jauh pernah aku jejaki
Berjuta bekas aku tinggalkan
Namun
Cinta tetap pada pertama
Buah tangan warisan lama
Untuk dikenang anak muda

Cerita banyak bermula di sini
Pada kesederhanaan dan kekerasan
Banyak sekali

Menjunjung kasih pada Sultan
Jasadnya mulia tingkahnya sederhana
Namun hatinya sejuta kaya
Islam dijunjung
Raja disanjung
Rakyat dipayung

Kadang-kadang
Awan tersinggung pada hujan
Hingga enggan berlari pada muka langit
Namun
Di sini tidak tandus

Pada daratnya
Bukanlah tempat kemewahan
Bukan tempat bersenang lenang
Namun
Kayalah jikalau berdagang

Kitab tua banyak di sini
Seusia dengan ulama melata di bumi
Di sini tempat murid bertemu guru
Akhirnya murid menjadi guru

Tanahnya lembut
Salah berpijak bisa jerlus
Bukan tenggelam
Cuma peringatan
Bumi ini milik Tuhan
Maka pada Tuhan kita berkerajaan

Inilah bumi satu
Menari pada merah dan putih
Tergantung pada nadi berdesir
Cintaku bersemi di sini

Kelantan Darul Naim.

Dalam Antara Kenangan

Di antara hutan bukit dan sungai
Di antara kehijauan fana dan keruhnya air
Berhadapan dataran rata kehijauan
Berdekatan rumah tua yang uzur
Hampir benar dengan sebuah perkuburan usang
Di situ sebuah kilang ilmuan cendekiawan
Sekolah Kebangsaan Manek Urai

Di tengah azmat sebuah desa
Padat dan rapat
Berdekatan sebuah stesen kereta api lama
Gertak besi yang bersejarah
Dan
Pasar Sabtu yang dirindui perantau
Itulah sebuah binaan biasa
Melahirkan insan luar biasa
Sekolah Kebangsaan Manek Urai

Tidak jauh dari Pengkalan Tangga Batu
Yang sibuk suatu ketika dahulu
Berhadapan dataran hijau
Yang mencatat sejuta sejarah
Tentang mak yong, wayang kulit, dan wayang pacak
Masih di situ
Berdiri dengan zuhud sebuah sekolah tua
Perlahan meniti zaman
Dalam kesabaran tidak pernah lelah
Memancarkan sejuta harapan
Pada segenap anak desa
Yang ingin menjadi dewasa
Sekolah Kebangsaan Manek Urai

Biarpun jauh merandai dunia
Menitip segala kejayaan dan kemenangan
Semuanya bermula dengan sabar seorang guru biasa
Mengajar tulis, baca, mengaji, dan mengira
Di sebuah sekolah tua yang luar biasa
Sekolah Kebangsaan Manek Urai

Manek Urai Di Hatiku

Entah dari mana asal namanya
Mungkin dari manik yang terurai
Atau pada lagendanya Puteri Mayang Mengurai
Atau juga pada mitos hujan manik
Apa pun
Nama Manek Urai tetap dalam ingatan

Sungguhpun kaki melangkah jauh
Meninggalkan rona desa yang biasa
Mencapai ibu kota yang dewasa
Setiap adanya masa terluang
Ingatan tidak pernah lupa
Akulah anak biasa
Dari desa biasa Manek Urai

Hinggap pada hijaunya pemandangan
Berlapis-lapis umpama rumputan pelangi
Menggamit sejuta memori:

Pada sungainya yang keruh di musim hujan
Di situlah aku mencari etak dan ara
Berenang-renang ke tepian
Tatkala balak tempat berpijak dihanyut air yang deras

Pada kebun tua sebelah padang di belakang rumah
Aku dihambat berlari ketakutan
Sehingga bersembunyi dalam enau tanjung
Di bawah pohon pauh kumbang
Kerana mencuri durian, sentul, dan rambai

Maka anak kecil itu dewasa
Membawa parut kerana kenakalan masa kecil
Kadang-kadang
Bila kaki disengat ngilu
Teringat kenangan mengail bersama saing
Jatuh di dalam denai
Ku ingat terseliuh
Patah rupanya

Manek Urai
Sungguhpun pada jasadmu yang kian berubah
Ada keisitimewaan yang tidak akan aku lupa
Bunyi bising kereta api menggegarkan gertak besi
Pada Pasir Yey yang menggamit memori
Pada pengkalan Mok Su Esoh yang sentiasa aku ingati
Pada balak di Tanjung Che dan Ayah Man
Pada kebun gemulah Ayah Soh
Pada kedai kayu Pok Man
Pokok ara di sebelahnya
Serta Mok Cik yang mengajar aku mengaji
Mok yang mengasuh dengan sabar
Semuanya akan aku kenang
Sungguhpun diri jauh di perantauan

Manek Urai
Dalam ingatan

Sentiasa 

Thursday 12 December 2013

TERIMA KASIH MAMA

"Eh, beberapa hari sahaja lagi, aku berusia 24 tahun"

Telah diri saya pada pagi ini. Tiba-tiba tersedar bahawa 23 tahun dahulu Mama bertarung nyawa untuk melahirkan saya. Sebelum melahirkan saya, Mama 3 kali keguguran, dan saat paling mengecewakan adalah apabila sudah 7 bulan mengandung, tiba-tiba sahaja bayi yang dikandung hilang lesap entah ke mana, yang ditinggalkan hanyalah uri sahaja. Mama redha, mungkin sudah rezeki yang tertulis, hanya 3 orang sahaja anak yang Allah kurniakan. Namun, alangkah bahagianya Mama, apabila pada Oktober 1989 mama disahkan mengandung sekali lagi. Mulai saat itu, Mama mula memperlahankan gerak kerja, tidak lagi lasak, tidak lagi melatih bola jaring untuk pelajar sekolahnya. Alhamdulillah, tiba jua tarikh 2 Julai 1990 bersamaan 8 Zulhijjah 1410, saya dilahirkan. Mengambil sempena perayaan Aidil Adha yang bakal tiba, maka Mama abadikan perkataan Adha di hujung nama saya.

Terima kasih Mama atas pengorbanan, dan jasa yang telah Mama taburkan. 

Abang sayang Mama selamanya. 

Monday 9 December 2013

Bahagia Sebegini

Kita telah terpisah. Jarak telah menjadi penghalang sebarang pertemuan. Masa telah menjadi dinding yang mengikat kita berjauhan. Namun, saban waktu, dalam setiap helaan nafas, kata rindu diriku padamu tidak pernah putus.

Merindui umpama fitrah diri yang terbentuk daripada perkenalan kita yang singkat namun sungguh bermakna. Aku mengaku, telah jatuh cinta dengan sungguh kuat, sehingga tidak mampu bangkit daripadanya lagi. Entah bagaimana, aku sudah berada dalam muara cinta, di dalam sampan rindu yang dikau bina, dan kita pernah dayungnya bersama.

Tidak pernah aku merasai cinta yang sebegini dalam hayatku. Tidak pernah aku merindu dengan sebegini kuat. Dan, tidak pernah jua aku tidak kuat meluahkan cinta ini padamu. Kebahagiaan yang aku kecapi saban hari bukanlah kerana cinta yang dikau beri, namun kerana aku berasa sungguh indah dapat mencintaimu setiap hari.

Cinta yang aku tuang ke dalam dirimu, tidak akan pernah penuh. Kerana di dalam hatimu tiada bertempat untuk insan sepertiku. Aku mengerti, dan aku fahami bahawa telah tersemat di dalam dirimu cinta untuk insan yang lebih baik, lebih sempurna, lebih dikau sukai, dan kerana itu aku hanya mampu bersimpuh, dan terus mencintai dalam setiap helaan nafasku.

Bagaimana terbitnya cinta seutuh ini? Mungkin kerana perjalanan hidup aku telah dikau penuhi dengan semua kehendak yang aku cita-citakan. Kehendak yang tidak pernah tersimpang daripada jalan cinta pada Tuhan dan RasulNya. Dikau umpama telaga berisi air yang menghilangkan dahaga sang musafir. Dikau umpama dahan yang utuh menjadi tempat hinggap burung yang telah terbang jauh.

Wahai insan yang aku cintai. Semalam aku dihurung mak cik-mak cik ku yang bertanya, dan menyuakan aku pada insan yang sepatutnya aku kahwini. Namun, aku hanya senyum, membalas dengan canda bahawa aku tidak bersedia. Tetapi, sejujurnya aku boleh untuk menyayangi sesiapapun, mengerti sesiapapun, namun aku tidak punya kekuatan, kerana bagai rambut yang telah tersimpul mati, sebegitu kuat jua simpulan cintaku pada dirimu.


Aku di sini, akan selalu menunggu dirimu, sungguhpun bukan untuk memiliki dirimu. Cukuplah aku dapat menatap wajahmu, biarpun tidak akan pernah melelahkan rindu yang berlari di dalam urat nadiku. Aku akan tetap menanti, dan setia pada cinta untuk dirimu. Aku bahagia hidup begini. Bahagia dalam mimpi-mimpi yang indah segala. 

Sahabat Yang Lupa

Tentu sekali aku tidak lupa padamu.
Aku tidak lupa bukan kerana aku mahu,
namun,
kerana aku tidak mampu melupakanmu.

Aku mengingatimu dalam 1000 perkara,
yang setiap satunya kita pernah soroti bersama.

Bagaimana aku akan lupa?
Sedangkan teras hidupku terbina bersamamu.

Bagaimana aku akan lupa?
Sedangkan aku cicip kemanisan ini keranamu.

Aku tidak lupa,
namun,
kau mungkin lupa.

Kau lupa aku mengikutimu ke daerah asing itu,
sedangkan aku meninggalkan hak persenangan yang aku miliki.

Kau lupa aku mengosongkan poketku,
sedangkan aku boleh membiarkan dikau kebuluran sendiri.

Kau lupa aku setia bersamamu,
saat dunia berpaling daripada mempercayaimu.

Kau lupa aku yang terakhir meninggalkanmu,
setelah air mata ini kering merayu HARGAILAH AKU.

Siapa aku di hatimu?
Benarlah aku tiada di hatimu.

Saturday 7 December 2013

Gigihkah Sistem Pendidikan Negara Kita?

Siapa saya? Saya bukan siapa-siapa. Jawatan? Saya tak ada jawatan. Anugerah? Pun tak pernah dapat. Gelaran? Bakal allahyarham. Pengiktirafan? Pun tak ada juga. Tapi, kenapa saya nak awak baca tulisan ni? Sebab saya nak awak tahu apa yang saya; anak muda kosong yang tidak punya apa-apa; berfikir, dan pendapat saya. Memang awak akan tak setuju, atau mungkin juga awak setuju. Itu terserah pada awak, sebab saya dah beritahu awal-awal lagi bahawa saya bukanlah siapa-siapa.

Baik, saya ingin beri pendapat mengenai sistem pendidikan negara Malaysia. Saya ulang, saya ingin beri pendapat mengenai sistem pendidikan negara Malaysia. Negara mana? Negara Malaysia. Kepada yang masih belum “kenal Malaysia”; Malaysia merupakan negara kecil di benua Asia, spesifiknya Asia Tenggara. Jiran terdekat Malaysia adalah Brunei, Indonesia, Singapura, dan Thailand. Malaysia ada KLCC, ada Putrajaya, ada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Haji Salleh, Tun Dr. Mahathir, Siti Nurhaliza, Nicol David, Lee Chong Wei, dan Tony Fernandes. Kalau tak kenal juga, sila tanya pak cik Google.

Bila berbicara mengenai sistem, ia merupakan bicara yang terlalu luas. Kerana, sistem itu sendiri melambangkan perkaitan banyak perkara, kerumitan yang saling bersangkut paut, dan amat memeningkan. Jadi, saya kecilkan skop perbincangan sistem pendidikan, saya hanya akan beri pendapat kepada satu topik kecil, paling kecil, amat kecil, terlalu kecil, tapi paling penting. Apa itu? Saya ingin beri pendapat mengenai kurikulum pendidikan di Malaysia. Wah, kau siapa nak bagi pendapat? Mungkin anda terdetik sebegitu, jadi baca balik perenggan pertama tulisan ini.  (^^,)

Saya akui, kurikulum pendidikan Malaysia samada yang lama, baru, mahupun terbaharu sememangnya baik, dan boleh dipuji. Kehendak negara digarap jelas di dalamnya. Negara mahukan rakyatnya cemerlang bahasa Melayu, matematik, sains, bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Ekonomi Asas, Sains Rumah Tangga, dan puluhan lagi subjek yang malas saya senaraikan. Dahulu, pelajar boleh mengambil paling sedikit 6 subjek untuk SPM, dan tiada had maksima, kemudiannya tanpa sebab yang diketahui (mungkin saya jahil) subjek untuk SPM dihadkan kepada 10 sahaja. Jadi, tiada lagi berita gempar pelajar dapat 20 A, 19 A, 18 A, dan sebagainya. Sedihkan? Kehebatan pelajar Malaysia dalam mendalami puluhan subjek serentak kini tinggal sejarah sahaja.

Tapi, persoalan saya : sejauh mana kurikulum ini telah membawa kita? Oh ya, kita sudah ke angkasa. Ya, agak jauh. Berapa orang yang ke angkasa tu? 1000 orang? 100 orang? 10 orang? Hanya 1 orang sahaja kan? Baik, jadi kurikulum kita setelah 50 tahun mampu lahirkan SEORANG angkasawan. Baik, itu merupakan pencapaian yang patut dipuji, sebab ada sesetengah negara masih belum ada walau seorang pun angkasawan. Berapa kali angkasawan kita naik ke angkasa? 10 kali? 20 kali? Atau berapa? Anda cari sendiri, dan itulah apa yang kurikulum kita mampu beri setelah 50 tahun. Kepada yang sedang membaca (tahniah sebab anda masih sudi membaca!) adakah kurikulum yang kita pernah lalui, sedang lalui, bakal lalui menjadikan kita manusia yang gigih?

Kurikulum negara kita telah berjaya melahirkan bijak pandai, namun tidak sedikit juga yang terkandas, dan kita namakan mereka penganggur. Kadang kala mereka mengemis, tidak kurang yang menjadi kutu rayau, penjenayah, penagih dadah, dan penghuni penjara serta pusat serenti. Namun, adakah pernah kita ambil masa seketika, muhasabah seketika, dan menggelarkan mereka sebagai mangsa sistem pendidikan negara? Mereka merupakan mangsa ketempangan kurikulum yang terbina, mangsa kepincangan industri pendidikan, mangsa ketidaktelusan skala peperiksaan.

Kurikulum pendidikan merupakan nadi negara. Lebih penting daripada pertahanan negara. Lebih penting daripada kedaulatan seorang sultan. Lebih penting daripada parti politik. Lebih penting daripada keamanan, dan kekayaan. Kenapa? Tanpa pendidikan, pertahanan, kedaulatan, politik, dan keamanan tidak akan dihargai, lalu kita akan mencincang negara kita sendiri, kerana jahil, dan kebodohan. Kurikulum ibarat kepala seorang manusia. Kita boleh hidup tanpa kaki, tanpa tangan, tanpa hidung, namun bolehkah kita hidup tanpa kepala? (Saya maksudkan kepala yang terletaknya hidung, mulut, otak, mata, telinga, dan rambut, bukan kepala lutut, atau selainnya.)

Ada menteri suka merujuk Finland untuk pendidikan, namun saya suka merujuk Palestin. Sebuah negara bergolak yang mencari keamanan setelah sekian lama penjuru itu dicuri. Palestin tidak aman, namun bagaimana negara itu hidup? Bagaimana perkembangan ekonomi? Bagaimana dengan makan, minum, pakai, tempat tinggal? Kita sering melihat penduduknya dibunuh, berpuluh tahun lamanya, namun mereka bangkit, terus bangkit, tanpa sehari pun berkurang semangat kebangkitan mereka? Apa kekuatan mereka? Apa rahsia mereka? Jawapannya, pendidikan. Pendidikan negara mereka, pendidikan yang bukan sahaja memberi mereka pandai, namun memberi mereka kegigihan. Mereka hidup sehingga hari ini, mempertahankan al Aqsa bukan kerana mereka pandai, namun kerana mereka pandai, dan gigih.

Mari kita lihat negara kita. Negara yang kita sayang, cinta, sanjung, dan pertahankan. Soal saya, adakah kita merupakan isi negara yang gigih? Syarat utama gigih adalah kesanggupan untuk bersusah payah. Adakah kita masyarakat yang sebegitu? Adakah kita sanggup bersusah payah untuk negara kita? Adakah pendidikan negara kita berjaya melahirkan anak-anak Malaysia yang gigih? Persoalan ini sungguh berat, dan saya sendiri bergenang air mata ketika menulis bahagian ini. Saya tidak akan menulis berapa banyak Malaysia telah hilang, kerana saya sendiri tidak gigih. Saya tahu, namun saya tidak kuat. Namun, saya ingin soal anda semua, terutama golongan warga emas, KENAPA SAYA PERLUKAN PASPORT UNTUK KE SINGAPURA? Saya belajar dalam sejarah, Singapura merupakan sebahagian Malaysia, namun apa yang anda buat sehingga generasi baru ini kehilangan sebuah destinasi? Saya tinggalkan persoalan untuk anda jawab.

Adakah pendidikan negara mampu menjadikan kita rakyat Malaysia yang gigih? Ledakan teknologi sehingga kini terbukti menjadikan manusia lebih manja. Adakah kurikulum pendidikan negara kita sudah bersedia untuk mematahkan hujah teknologi memanjakan manusia? Adakah kurikulum ini mampu melahirkan 100 orang lagi angkasawan? Saya menulis, namun saya tidak punya jawapan untuk setiap persoalan itu. Melihat kemanjaan murid-murid di sekolah, arus teknologi yang melemaskan, dan hiburan masa kini, keupayaan kurikulum hari ini untuk melahirkan insan yang gigih seakan kabur. Kita mampu melahirkan manusia yang pandai, namun manusia yang gigih?

Cadangan saya : Agamawan, pemimpin, pendidik, belia, dan wakil masyarakat harus berada pada satu landasan, membina satu kesepakatan, membuat satu kesimpulan mengenai persoalan saya. Jika jawapan : kurikulum ini cukup untuk membina masyarakat yang gigih, maka teruskanlah kurikulum ini. Namun jika jawapan menyatakan sebaliknya, maka agamawan, pemimpin, pendidik, belia, dan wakil masyarakat harus bersedia, secara tulus, telus, tanpa dipengaruhi ideologi politik, melangkaui batas bangsa; membina semula landasan pendidikan negara. Kehidupan dunia ini bukan bermula dengan kepandaian, namun kegigihan. Kegigihan itulah yang membuatkan kita hari ini menggelarkan diri kita moden.


Tulisan ini merupakan luahan hati saya. Luahan pemikiran, penaakulan, pemerhatian, dan pembacaan. Saya tahu, terlalu banyak kesilapan di dalamnya. Maka saya mohon kemaafan, dan keredhaan. Saya tidak paksa anda untuk bersetuju dengan pendapat ini, kerana memang sifatnya pendapat itu tidak semuanya tepat. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada anda yang sudi membaca sehingga ke perenggan akhir tulisan ini, anda merupakan penyanjung pendidikan negara, dan anda ambil berat tentang pendidikan negara. Akhirnya, saya sekali lagi memohon kemaafan seandainya tulisan ini ada menyentuh peribadi, dan isu yang tidak menyelesakan. 

Kenal Sehari; 1000 Tahun Terkenang.


PERASAAN TERSEDIH MALAM INI,
HIBA MENGENANGKAN SAHABATKU YANG JAUH,
SEAKAN TIDAK MENGENALI DIRIKU LAGI,
SEDANGKAN AKU TERHUNJAM
DALAM AKAR KERINDUAN PADANYA.

Senyum Itu Bukan Milikku Lagi


Habis Manis Sepahku Kau Luah!

Masa diperlukan,
aku dihubungi setiap masa.

Bila urusan telah selesai,
dikau diam umpama aku tiada rasa.

Masa berlalu

Berlalu

Berlalu

Berlalu

Aku memendam rindu,
menyatakan rindu.

Kau diam

diam

diam

terus diam.

Hari ini,
sesaat tadi
WeChatku berbunyi,
RUPANYA DIKAU KEPINGIN BANTUANKU LAGI.

Hati berbagi
antara membantu atau membatu?


TERPISAH KERANA CINTA TUHAN

SAHABATKU,
PERPISAHAN INI BUKANLAH HALANGAN,
NAMUN UJIAN PERSAHABATAN KITA.
DAN,
AKU SUDAH MENDAPAT JAWAPAN BAGI PERSOALANKU.
AKU SUDAH TAHU,
DI MANA AKU DI HATIMU.

AKU TAHU,
AKU FAHAM
AKU MENGERTI.

TERIMA KASIH SAHABAT.


Sunday 24 November 2013

PERUTUSAN YANG DI PERTUA JAWATANKUASA PERWAKILAN PELAJAR IPG KAMPUS DATO' RAZALI ISMAIL 2011/2012

PERUTUSAN YANG DI PERTUA JAWATANKUASA PERWAKILAN PELAJAR IPG KAMPUS DATO' RAZALI ISMAIL 2011/2012 SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PELANTIKAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Terima kasih kepada Pengacara Majlis, Yang Berbahagia Encik Mohamad Bin Ngah - Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, Yang Berusaha Tuan Haji M. Shaipulah Bin Awang Ibrahim Timbalan Pengarah IPG Kampus Dato’ Razali Ismail merangkap Ketua Penasihat Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPG Kampus Dato’ Razali Ismail sesi 2011/2012, Yang Berusaha Tuan Haji Yahaya Bin Osman Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar IPG Kampus Dato’ Razali Ismail merangkap Timbalan Ketua Penasihat JPP IPG Kampus Dato’ Razali Ismail sesi 2011/2012, Yang Dihormati Barisan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPG Kampus Dato’ Razali Ismail sesi 2011/2012, Ketua-ketua Unit, Ketua-ketua Jabatan, Para Pensyarah Kanan, Para Pensyarah, dan seterusnya guru-guru pelatih sekalian.

Terdahulunya, marilah kita sama-sama menzahirkan rasa kesyukuran pada Allah subhanahuataala yang telah mengizinkan kita untuk sama-sama berkumpul di dalam sebuah majlis yang sederhana, namun amat bermakna terutamanya buat saya dan teman-teman JPP sesi 2011/2012. Terima kasih kepada semua AJK yang telah terlibat dalam menjayakan acara ini, dan penghargaan juga buat Yang Berbahagia Encik Mohamad Bin Ngah atas kesudian menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail sesi 2011/2012. Tidak lupa juga terima kasih kepada semua yang hadir dalam menjadikan acara ini lebih bermakna dan ceria. Terima kasih semua.

Hadirin sekalian

Berbekalkan Visi : Memartabatkan IPG Memperkasakan Rohani, tahun ini merupakan Tahun Tarbiah. Jika diluar sana pemimpin mengadakan Tahun Melawat Malaysia, maka saya di dalam ini mengadakan Tahun Mentarbiah Jiwa. Pentarbiahan ataupun di dalam istilah Melayunya bererti pendidikan, merupakan aspek penting yang perlu kita semua cakna dan titik beratkan. Seulas mahupun secebis jiwa yang hancur, akan melumatkan generasi manusia. Justeru, kita yang telah dimaklumkan sebagai peneraju generasi masa hadapan, berkait langsung dengan tarbiah samada suka mahupun tidak, samada sedar mahupun tidak. Inilah sebuah kenyataan yang tidak mampu kita tolak.

Harapannya, semoga setiap jiwa yang mendiami bumi Allah ini, akan turut sama berganding bahu memerah tenaga bagi menjadikan IPG ini peneraju dalam melahirkan insan yang kamil. Kerajaan telah memaklum dunia dengan JERI, dan sekarang ini bertambah menjadi JERIS. Ini merupakan satu petanda bahawa kita mesti mencari titik keseimbangan dalam melahirkan guru yang berjiwa sufi, guru yang berperibadi abid, guru yang bersantun ulama, guru yang bersemangat jihad, guru yang merindui syahid, dan guru yang sentiasa takut pada Tuhannya. Marilah bekerja bersama saya dan berkhidmat untuk Allah.

Tuan-tuan dan puan-puan, saudara dan saudari.

Marilah kita semua kembali kepada Allah, RasulNya, dan kitab-kitabNya. Marilah kita meletakkan Allah sebagai rujukan utama kita, dan melalui al Quran serta hadith kita selesaikan setiap masalah yang timbul. Sebagaimana tidak mungkin kereta mampu membaiki kereta, tidak mungkin basikal mampu membaiki basikal, tidak mungkin robot tercanggih mampu membaiki robot secanggihnya, dan kerana itu, tidak mungkin manusia mampu membaiki manusia dengan undang-undang akal manusia. Kerana banyaknya manusia yang mempercayai akalnya yang kononnya hebat, kerana itulah pergolakan dan perselisihan berlaku. Jiwa menjadi tidak tenang, dan suasana tidak harmoni, umpama tikus membaiki labu, tikus berasa berjaya; puas, namun labu kian rosak. Inilah dunia hari ini. Marilah kita semua kembali kepada Allah yang Satu, Nabi yang satu, al Quran yang satu, dan agama yang satu.

Kita hari ini berbangga meniru budaya Jepun, sehinggakan budaya Islam ditolak jauh. Kita hari ini berbangga dengan tubuh yang segar sebelum bekerja, sehingga kita lupa pada iman yang lesu. Kita hari ini kepeningan memikirkan jumlah pelajar yang merosot ke medan perhimpunan, sehingga kita lupa berapa kerat antara mereka solat lima waktu. Kita hari ini keletihan mencari buku di perpustakaan sehingga kita lupa susahnya Nabi membawa Islam. Kita hari ini menyindir pada insan yang tidak bersukan, sehingga kita lupa bahawa antara kita ada yang nipis imannya. Kita hari ini, berbelanja puluhan ribu demi membangunkan aktiviti keguruan, sehingga kita lupa pada takwa yang semakin berkurangan. Kita hari ini berkira dengan elaun, sehingga kita lupa berapa daripadanya untuk kita belanjakan pada jalan Allah. Kita hari ini berpenat-penat memaksa memakai tali leher dan kasut bertumit, sehingga kita lupa betapa sunnah untuk berjubah, berserban, dan bertudung labuh, kita hari ini senang mengkritik namun berapa kritikan itu daripada iman, kita hari ini senang mengutuk namun berapa kutukan itu daripada kenyataan Quran. Kita berbangga pada aturan gerak bermuzik, sehingga kita lupa untuk menegaskan doa dan asma ul husna. Kita hari ini luangkan masa untuk bersenang-senang, namun berkira untuk KULTUM (Kuliah Tujuh Minit). Kita hari ini berletih-letihan untuk pertandingan dunia, namun lupa untuk berpenat bagi pertandingan merebut syurga. Kita hari ini bising dengan buka tutup pintu pagar, sehingga kita lupa tarikh tutup pintu taubat. Kita hari ini ingat mengingatkan tarikh hantar tugasan, hingga kita lupa bila tarikh kematian. Kita hari ini suka sangat menilai orang yang bercakap sehingga kita lupa untuk mengambil iktibar dari ulas bicaranya. Kita hari ini terlalu sibuk membangunkan ummat dunia, sehingga kita lupa untuk membangunkan hamba Allah. Kita hari ini senang sungguh menolak agama, sehingga kita lupa luka, jerih, perih Rasulullah untuk agama yang kita enteng-entengkan ini. Inilah realiti kita hari ini. Bukan kerja dunia ini tidak bagus, cuma sebagus-bagus kerja adalah kerja yang menjadi jambatan menuju syurga Allah.

Wallahu a’lam
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
SALAM MAULIDUR RASUL
IPG KDRI MENJUNJUNG SUNNAH MENGIMARAHKAN BUMI TUHAN

PERUTUSAN YDP JPP, IPG KDRI SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU 2011

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Segala puji, puja, dan syukur kita rafakkan kepada Tuhan yang telah memberikan kita segala nikmat kehidupan. Dialah yang telah menebarkan rezeki buat semua kehidupan samada kehidupan yang seni-seni, mahupun hidupan yang besar-besar. Dialah yang melantunkan angin yang membelai lembut wajah kita, dan Dia jugalah yang menerjang segala badai sehingga kita diuji dengan ketakutan. Dialah yang Maha Agung, Maha Bijaksana, dan Dialah guru kepada sekalian guru, penghulu segala ilmu. Selawat, dan Salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad solallahualaihiwasallam, kaum kerabat Baginda, sahabat-sahabat Baginda, para ulama’ yang benar, para pemimpin yang adil, dan insan-insan yang sering merajutkan kerinduan kepada Baginda. Marilah kita sama-sama melafazkan alhamdulillah. Segala puji bagi Allah, yang telah menyantunkan dunia dengan penuh kesusilaan untuk kita semua menikmati, dan menggunakannya dengan sebaik mungkin.

                “Allah menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat sertaorang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Surah ali-‘Imran:18))


Kepada bakal  guru, dan insan yang sudah lama menyandang gelaran keramat guru atau cikgu. Suasana pendidikan hari ini banyak berubah, dan menuntut juga perubahan sistem pengajaran yang mampu meneroka arus dunia semasa. Cabaran demi cabaran, menguji sejauh mana teori, dan pengalaman yang kita miliki, boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah. Dunia semakin canggih, anak-anak muda semakin lali dengan kemajuan teknologi, bahkan anak-anak kecil hari ini juga dimanjakan dengan belaian teknologi-teknologi hebat. Semuanya menuntut pemerhatian yang tajam daripada semua pihak, agar teknologi yang ada mampu memberi manfaat, bukannya mudharat.

Menelusuri tema Hari Guru pada tahun ini; Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara, melihat kepada suatu jurang yang mesti dirapatkan bagi memudahkan proses penyeberangan era pendidikan lama, dan era pendidikan baharu. Semuanya menuntut guru untuk berkorban, dan jika ingin benar-benar mengubah sistem pendidikan yang ada agar mampu menjadi sistem pendidikan bertaraf antarabangsa, guru seharusnya akan berkorban lebih daripada apa yang pernah mereka sangkakan. Pihak kerajaan, harus memandang serius profesion keguruan, yang mana hari ini umpama di anak tirikan oleh pihak kerajaan. Samada hal yang ini benar, mahupun hanya sekadar khabar angin, semuanya perlu diambil perhati dengan mata-mata serampang yang tajam. Usah saya menyenaraikan bukti-bukti mengapa istilah “anak tiri” ini wujud, guru-guru yang sudah lama berkecimpung di dalam dunia pendidikan lebih mengerti akan hal yang saya maksudkan.

Namun, sebagai pemimpin yang memerhati dunia kecil ini, dalam ruang lingkup terhad yang saya miliki, kecenderungan guru untuk kecewa adalah terlalu biasa. Melihat kepada jumlah guru yang ramai, dan pengambilannya yang juga ramai sepanjang tahun, menjelaskan bahawa sektor ini adalah penting. Kemudian kerajaan pula umpama mengukuhkan persepsi dengan mengatakan bahawa, pendidikan adalah kepentingan negara, aset yang mesti dijaga. Namun, apa yang menyedihkan, aspek penting yang mampu menjadi faktor jatuh, dan bangun sesebuah negara hanya dipandang sebelah mata. Bermula daripada gaji yang tidak setimpal dengan kerja, sehinggalah peluang kenaikan pangkat yang sukar, semuanya menimbulkan suatu inferioriti kompleks yang sukar untuk dibendung. Kesedihan ini, hanya diluahkan secara perlahan demi menjaga nama semua pihak, namun sampai bila masalah ini akan menemui jalan penyelesaiannya jika semua pihak berdiam diri.

Hari ini, ramai pihak yang mempertikaikan suara-suara guru yang memohon kenaikan gaji. Kata mereka kerja guru adalah senang, dan mempunyai cuti pada hujung minggu. Persepsi jumud ini, umpama suatu konklusi yang tidak bertamadun, yang diluahkan oleh Perak Man. Suatu lelucon yang memalukan dan menjatuhkan maruah siapa sahaja yang melafazkannya. Pendek kata, hanya insan yang jahil, dan ingin kekal jahil akan memperkatakan suatu yang sedemikian. Guru di sekolah memainkan peranan sebagai pembentuk jiwa manusia. Ibu bapa menghantar anak-anak untuk dibentuk supaya mampu menjadi manusia, yang kemudian mampu bermanfaat kepada manusia lain. Analoginya, sebuah kereta dihantar ke bengkel untuk dijadikan kegunaan kereta lain.

Dialah guru, yang membasuh berak pelajar yang baru diajar cara ke tandas, dialah guru yang menyengka air mata pelajar yang baru belajar berjauhan dengan keluarga, dialah guru yang membetulkan baju pelajar yang baru kenal erti kekemasan, dialah guru yang serak suaranya kerana mengawal 30 orang anak orang lain, dialah guru yang serba salah untuk merotan sedangkan pelajar perlu dididik untuk menjadi baik, dialah guru yang berpagi-pagi untuk berpuluh anak orang lain sedangkan anaknya yang seorang dihantar ke rumah orang lain, dialah guru yang mengubat luka saat pelajar baru kenal bermain di padang, dialah guru yang saban hari datang dengan wangian pulang dengan bau yang semacam dek pelukan anak-anak orang lain, namun, dialah guru itu, esoknya dia tetap datang dengan jiwa yang sama, untuk mendidik anak-anak orang lain, sedangkan anaknya sendiri tidak keruan nasibnya. Jika masih ada yang mengatakan kerja guru itu senang, maka ubahlah persepsi, cubalah menjadi guru untuk sehari, dan dikau akan menangis sesal dengan apa yang dikau pernah katakan sebelum ini.

Malaysia, bahkan negara-negara lain di dunia ini, ditempa dengan politik. Samada politik matang, ataupun politik selak kain, itu hal yang kedua. Namun, kejituan manusia menjadikan politik sebagai pencetak harus menerima akibatnya, dan guru adalah insan yang paling merasai kesan politik. Setiap era kepimpinan bertukar, maka dasar pendidikan bertukar, belum sempat pemerhatian dibuat, projek sudah terbengkalai. Mangsanya adalah guru dan pelajar, usah lagi dihitung kerugian kewangan, semuanya pembaziran yang menyedihkan. Namun, itulah situasi negara yang ditempa politik. Mereka yang mentadbir mungkin bukan daripada kalangan guru, mereka tidak tahu penat dan lelah seorang guru, dan ketandusan kasih sayang menjadi anak seorang guru. Alangkah indahnya jika, ada antara pihak atasan cuba menjadi guru buat sehari, cuba merasai apa yang guru rasa, dan apa yang guru dapat daripada apa yang dikerjakannya.
Sidang pembaca,

Saya hanyalah anak muda, yang belum bergelar guru, namun saya memerhati suasana dengan penaakulan yang tajam. Saya tidak suka membangkitkan isu yang sia-sia, makanya jarang saya nukilkan suatu yang kosong.

Kepada guru-guru, dan cikgu-cikgu.

Selamat menyambut Hari Guru, hari yang mana kita mendapat penghargaan daripada anak didik kita, namun bukan daripada majikan kita. Bersabarlah, dan berdoalah. Sungguhpun kita dipandang tidak berharga, namun Tuhan telah menjanjikan kebaikan buat kita, dan darjat yang mulia untuk kita. Sebagaimana firman di atas, jadikanlah ia sebagai pengubat hati yang luka. Hamparkanlah keredhaan, dan keikhlasan dalam setiap kerja kita. Didiklah anak bangsa dengan sebaik mungkin, kitalah pembentuk generasi masa hadapan. Mungkin orang di atas lupa, bahawa hakikat kerusi mereka akan diganti oleh anak murid kita suatu hari nanti, tidak mengapalah, biar Tuhan sahaja yang menentukan.

SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU
“GURU IKHLASKAN DIRIMU, NESCAYA TUHAN MEMBANTUMU”

Yang benar,

Mohd Nurhafizu Adha Bin Shamddin
Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar 2011/2012
Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail
Kuala Terengganu

Perutusan YDP JPP IPG KDRI Sempena Ihya' Ramadhan 1432 Hijrah Bersamaan 2011 Masihi

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Segala puji, puja, dan syukur kita rafakkan kepada Tuhan yang telah memberikan kita segala nikmat kehidupan. Dialah yang telah menebarkan rezeki buat semua kehidupan samada kehidupan yang seni-seni, mahupun hidupan yang besar-besar. Dialah yang melantunkan angin membelai lembut wajah kita, dan Dia jugalah yang menerjang segala badai sehingga kita diuji dengan ketakutan. Dialah yang Maha Agung, Maha Bijaksana, dan Dialah guru kepada sekalian guru, penghulu segala ilmu. Selawat, dan Salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad solallahualaihiwasallam, kaum kerabat Baginda, sahabat-sahabat Baginda, para ulama’ yang benar, para pemimpin yang adil, dan insan-insan yang sering merajutkan kerinduan kepada Baginda. Marilah kita sama-sama melafazkan alhamdulillah. Segala puji bagi Allah, yang telah menyantunkan dunia dengan penuh kesusilaan untuk kita semua menikmati, dan menggunakannya dengan sebaik mungkin.


Manusia terdiri daripada dua unsur yang digabungkan menjadi satu. Unsur ini dinamakan sebagai jasad dan roh. Keduanya saling melengkapi bagi melahirkan makhluk Tuhan yang melata di atas muka bumi. Umpama gandum dengan air. Jika gandum dibiarkan kering, maka kekallah ia dinamai gandum, jika air dibiar tenang, maka kekallah ia bernama air. Namun, jika keduanya diadun dengan baik, makanya jadilah ia makanan, suatu yang berguna buat tubuh manusia. Sejak zaman berzaman, jika tubuh mengalami sebarang masalah, maka doktor atau bomoh akan dijadikan rujukan bagi menyembuhkan penyakit. Manakala, jika roh ataupun jiwa saat ditimpa kesakitan akan dirujuk kepada bomoh juga, namun kebiasaannya akan dirawat kononnya dengan bantuan kuasa lain, yang akhirnya menjadi punca kepada masalah syirik dan khurafat.

Hasrat manusia untuk mencari perlindungan kemudian bermula dengan mencari Tuhan. Maka disembahlah pepohon, sungai, matahari, bulan, bahkan haiwan, (animisme) dengan hasrat bahawa unsur itu mampu menjadi pelindung kepada diri mereka. Inilah bukti bahawa fitrah manusia yang ingin bertuhan, bukan sahaja wujud hari ini, bahkan sejak bermulanya zaman. Islam kemudian datang dengan meniup angin kebahagiaan hingga memasuki lorong-lorong terkecil ruang alam jagat. Umpama embun yang memekarkan bunga, begitulah Islam datang, dan memekarkan jambangan fitrah ketuhanan yang satu, Allah subhanahuataala.

Diajarkan kepada manusia mengenai Allah, sang Pencipta alam dunia, dan syurgaloka. Dialah yang wajib disembah, Dialah yang wajib ditaati, dan Dialah yang wajib ditakuti. Kerana manusia ini hidup tanpa arah tujuan, dilahirkan insan yang menyampaikan kata firmanNya kepada ummat manusia. Itulah Muhammad, jurutera utama dalam aspek pembinaan modal insan. Al Quran yang dijadikan sumber rujukan telah melahirkan insan-insan agung yang digeruni di seluruh dunia, bahkan dikagumi oleh makhluk dunia dan makhluk akhirat. Nama-nama seperti Abu Bakar, Uthman, Umar, Ali, Hamzah, Sultan Sulaiman al Kanuni, Sultan Muhammad al Fateh, Umar Abdul Aziz, bahkan ribuan lagi nama terkemuka, semuanya bermula melalui didikan acuan al Quran dan as Sunnah. Bagaimana mereka boleh hebat dengan al Quran, sedangkan kita hari ini ragu-ragu dengan al Quran. Bila hadis dibaca, Quran diperdengarkan, hati hilang rasa getar. Jangan dibandingkan iman sahabat dengan iman kita, debu tapak kaki kuda yang menyeberang pedang bersilang arus pada medan Badar, Uhud, dan Khandak, belum tentu mampu kita lebihi kemuliaannya. Kasihan al Quran. Kasihan hadis. Sayunya hati Rasulullah. Dengan darah dan jerih Baginda usahakan, kemudian sampai kepada kita, semuanya diabaikan. Usahkan difahami, dibaca dengan teliti itupun bukan setiap hari. Muhasabahlah diri, kerana hidup mesti mati, kerana matilah jalan untuk bertemu Ilahi. Allah.

Sempana ramadhan yang datang saban tahun, sebagai kurniaan Tuhan untuk ummatnya kembali mengangkat darjat yang hilang pada sebelas bulan yang lalu, maka perbanyakkanlah diri kita membaca al Quran. Hayatilah setiap makna, dan khabar dari Tuhan. Insya Allah, kita akan faham apa itu Islam sebenarnya, dan ke mana Islam hendak membawa kita. Adakah pada puncak dunia, atau pada bangunan tinggi mencakar awan, atau pada duit yang berkoyan? Semuanya sudah dijawab Tuhan, hanya baca dan faham, hati yang gundah menjadi tenang, terlerailah setiap simpulan yang kusut pada fikiran. Firman Allah:

Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara hak dan yang bathil) – Al Baqarah ayat 185.

Dalam meniti waktu yang tinggal hanya beberapa jam untuk bertemu pada bulan yang penuh rahmat ini. Terasa getar ketakutan berlari pada segenap urat nadi. Takut, jika tiada kesempatan bertemu dengan bulan yang dirindui. Sebelas bulan berpisah, manakan ada kekasih mampu menahan rindu pada buah hatinya yang bayang-bayangnya sudah timbul, namun jasadnya belum diperlihatkan. Mohon pada Tuhan, panjangkanlah usia ini untuk bertemu ramadhan. Sekiranya inilah ramadhan yang penghabisan, biarlah penghabisan itu dalam ramadhan. Umpama kekasih yang wafat, dalam ribaan buah hatinya.

Akhirnya, saya mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf kepada semua pihak seandainya ada laku yang telah mengguris hati, ada sikap yang terlalai, ada kata yang menusuk hati. Maafkan kesalahan hamba, moga Tuan hidup dalam keberkatan. Kepada semua warga IPG KDRI, salam Ramadhan al Mubarak. Moga ramadhan yang ini dijagai dengan sempurna, hidupkanlah ia dengan sunnah, usah lagi membina permusuhan, ataupun fitnah memfitnah. Jadikan Ramadhan sebagai bulan untuk kita kembali mengangkat darjat diri. Umpama setahun bermandi lumpur, sekarang langit sudah mendung, gamaknya hujan tidak lama lagi, dapatlah kulit tersentuh air, bersihkan diri, bersihkan hati.

Salam Ramadhan 1432 Hijrah. Selamat Berpuasa. Maaf Zahir dan Batin.

Mohd Nurhafizu Adha Bin Shamddin
Yang di Pertua
Jawatankuasa Perwakilan Pelajar
Institut Pendidikan Guru
Kampus Dato’ Razali Ismail
Kuala Terengganu

Ucapan Penutup dan Penghargaan Seminar Penyelidikan Tindakan Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail 2013

Bismillah al Rahman al Rahim.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Yang saya hormati, tetamu-tetamu kehormat, para pensyarah, rakan-rakan guru pelatih, dan sidang dewan sekalian.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Yang Maha Mengasihani kerana dengan kasihNya kita dapat sama-sama mengikuti, dan menjayakan Seminar Penyelidikan Tindakan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali tahun 2013. Program ini telah berlangsung selama 3 hari mulai 17 September 2013, sehinggalah hari ini 19 September 2013.  Program ini telah diisi dengan 217 pembentangan penyelidikan tindakan daripada 217 penyelidik yang terdiri daripada guru-guru pelatih PISMP ambilan Januari 2010. Tuntutan bagi memenuhi syarat penganugerahan Ijazah Sarjana Muda Perguruan ini telah dilaksanakan dengan cemerlang oleh para penyelidik.

Pada 19 Jun 2013, sekumpulan manusia yang terdiri daripada lelaki dan wanita telah mengadakan mesyuarat. Mereka mendepani masa dengan membayangi apa yang kita lalui hari ini. Kerana bayangan itu, mereka memulakan gerak kerja yang tidak pernah berakhir, sehinggalah kita sedang duduk di dalam dewan seminar yang sejuk ini. Di kiri dan kanan dewan, di luar sana, mereka lelaki dan wanita itu sedang duduk atau berdiri, penuh debaran menanti, dan menanti melihat apakah bayangan akan menjadi realiti. Mereka bukan sahaja menyertai seminar ini, bukan sahaja membentangkan penyelidikan namun mewaqafkan diri menjadi tiang-tiang, dan pepaku yang membina seminar yang kita nikmati selama tiga hari ini.
Hadirin sekalian.

Tiada siapa yang akan lebih mengingati seminar 17, 18, dan 19 September 2013 ini melainkan diri kita sendiri yang terlibat menjayakannya. Dunia mungkin lupa pada perkataan, dan perbuatan yang kita lakukan di sini, namun kita tidak akan pernah melupakannya. Kitalah lelaki-lelaki, dan wanita-wanita kuat yang telah menyahut cabaran menjadi sebahagian sejarah, memberi sepenuh komitmen dalam menjalankan penyelidikan, menjayakan seminar, dan lantas mengukir nama dalam taraf yang tersendiri. Maka, adakah kita akan berakhir di sini, atau kita bermula di sini?

Kepada rakan-rakan guru pelatih, kita telah terpilih untuk mengikuti kursus perguruan yang panjang ini. Kita bersama-sama susah, dan senang selama 66 bulan ini. Bermula daripada insan asing, kita menjadi akrab, dan perpisahan yang sedang dihitung terasa amat berat. Sebegitu juga dengan penyelidikan tindakan ini. Kita telah bersusah payah, bahkan melakukan banyak pengorbanan demi penyelidikan ini, maka apa yang kita ingin lakukan selepas ini? Kurt Lewin 1948 mengingatkan penyelidik-penyelidik yang menggunakan model beliau dengan ungkapan “research that produces nothing but books will not be suffice.”

Akhir kata, tahniah, dan terima kasih kepada lelaki-lelaki, dan wanita-wanita hebat perkasa yang menganggotai Jawatankuasa Induk, dan Jawatankuasa Pelaksana kerana telah sama-sama menjayakan Seminar Penyelidikan Tindakan PISMP IPG Kampus Dato’ Razali Ismail tahun 2013. Ingat lagi 19 Jun 2013? Pada masa itu kita hanya berimpian bahawa Yang Berbahagia Rektor akan datang merasmikan seminar ini, namun pada Selasa lepas kita telah menunaikan impian tersebut. Kata orang, tanpa kekuatan impian tidak akan menjadi kenyataan, namun hari ini kita buktikan, kita berani bermimpi, kerana kita kuat menjadikannya impian. Ingat, kita ini merupakan benih yang bernas, sungguhpun digetus digetas binatang buas, sungguhpun dibasah kering hujan dan panas, kita tetap tumbuh mencetus tunas.

Sekian, terima kasih. 

MOHD NURHAFIZU ADHA BIN SHAMDDIN
Pengerusi
Seminar Penyelidikan Tindakan PISMP
Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail 2013