Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Segala puji, puja, dan syukur kita rafakkan kepada Tuhan yang telah memberikan kita segala nikmat kehidupan. Dialah yang telah menebarkan rezeki buat semua kehidupan samada kehidupan yang seni-seni, mahupun hidupan yang besar-besar. Dialah yang melantunkan angin yang membelai lembut wajah kita, dan Dia jugalah yang menerjang segala badai sehingga kita diuji dengan ketakutan. Dialah yang Maha Agung, Maha Bijaksana, dan Dialah guru kepada sekalian guru, penghulu segala ilmu. Selawat, dan Salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad solallahualaihiwasallam, kaum kerabat Baginda, sahabat-sahabat Baginda, para ulama’ yang benar, para pemimpin yang adil, dan insan-insan yang sering merajutkan kerinduan kepada Baginda. Marilah kita sama-sama melafazkan alhamdulillah. Segala puji bagi Allah, yang telah menyantunkan dunia dengan penuh kesusilaan untuk kita semua menikmati, dan menggunakannya dengan sebaik mungkin.
“Allah menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat sertaorang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Surah ali-‘Imran:18))
Kepada bakal guru, dan insan yang sudah lama menyandang gelaran keramat guru atau cikgu. Suasana pendidikan hari ini banyak berubah, dan menuntut juga perubahan sistem pengajaran yang mampu meneroka arus dunia semasa. Cabaran demi cabaran, menguji sejauh mana teori, dan pengalaman yang kita miliki, boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah. Dunia semakin canggih, anak-anak muda semakin lali dengan kemajuan teknologi, bahkan anak-anak kecil hari ini juga dimanjakan dengan belaian teknologi-teknologi hebat. Semuanya menuntut pemerhatian yang tajam daripada semua pihak, agar teknologi yang ada mampu memberi manfaat, bukannya mudharat.
Menelusuri tema Hari Guru pada tahun ini; Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara, melihat kepada suatu jurang yang mesti dirapatkan bagi memudahkan proses penyeberangan era pendidikan lama, dan era pendidikan baharu. Semuanya menuntut guru untuk berkorban, dan jika ingin benar-benar mengubah sistem pendidikan yang ada agar mampu menjadi sistem pendidikan bertaraf antarabangsa, guru seharusnya akan berkorban lebih daripada apa yang pernah mereka sangkakan. Pihak kerajaan, harus memandang serius profesion keguruan, yang mana hari ini umpama di anak tirikan oleh pihak kerajaan. Samada hal yang ini benar, mahupun hanya sekadar khabar angin, semuanya perlu diambil perhati dengan mata-mata serampang yang tajam. Usah saya menyenaraikan bukti-bukti mengapa istilah “anak tiri” ini wujud, guru-guru yang sudah lama berkecimpung di dalam dunia pendidikan lebih mengerti akan hal yang saya maksudkan.
Namun, sebagai pemimpin yang memerhati dunia kecil ini, dalam ruang lingkup terhad yang saya miliki, kecenderungan guru untuk kecewa adalah terlalu biasa. Melihat kepada jumlah guru yang ramai, dan pengambilannya yang juga ramai sepanjang tahun, menjelaskan bahawa sektor ini adalah penting. Kemudian kerajaan pula umpama mengukuhkan persepsi dengan mengatakan bahawa, pendidikan adalah kepentingan negara, aset yang mesti dijaga. Namun, apa yang menyedihkan, aspek penting yang mampu menjadi faktor jatuh, dan bangun sesebuah negara hanya dipandang sebelah mata. Bermula daripada gaji yang tidak setimpal dengan kerja, sehinggalah peluang kenaikan pangkat yang sukar, semuanya menimbulkan suatu inferioriti kompleks yang sukar untuk dibendung. Kesedihan ini, hanya diluahkan secara perlahan demi menjaga nama semua pihak, namun sampai bila masalah ini akan menemui jalan penyelesaiannya jika semua pihak berdiam diri.
Hari ini, ramai pihak yang mempertikaikan suara-suara guru yang memohon kenaikan gaji. Kata mereka kerja guru adalah senang, dan mempunyai cuti pada hujung minggu. Persepsi jumud ini, umpama suatu konklusi yang tidak bertamadun, yang diluahkan oleh Perak Man. Suatu lelucon yang memalukan dan menjatuhkan maruah siapa sahaja yang melafazkannya. Pendek kata, hanya insan yang jahil, dan ingin kekal jahil akan memperkatakan suatu yang sedemikian. Guru di sekolah memainkan peranan sebagai pembentuk jiwa manusia. Ibu bapa menghantar anak-anak untuk dibentuk supaya mampu menjadi manusia, yang kemudian mampu bermanfaat kepada manusia lain. Analoginya, sebuah kereta dihantar ke bengkel untuk dijadikan kegunaan kereta lain.
Dialah guru, yang membasuh berak pelajar yang baru diajar cara ke tandas, dialah guru yang menyengka air mata pelajar yang baru belajar berjauhan dengan keluarga, dialah guru yang membetulkan baju pelajar yang baru kenal erti kekemasan, dialah guru yang serak suaranya kerana mengawal 30 orang anak orang lain, dialah guru yang serba salah untuk merotan sedangkan pelajar perlu dididik untuk menjadi baik, dialah guru yang berpagi-pagi untuk berpuluh anak orang lain sedangkan anaknya yang seorang dihantar ke rumah orang lain, dialah guru yang mengubat luka saat pelajar baru kenal bermain di padang, dialah guru yang saban hari datang dengan wangian pulang dengan bau yang semacam dek pelukan anak-anak orang lain, namun, dialah guru itu, esoknya dia tetap datang dengan jiwa yang sama, untuk mendidik anak-anak orang lain, sedangkan anaknya sendiri tidak keruan nasibnya. Jika masih ada yang mengatakan kerja guru itu senang, maka ubahlah persepsi, cubalah menjadi guru untuk sehari, dan dikau akan menangis sesal dengan apa yang dikau pernah katakan sebelum ini.
Malaysia, bahkan negara-negara lain di dunia ini, ditempa dengan politik. Samada politik matang, ataupun politik selak kain, itu hal yang kedua. Namun, kejituan manusia menjadikan politik sebagai pencetak harus menerima akibatnya, dan guru adalah insan yang paling merasai kesan politik. Setiap era kepimpinan bertukar, maka dasar pendidikan bertukar, belum sempat pemerhatian dibuat, projek sudah terbengkalai. Mangsanya adalah guru dan pelajar, usah lagi dihitung kerugian kewangan, semuanya pembaziran yang menyedihkan. Namun, itulah situasi negara yang ditempa politik. Mereka yang mentadbir mungkin bukan daripada kalangan guru, mereka tidak tahu penat dan lelah seorang guru, dan ketandusan kasih sayang menjadi anak seorang guru. Alangkah indahnya jika, ada antara pihak atasan cuba menjadi guru buat sehari, cuba merasai apa yang guru rasa, dan apa yang guru dapat daripada apa yang dikerjakannya.
Sidang pembaca,
Saya hanyalah anak muda, yang belum bergelar guru, namun saya memerhati suasana dengan penaakulan yang tajam. Saya tidak suka membangkitkan isu yang sia-sia, makanya jarang saya nukilkan suatu yang kosong.
Kepada guru-guru, dan cikgu-cikgu.
Selamat menyambut Hari Guru, hari yang mana kita mendapat penghargaan daripada anak didik kita, namun bukan daripada majikan kita. Bersabarlah, dan berdoalah. Sungguhpun kita dipandang tidak berharga, namun Tuhan telah menjanjikan kebaikan buat kita, dan darjat yang mulia untuk kita. Sebagaimana firman di atas, jadikanlah ia sebagai pengubat hati yang luka. Hamparkanlah keredhaan, dan keikhlasan dalam setiap kerja kita. Didiklah anak bangsa dengan sebaik mungkin, kitalah pembentuk generasi masa hadapan. Mungkin orang di atas lupa, bahawa hakikat kerusi mereka akan diganti oleh anak murid kita suatu hari nanti, tidak mengapalah, biar Tuhan sahaja yang menentukan.
SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU
“GURU IKHLASKAN DIRIMU, NESCAYA TUHAN MEMBANTUMU”
Yang benar,
Mohd Nurhafizu Adha Bin Shamddin
Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar 2011/2012
Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail
Kuala Terengganu
No comments:
Post a Comment