Hatiku
Dalam keriangan bumi suci
Aku sunyi mengenangmu
Apa khabar dirimu
Dalam hayat Tanah Melayu
Tempat berpencak Hang Tuah
Mempertahan cinta dan rindu
Buat Gusti Puteri yang berdiam diri
Muslimin
Angin Kota Mekah jauh berdesir
Sehingga bertamu sampai kepadaku
Dalam meninjau kermizi senja
Dan merandai pepohon rendang
Cerita ingatan itu menyengka hijabku
Lalu berdendang pada telingaku
Muslimah
Maafkan daku untuk sebuah rindu
Kerana hinggap pada bahu sucimu
Namun
Aku juga insan
Terpikat pada hikayat cinta
Bumi Anbia
Yang indah tanpa dusta
Bahagia dan membahagiakan
Muslimin
Sujudlah pada Tuhan
Sedang dirimu terlalu dekat dengan rumahNya
Jangan sarat dadamu dengan rindu
Kerana rindu itu memakan hati
Sabarlah
Bahawasanya aku juga menyembah
Tuhan yang dikau sembah
Muslimah
Hatimu terlalu mulia
Aku yang berteleku dalam rumah Tuhan terkesima
Betapa kuat angin Tanah Melayu
Merentasi Sahara, dan Laut Merah
Menggoncangkan iman muda
Astgahfirullah hal adzim
Astgahfirullah hal adzim
Astgahfirullah hal adzim
Muslimin
Percayalah pada Allah
cintaNya lebih cinta
jika benar wujud cinta antara insan
maka ketahuilah ia hanyalah titisan cinta Tuhan
dalam lautan RahimNya
La tahzan ya akhi
Innallah ha ma’assoobiriin
Muslimah
Betapa bertuah aku
Menjumpai permata dalam kaca
Muslimin
Ini pesan hatiku pada jiwamu
Pesan untuk kudrat cinta yang menggelupur
Pada hatimu
Ketahuilah cinta itu suci
Cinta bukan untuk dipertontonkan
Namun
Untuk dirasai
Umpama mawar yang terselindung
Sungguhpun kelopaknya tersembunyi
Harumnya tetap mewangikan taman
Janganlah memanjakan cinta
Kerana cinta itu sifatnya perjuangan
Bukan kemenangan
Muslimah
Ini pesan jiwaku
Buat hati, dan keanggunanmu
Jagailah maruahmu sekuatnya
Titiplah iman dalam perbuatanmu
Sesungguhnya
Wanita yang bermartabat tinggi
Martabat itulah yang menghalangnya membuat kerosakan
Baik pada diri mahupun cintanya
Jangan termakan pujuk rayu
Kerana pujukan itu tidak lebih
Melainkan umpama buah kepayang
Dipandang cantik
Ditelan mabuk
Cintaku
Sabarlah menanti
Jangan kerana setitis cinta dusta
Lautan cinta Allah dikau tinggalkan
Beranilah menghadapi dugaan
Ingat
Jangan manjakan cinta
Kerana cinta itu
Perjuangan
Bukan
Kemenangan
Melainkan
Cinta Tuhan
Yang Abadi Berkekalan
No comments:
Post a Comment