Thursday, 21 November 2013

Mengapa Luahkan di Tweeter? Bukankah Aku Masih Hidup?

Sepatutnya saya sudah lena, namun kejadian petang tadi membuatkan mata ini tidak mahu lena, kerana jiwa terlalu hidup, belum tiba masanya untuk tidur.

Sudah lama, kawan-kawan meminta saya membuat akaun Tweeter, namun saya tak layan, sehinggalah petang tadi. Apabila siap sahaja akaun itu, segera saya cari beberapa nama untuk saya ikuti, sebagai rakan di dunia maya. Nama demi nama saya taip, sehinggalah nama seorang insan yang pernah menjadi sangat istimewa di dalam hidup saya. Saya tahu, sudah lama dia mempunyai akaun Tweeter, dan saya tahu daripada rakan-rakan, bahawa dia sering meluahkan rasa di Tweeter, terutama setelah hubungan saya dan dia retak. Menaip nama dia takkan pernah sesekali tanpa diiringi perasaan rindu yang sangat kuat. Tentu sekali saya sentiasa merindui dia setiap hari, setiap masa, dalam setiap helaan nafas. Dia merupakan sahabat terbaik yang Allah anugerahkan kepada saya, namun kerana Allah juga jadikan saya buta pada jiwa, maka hubungan terindah itu hilang begitu sahaja.

Saya soroti tulisan dia di akaunnya. Seolah melihat sebuah tayangan gambar, satu demi satu kenangan tersingkap, satu demi satu perasaan dia saya faham. Wahai sahabatku, mengapa dikau luahkan di Tweeter, bukankah aku masih hidup? Kenapa tidak bertemu denganku, luahkan bahawa kau tidak senang mengenai hubungan kita yang kian hambar? Sahabatku, aku jenuh menangis dalam sujud, meminta jawapan pada kedegilan hatimu yang seolah langsung tidak memerihalkan aku dalam hidupmu. Aku sunyi tanpa panggilan, dan SMS darimu, lantas aku selalu memulakan perbualan, yang disambut sangat dingin. Aku fikir, dikau membenci diriku, lantas aku banyak mendiamkan diri, menjauhi dirimu.

Wahai sahabatku, mengapa dikau luahkan pada Tweeter? Bukankah aku masih hidup? Atau sebenarnya aku ini dibenci? Lalu mengapa luahan itu tepat dengan keretakan kita? Tarikh-tarikh yang tercatat, semuanya dilalui dengan kelukaan hatiku yang terdalam. Wahai sahabatku, mengapa dikau luahkan pada Tweeter?

Keretakan yang kita sedang alami ini tidak seharusnya berlaku. Kita sepatutnya terus bergembira, dan aku bayangkan perpisahan 15 November lepas merupakan detik yang paling kita takuti, namun dek kerana perpecahan, semuanya dingin, sedingin ais yang tersejuk.


Wahai sahabatku, apakah sudah terlambat? Atau kita masih ada peluang? Hubungilah aku selagi aku masih hidup. 

No comments:

Post a Comment