Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Terima kasih kepada Pengacara Majlis. Yang Berbahagia Encik Mohamad Bin Ngah, Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, Yang Berusaha Tuan Haji M. Shaipulah Bin Awang Ibrahim, Timbalan Pengarah IPG Kampus Dato’ Razali, Yang Berusaha Tuan Haji Yahaya Bin Osman, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar IPG Kampus Dato’ Razali Ismail, Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Unit, Barisan Kepimpinan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPG Kampus Dato’ Razali Ismail 2011/2012, Para Pensyarah, dan rakan-rakan pelajar yang dihormati sekalian.
Segala puji, puja, dan syukur kita rafakkan kepada Tuhan yang telah memberikan kita segala nikmat kehidupan. Dialah yang telah menebarkan rezeki buat semua kehidupan samada kehidupan yang seni-seni, mahupun hidupan yang besar-besar. Dialah yang melantunkan angin yang membelai lembut wajah kita, dan Dia jugalah yang menerjang segala badai sehingga kita diuji dengan ketakutan. Dialah yang Maha Agung, Maha Bijaksana, dan Dialah guru kepada sekalian guru, penghulu segala ilmu. Selawat, dan Salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad solallahualaihiwasallam, kaum kerabat Baginda, sahabat-sahabat Baginda, para ulama’ yang benar, para pemimpin yang adil, dan insan-insan yang sering merajutkan kerinduan kepada Baginda. Marilah kita sama-sama melafazkan alhamdulillah. Segala puji bagi Allah, yang telah menyantunkan dunia dengan penuh kesusilaan untuk kita semua menikmati, dan menggunakannya dengan sebaik mungkin.
Pertamanya, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua AJK yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan Minggu Pengurusan Pelajar Baharu PPISMP ambilan Jun 2011. Semoga Allah menilainya sebagai ibadah yang membahagiakan anda semua di akhirat kelak.
Kata Saidana Ali Karamallahu wajhah:
Apabila kamu berasa letih setelah berbuat kebaikan, maka sesungguhnya keletihan akan hilang, namun kebaikan kekal selamanya. Sekiranya kamu bersenang-senang dengan dosa, sesungguhnya kesenangan akan hilang, tetapi dosa yang dilakukan akan terus kekal.
Hadirin sekalian,
Selamat datang, dan salam bahagia saya ucapkan kepada semua guru pelatih baharu ambilan Jun 2011 ini. Tahniah dan syabas atas kejayaan semua dalam mengejar cita-cita, mewarisi tugas mendidik, dan membentuk negara yang tercinta ini. Semoga sentiasa istiqamah dalam meneruskan perjuangan bagi mencapai cita-cita. Saya yakin bahawa guru-guru pelatih sedar bahawa menjadi guru bukanlah satu tugas yang senang ataupun mudah. Hidup ini bukannya mimpi, sungguhpun mimpi itu indah :
Anak Cina memetik selasih
Anyam rotan dibuat timba
Tiada yang indah dalam berkasih
Mimpikan bulan jatuh ke riba
Hadirin sekalian,
Guru Pelaksana Syariat Tuhan
Mustahil insan itu boleh dibina tanpa ilmu agama. Ilmu Al-Quran mengajar kita tentang adanya dua perkara dalam setiap insan itu yakni jasad dan roh.
Membina roh insan adalah memberi faham kepada mereka tentang dosa dan pahala, adanya taat dan maksiat, adanya malaikat dan adanya iblis, adanya hisab dan adanya hari pembalasan, adanya Syurga dan adanya Neraka.
Ini soal asas yang tiada khilaf. Ini konsep tarbiyyah bawaan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul alaihissalam serta para tabi'in dan wali-wali zaman berzaman.
Jika para guru mahu diiktiraf sebagai instrumen terpenting modal insan, maka kita jangan abaikan aspek pembinaan roh.
Jasad dan roh diumpamakan sebagai tiram dan mutiara. Sungguhpun tiram telah mati,mutiara tetap bersinar terang.
Akhirnya, sebagai pedoman kepada semua guru pelatih baharu dan lama, berhati-hatilah bila melangkah dan meredah onak.
Makan sirih berpinang tidak
Buah keranji atas perahu
Singgah tidak kenang pun tidak
Sampai hati buat tak tahu
Setiap tempat berpijak berbeza tanahnya, umpama pantai dan padang, sungguhpun sama di bumi Tuhan, pantai berpasir putih, padang berselimut rumput hijau. Setiap rumah ada pintunya, setiap tanah ada tuannya, setiap tempat ada adatnya. Sedarlah diri berada di Pantai Timur, negeri terjaga dengan kesopanan. Seliar-liar ikan, takkan sama ikan laut dan ikan sungai, segarang-garang singa takkan sama singa di gunung dan singa di hutan.
Selamat berjaya buat semua. Sekali lagi saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan Minggu Pengurusan Pelajar Baharu ambilan Jun 2011.
Dari Demak ke Mekasar
Bergalah perahu tidak berbaju
Maafkan hamba jika terkasar
Allah jua tempat dituju.
Dengan nama Allah, saya sudahi dengan Wabillahi taufiq Wal hidayah. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Dan salam sejahtera
Yang di Pertua
Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPG Dato' Razali Ismail
No comments:
Post a Comment