Sunday, 24 November 2013

PERUTUSAN YANG DI PERTUA JAWATANKUASA PERWAKILAN PELAJAR IPG KAMPUS DATO' RAZALI ISMAIL 2011/2012

PERUTUSAN YANG DI PERTUA JAWATANKUASA PERWAKILAN PELAJAR IPG KAMPUS DATO' RAZALI ISMAIL 2011/2012 SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PELANTIKAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Terima kasih kepada Pengacara Majlis, Yang Berbahagia Encik Mohamad Bin Ngah - Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, Yang Berusaha Tuan Haji M. Shaipulah Bin Awang Ibrahim Timbalan Pengarah IPG Kampus Dato’ Razali Ismail merangkap Ketua Penasihat Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPG Kampus Dato’ Razali Ismail sesi 2011/2012, Yang Berusaha Tuan Haji Yahaya Bin Osman Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar IPG Kampus Dato’ Razali Ismail merangkap Timbalan Ketua Penasihat JPP IPG Kampus Dato’ Razali Ismail sesi 2011/2012, Yang Dihormati Barisan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPG Kampus Dato’ Razali Ismail sesi 2011/2012, Ketua-ketua Unit, Ketua-ketua Jabatan, Para Pensyarah Kanan, Para Pensyarah, dan seterusnya guru-guru pelatih sekalian.

Terdahulunya, marilah kita sama-sama menzahirkan rasa kesyukuran pada Allah subhanahuataala yang telah mengizinkan kita untuk sama-sama berkumpul di dalam sebuah majlis yang sederhana, namun amat bermakna terutamanya buat saya dan teman-teman JPP sesi 2011/2012. Terima kasih kepada semua AJK yang telah terlibat dalam menjayakan acara ini, dan penghargaan juga buat Yang Berbahagia Encik Mohamad Bin Ngah atas kesudian menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail sesi 2011/2012. Tidak lupa juga terima kasih kepada semua yang hadir dalam menjadikan acara ini lebih bermakna dan ceria. Terima kasih semua.

Hadirin sekalian

Berbekalkan Visi : Memartabatkan IPG Memperkasakan Rohani, tahun ini merupakan Tahun Tarbiah. Jika diluar sana pemimpin mengadakan Tahun Melawat Malaysia, maka saya di dalam ini mengadakan Tahun Mentarbiah Jiwa. Pentarbiahan ataupun di dalam istilah Melayunya bererti pendidikan, merupakan aspek penting yang perlu kita semua cakna dan titik beratkan. Seulas mahupun secebis jiwa yang hancur, akan melumatkan generasi manusia. Justeru, kita yang telah dimaklumkan sebagai peneraju generasi masa hadapan, berkait langsung dengan tarbiah samada suka mahupun tidak, samada sedar mahupun tidak. Inilah sebuah kenyataan yang tidak mampu kita tolak.

Harapannya, semoga setiap jiwa yang mendiami bumi Allah ini, akan turut sama berganding bahu memerah tenaga bagi menjadikan IPG ini peneraju dalam melahirkan insan yang kamil. Kerajaan telah memaklum dunia dengan JERI, dan sekarang ini bertambah menjadi JERIS. Ini merupakan satu petanda bahawa kita mesti mencari titik keseimbangan dalam melahirkan guru yang berjiwa sufi, guru yang berperibadi abid, guru yang bersantun ulama, guru yang bersemangat jihad, guru yang merindui syahid, dan guru yang sentiasa takut pada Tuhannya. Marilah bekerja bersama saya dan berkhidmat untuk Allah.

Tuan-tuan dan puan-puan, saudara dan saudari.

Marilah kita semua kembali kepada Allah, RasulNya, dan kitab-kitabNya. Marilah kita meletakkan Allah sebagai rujukan utama kita, dan melalui al Quran serta hadith kita selesaikan setiap masalah yang timbul. Sebagaimana tidak mungkin kereta mampu membaiki kereta, tidak mungkin basikal mampu membaiki basikal, tidak mungkin robot tercanggih mampu membaiki robot secanggihnya, dan kerana itu, tidak mungkin manusia mampu membaiki manusia dengan undang-undang akal manusia. Kerana banyaknya manusia yang mempercayai akalnya yang kononnya hebat, kerana itulah pergolakan dan perselisihan berlaku. Jiwa menjadi tidak tenang, dan suasana tidak harmoni, umpama tikus membaiki labu, tikus berasa berjaya; puas, namun labu kian rosak. Inilah dunia hari ini. Marilah kita semua kembali kepada Allah yang Satu, Nabi yang satu, al Quran yang satu, dan agama yang satu.

Kita hari ini berbangga meniru budaya Jepun, sehinggakan budaya Islam ditolak jauh. Kita hari ini berbangga dengan tubuh yang segar sebelum bekerja, sehingga kita lupa pada iman yang lesu. Kita hari ini kepeningan memikirkan jumlah pelajar yang merosot ke medan perhimpunan, sehingga kita lupa berapa kerat antara mereka solat lima waktu. Kita hari ini keletihan mencari buku di perpustakaan sehingga kita lupa susahnya Nabi membawa Islam. Kita hari ini menyindir pada insan yang tidak bersukan, sehingga kita lupa bahawa antara kita ada yang nipis imannya. Kita hari ini, berbelanja puluhan ribu demi membangunkan aktiviti keguruan, sehingga kita lupa pada takwa yang semakin berkurangan. Kita hari ini berkira dengan elaun, sehingga kita lupa berapa daripadanya untuk kita belanjakan pada jalan Allah. Kita hari ini berpenat-penat memaksa memakai tali leher dan kasut bertumit, sehingga kita lupa betapa sunnah untuk berjubah, berserban, dan bertudung labuh, kita hari ini senang mengkritik namun berapa kritikan itu daripada iman, kita hari ini senang mengutuk namun berapa kutukan itu daripada kenyataan Quran. Kita berbangga pada aturan gerak bermuzik, sehingga kita lupa untuk menegaskan doa dan asma ul husna. Kita hari ini luangkan masa untuk bersenang-senang, namun berkira untuk KULTUM (Kuliah Tujuh Minit). Kita hari ini berletih-letihan untuk pertandingan dunia, namun lupa untuk berpenat bagi pertandingan merebut syurga. Kita hari ini bising dengan buka tutup pintu pagar, sehingga kita lupa tarikh tutup pintu taubat. Kita hari ini ingat mengingatkan tarikh hantar tugasan, hingga kita lupa bila tarikh kematian. Kita hari ini suka sangat menilai orang yang bercakap sehingga kita lupa untuk mengambil iktibar dari ulas bicaranya. Kita hari ini terlalu sibuk membangunkan ummat dunia, sehingga kita lupa untuk membangunkan hamba Allah. Kita hari ini senang sungguh menolak agama, sehingga kita lupa luka, jerih, perih Rasulullah untuk agama yang kita enteng-entengkan ini. Inilah realiti kita hari ini. Bukan kerja dunia ini tidak bagus, cuma sebagus-bagus kerja adalah kerja yang menjadi jambatan menuju syurga Allah.

Wallahu a’lam
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
SALAM MAULIDUR RASUL
IPG KDRI MENJUNJUNG SUNNAH MENGIMARAHKAN BUMI TUHAN

PERUTUSAN YDP JPP, IPG KDRI SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU 2011

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Segala puji, puja, dan syukur kita rafakkan kepada Tuhan yang telah memberikan kita segala nikmat kehidupan. Dialah yang telah menebarkan rezeki buat semua kehidupan samada kehidupan yang seni-seni, mahupun hidupan yang besar-besar. Dialah yang melantunkan angin yang membelai lembut wajah kita, dan Dia jugalah yang menerjang segala badai sehingga kita diuji dengan ketakutan. Dialah yang Maha Agung, Maha Bijaksana, dan Dialah guru kepada sekalian guru, penghulu segala ilmu. Selawat, dan Salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad solallahualaihiwasallam, kaum kerabat Baginda, sahabat-sahabat Baginda, para ulama’ yang benar, para pemimpin yang adil, dan insan-insan yang sering merajutkan kerinduan kepada Baginda. Marilah kita sama-sama melafazkan alhamdulillah. Segala puji bagi Allah, yang telah menyantunkan dunia dengan penuh kesusilaan untuk kita semua menikmati, dan menggunakannya dengan sebaik mungkin.

                “Allah menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat sertaorang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Surah ali-‘Imran:18))


Kepada bakal  guru, dan insan yang sudah lama menyandang gelaran keramat guru atau cikgu. Suasana pendidikan hari ini banyak berubah, dan menuntut juga perubahan sistem pengajaran yang mampu meneroka arus dunia semasa. Cabaran demi cabaran, menguji sejauh mana teori, dan pengalaman yang kita miliki, boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah. Dunia semakin canggih, anak-anak muda semakin lali dengan kemajuan teknologi, bahkan anak-anak kecil hari ini juga dimanjakan dengan belaian teknologi-teknologi hebat. Semuanya menuntut pemerhatian yang tajam daripada semua pihak, agar teknologi yang ada mampu memberi manfaat, bukannya mudharat.

Menelusuri tema Hari Guru pada tahun ini; Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara, melihat kepada suatu jurang yang mesti dirapatkan bagi memudahkan proses penyeberangan era pendidikan lama, dan era pendidikan baharu. Semuanya menuntut guru untuk berkorban, dan jika ingin benar-benar mengubah sistem pendidikan yang ada agar mampu menjadi sistem pendidikan bertaraf antarabangsa, guru seharusnya akan berkorban lebih daripada apa yang pernah mereka sangkakan. Pihak kerajaan, harus memandang serius profesion keguruan, yang mana hari ini umpama di anak tirikan oleh pihak kerajaan. Samada hal yang ini benar, mahupun hanya sekadar khabar angin, semuanya perlu diambil perhati dengan mata-mata serampang yang tajam. Usah saya menyenaraikan bukti-bukti mengapa istilah “anak tiri” ini wujud, guru-guru yang sudah lama berkecimpung di dalam dunia pendidikan lebih mengerti akan hal yang saya maksudkan.

Namun, sebagai pemimpin yang memerhati dunia kecil ini, dalam ruang lingkup terhad yang saya miliki, kecenderungan guru untuk kecewa adalah terlalu biasa. Melihat kepada jumlah guru yang ramai, dan pengambilannya yang juga ramai sepanjang tahun, menjelaskan bahawa sektor ini adalah penting. Kemudian kerajaan pula umpama mengukuhkan persepsi dengan mengatakan bahawa, pendidikan adalah kepentingan negara, aset yang mesti dijaga. Namun, apa yang menyedihkan, aspek penting yang mampu menjadi faktor jatuh, dan bangun sesebuah negara hanya dipandang sebelah mata. Bermula daripada gaji yang tidak setimpal dengan kerja, sehinggalah peluang kenaikan pangkat yang sukar, semuanya menimbulkan suatu inferioriti kompleks yang sukar untuk dibendung. Kesedihan ini, hanya diluahkan secara perlahan demi menjaga nama semua pihak, namun sampai bila masalah ini akan menemui jalan penyelesaiannya jika semua pihak berdiam diri.

Hari ini, ramai pihak yang mempertikaikan suara-suara guru yang memohon kenaikan gaji. Kata mereka kerja guru adalah senang, dan mempunyai cuti pada hujung minggu. Persepsi jumud ini, umpama suatu konklusi yang tidak bertamadun, yang diluahkan oleh Perak Man. Suatu lelucon yang memalukan dan menjatuhkan maruah siapa sahaja yang melafazkannya. Pendek kata, hanya insan yang jahil, dan ingin kekal jahil akan memperkatakan suatu yang sedemikian. Guru di sekolah memainkan peranan sebagai pembentuk jiwa manusia. Ibu bapa menghantar anak-anak untuk dibentuk supaya mampu menjadi manusia, yang kemudian mampu bermanfaat kepada manusia lain. Analoginya, sebuah kereta dihantar ke bengkel untuk dijadikan kegunaan kereta lain.

Dialah guru, yang membasuh berak pelajar yang baru diajar cara ke tandas, dialah guru yang menyengka air mata pelajar yang baru belajar berjauhan dengan keluarga, dialah guru yang membetulkan baju pelajar yang baru kenal erti kekemasan, dialah guru yang serak suaranya kerana mengawal 30 orang anak orang lain, dialah guru yang serba salah untuk merotan sedangkan pelajar perlu dididik untuk menjadi baik, dialah guru yang berpagi-pagi untuk berpuluh anak orang lain sedangkan anaknya yang seorang dihantar ke rumah orang lain, dialah guru yang mengubat luka saat pelajar baru kenal bermain di padang, dialah guru yang saban hari datang dengan wangian pulang dengan bau yang semacam dek pelukan anak-anak orang lain, namun, dialah guru itu, esoknya dia tetap datang dengan jiwa yang sama, untuk mendidik anak-anak orang lain, sedangkan anaknya sendiri tidak keruan nasibnya. Jika masih ada yang mengatakan kerja guru itu senang, maka ubahlah persepsi, cubalah menjadi guru untuk sehari, dan dikau akan menangis sesal dengan apa yang dikau pernah katakan sebelum ini.

Malaysia, bahkan negara-negara lain di dunia ini, ditempa dengan politik. Samada politik matang, ataupun politik selak kain, itu hal yang kedua. Namun, kejituan manusia menjadikan politik sebagai pencetak harus menerima akibatnya, dan guru adalah insan yang paling merasai kesan politik. Setiap era kepimpinan bertukar, maka dasar pendidikan bertukar, belum sempat pemerhatian dibuat, projek sudah terbengkalai. Mangsanya adalah guru dan pelajar, usah lagi dihitung kerugian kewangan, semuanya pembaziran yang menyedihkan. Namun, itulah situasi negara yang ditempa politik. Mereka yang mentadbir mungkin bukan daripada kalangan guru, mereka tidak tahu penat dan lelah seorang guru, dan ketandusan kasih sayang menjadi anak seorang guru. Alangkah indahnya jika, ada antara pihak atasan cuba menjadi guru buat sehari, cuba merasai apa yang guru rasa, dan apa yang guru dapat daripada apa yang dikerjakannya.
Sidang pembaca,

Saya hanyalah anak muda, yang belum bergelar guru, namun saya memerhati suasana dengan penaakulan yang tajam. Saya tidak suka membangkitkan isu yang sia-sia, makanya jarang saya nukilkan suatu yang kosong.

Kepada guru-guru, dan cikgu-cikgu.

Selamat menyambut Hari Guru, hari yang mana kita mendapat penghargaan daripada anak didik kita, namun bukan daripada majikan kita. Bersabarlah, dan berdoalah. Sungguhpun kita dipandang tidak berharga, namun Tuhan telah menjanjikan kebaikan buat kita, dan darjat yang mulia untuk kita. Sebagaimana firman di atas, jadikanlah ia sebagai pengubat hati yang luka. Hamparkanlah keredhaan, dan keikhlasan dalam setiap kerja kita. Didiklah anak bangsa dengan sebaik mungkin, kitalah pembentuk generasi masa hadapan. Mungkin orang di atas lupa, bahawa hakikat kerusi mereka akan diganti oleh anak murid kita suatu hari nanti, tidak mengapalah, biar Tuhan sahaja yang menentukan.

SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU
“GURU IKHLASKAN DIRIMU, NESCAYA TUHAN MEMBANTUMU”

Yang benar,

Mohd Nurhafizu Adha Bin Shamddin
Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar 2011/2012
Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail
Kuala Terengganu

Perutusan YDP JPP IPG KDRI Sempena Ihya' Ramadhan 1432 Hijrah Bersamaan 2011 Masihi

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Segala puji, puja, dan syukur kita rafakkan kepada Tuhan yang telah memberikan kita segala nikmat kehidupan. Dialah yang telah menebarkan rezeki buat semua kehidupan samada kehidupan yang seni-seni, mahupun hidupan yang besar-besar. Dialah yang melantunkan angin membelai lembut wajah kita, dan Dia jugalah yang menerjang segala badai sehingga kita diuji dengan ketakutan. Dialah yang Maha Agung, Maha Bijaksana, dan Dialah guru kepada sekalian guru, penghulu segala ilmu. Selawat, dan Salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad solallahualaihiwasallam, kaum kerabat Baginda, sahabat-sahabat Baginda, para ulama’ yang benar, para pemimpin yang adil, dan insan-insan yang sering merajutkan kerinduan kepada Baginda. Marilah kita sama-sama melafazkan alhamdulillah. Segala puji bagi Allah, yang telah menyantunkan dunia dengan penuh kesusilaan untuk kita semua menikmati, dan menggunakannya dengan sebaik mungkin.


Manusia terdiri daripada dua unsur yang digabungkan menjadi satu. Unsur ini dinamakan sebagai jasad dan roh. Keduanya saling melengkapi bagi melahirkan makhluk Tuhan yang melata di atas muka bumi. Umpama gandum dengan air. Jika gandum dibiarkan kering, maka kekallah ia dinamai gandum, jika air dibiar tenang, maka kekallah ia bernama air. Namun, jika keduanya diadun dengan baik, makanya jadilah ia makanan, suatu yang berguna buat tubuh manusia. Sejak zaman berzaman, jika tubuh mengalami sebarang masalah, maka doktor atau bomoh akan dijadikan rujukan bagi menyembuhkan penyakit. Manakala, jika roh ataupun jiwa saat ditimpa kesakitan akan dirujuk kepada bomoh juga, namun kebiasaannya akan dirawat kononnya dengan bantuan kuasa lain, yang akhirnya menjadi punca kepada masalah syirik dan khurafat.

Hasrat manusia untuk mencari perlindungan kemudian bermula dengan mencari Tuhan. Maka disembahlah pepohon, sungai, matahari, bulan, bahkan haiwan, (animisme) dengan hasrat bahawa unsur itu mampu menjadi pelindung kepada diri mereka. Inilah bukti bahawa fitrah manusia yang ingin bertuhan, bukan sahaja wujud hari ini, bahkan sejak bermulanya zaman. Islam kemudian datang dengan meniup angin kebahagiaan hingga memasuki lorong-lorong terkecil ruang alam jagat. Umpama embun yang memekarkan bunga, begitulah Islam datang, dan memekarkan jambangan fitrah ketuhanan yang satu, Allah subhanahuataala.

Diajarkan kepada manusia mengenai Allah, sang Pencipta alam dunia, dan syurgaloka. Dialah yang wajib disembah, Dialah yang wajib ditaati, dan Dialah yang wajib ditakuti. Kerana manusia ini hidup tanpa arah tujuan, dilahirkan insan yang menyampaikan kata firmanNya kepada ummat manusia. Itulah Muhammad, jurutera utama dalam aspek pembinaan modal insan. Al Quran yang dijadikan sumber rujukan telah melahirkan insan-insan agung yang digeruni di seluruh dunia, bahkan dikagumi oleh makhluk dunia dan makhluk akhirat. Nama-nama seperti Abu Bakar, Uthman, Umar, Ali, Hamzah, Sultan Sulaiman al Kanuni, Sultan Muhammad al Fateh, Umar Abdul Aziz, bahkan ribuan lagi nama terkemuka, semuanya bermula melalui didikan acuan al Quran dan as Sunnah. Bagaimana mereka boleh hebat dengan al Quran, sedangkan kita hari ini ragu-ragu dengan al Quran. Bila hadis dibaca, Quran diperdengarkan, hati hilang rasa getar. Jangan dibandingkan iman sahabat dengan iman kita, debu tapak kaki kuda yang menyeberang pedang bersilang arus pada medan Badar, Uhud, dan Khandak, belum tentu mampu kita lebihi kemuliaannya. Kasihan al Quran. Kasihan hadis. Sayunya hati Rasulullah. Dengan darah dan jerih Baginda usahakan, kemudian sampai kepada kita, semuanya diabaikan. Usahkan difahami, dibaca dengan teliti itupun bukan setiap hari. Muhasabahlah diri, kerana hidup mesti mati, kerana matilah jalan untuk bertemu Ilahi. Allah.

Sempana ramadhan yang datang saban tahun, sebagai kurniaan Tuhan untuk ummatnya kembali mengangkat darjat yang hilang pada sebelas bulan yang lalu, maka perbanyakkanlah diri kita membaca al Quran. Hayatilah setiap makna, dan khabar dari Tuhan. Insya Allah, kita akan faham apa itu Islam sebenarnya, dan ke mana Islam hendak membawa kita. Adakah pada puncak dunia, atau pada bangunan tinggi mencakar awan, atau pada duit yang berkoyan? Semuanya sudah dijawab Tuhan, hanya baca dan faham, hati yang gundah menjadi tenang, terlerailah setiap simpulan yang kusut pada fikiran. Firman Allah:

Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara hak dan yang bathil) – Al Baqarah ayat 185.

Dalam meniti waktu yang tinggal hanya beberapa jam untuk bertemu pada bulan yang penuh rahmat ini. Terasa getar ketakutan berlari pada segenap urat nadi. Takut, jika tiada kesempatan bertemu dengan bulan yang dirindui. Sebelas bulan berpisah, manakan ada kekasih mampu menahan rindu pada buah hatinya yang bayang-bayangnya sudah timbul, namun jasadnya belum diperlihatkan. Mohon pada Tuhan, panjangkanlah usia ini untuk bertemu ramadhan. Sekiranya inilah ramadhan yang penghabisan, biarlah penghabisan itu dalam ramadhan. Umpama kekasih yang wafat, dalam ribaan buah hatinya.

Akhirnya, saya mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf kepada semua pihak seandainya ada laku yang telah mengguris hati, ada sikap yang terlalai, ada kata yang menusuk hati. Maafkan kesalahan hamba, moga Tuan hidup dalam keberkatan. Kepada semua warga IPG KDRI, salam Ramadhan al Mubarak. Moga ramadhan yang ini dijagai dengan sempurna, hidupkanlah ia dengan sunnah, usah lagi membina permusuhan, ataupun fitnah memfitnah. Jadikan Ramadhan sebagai bulan untuk kita kembali mengangkat darjat diri. Umpama setahun bermandi lumpur, sekarang langit sudah mendung, gamaknya hujan tidak lama lagi, dapatlah kulit tersentuh air, bersihkan diri, bersihkan hati.

Salam Ramadhan 1432 Hijrah. Selamat Berpuasa. Maaf Zahir dan Batin.

Mohd Nurhafizu Adha Bin Shamddin
Yang di Pertua
Jawatankuasa Perwakilan Pelajar
Institut Pendidikan Guru
Kampus Dato’ Razali Ismail
Kuala Terengganu

Ucapan Penutup dan Penghargaan Seminar Penyelidikan Tindakan Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail 2013

Bismillah al Rahman al Rahim.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Yang saya hormati, tetamu-tetamu kehormat, para pensyarah, rakan-rakan guru pelatih, dan sidang dewan sekalian.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Yang Maha Mengasihani kerana dengan kasihNya kita dapat sama-sama mengikuti, dan menjayakan Seminar Penyelidikan Tindakan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali tahun 2013. Program ini telah berlangsung selama 3 hari mulai 17 September 2013, sehinggalah hari ini 19 September 2013.  Program ini telah diisi dengan 217 pembentangan penyelidikan tindakan daripada 217 penyelidik yang terdiri daripada guru-guru pelatih PISMP ambilan Januari 2010. Tuntutan bagi memenuhi syarat penganugerahan Ijazah Sarjana Muda Perguruan ini telah dilaksanakan dengan cemerlang oleh para penyelidik.

Pada 19 Jun 2013, sekumpulan manusia yang terdiri daripada lelaki dan wanita telah mengadakan mesyuarat. Mereka mendepani masa dengan membayangi apa yang kita lalui hari ini. Kerana bayangan itu, mereka memulakan gerak kerja yang tidak pernah berakhir, sehinggalah kita sedang duduk di dalam dewan seminar yang sejuk ini. Di kiri dan kanan dewan, di luar sana, mereka lelaki dan wanita itu sedang duduk atau berdiri, penuh debaran menanti, dan menanti melihat apakah bayangan akan menjadi realiti. Mereka bukan sahaja menyertai seminar ini, bukan sahaja membentangkan penyelidikan namun mewaqafkan diri menjadi tiang-tiang, dan pepaku yang membina seminar yang kita nikmati selama tiga hari ini.
Hadirin sekalian.

Tiada siapa yang akan lebih mengingati seminar 17, 18, dan 19 September 2013 ini melainkan diri kita sendiri yang terlibat menjayakannya. Dunia mungkin lupa pada perkataan, dan perbuatan yang kita lakukan di sini, namun kita tidak akan pernah melupakannya. Kitalah lelaki-lelaki, dan wanita-wanita kuat yang telah menyahut cabaran menjadi sebahagian sejarah, memberi sepenuh komitmen dalam menjalankan penyelidikan, menjayakan seminar, dan lantas mengukir nama dalam taraf yang tersendiri. Maka, adakah kita akan berakhir di sini, atau kita bermula di sini?

Kepada rakan-rakan guru pelatih, kita telah terpilih untuk mengikuti kursus perguruan yang panjang ini. Kita bersama-sama susah, dan senang selama 66 bulan ini. Bermula daripada insan asing, kita menjadi akrab, dan perpisahan yang sedang dihitung terasa amat berat. Sebegitu juga dengan penyelidikan tindakan ini. Kita telah bersusah payah, bahkan melakukan banyak pengorbanan demi penyelidikan ini, maka apa yang kita ingin lakukan selepas ini? Kurt Lewin 1948 mengingatkan penyelidik-penyelidik yang menggunakan model beliau dengan ungkapan “research that produces nothing but books will not be suffice.”

Akhir kata, tahniah, dan terima kasih kepada lelaki-lelaki, dan wanita-wanita hebat perkasa yang menganggotai Jawatankuasa Induk, dan Jawatankuasa Pelaksana kerana telah sama-sama menjayakan Seminar Penyelidikan Tindakan PISMP IPG Kampus Dato’ Razali Ismail tahun 2013. Ingat lagi 19 Jun 2013? Pada masa itu kita hanya berimpian bahawa Yang Berbahagia Rektor akan datang merasmikan seminar ini, namun pada Selasa lepas kita telah menunaikan impian tersebut. Kata orang, tanpa kekuatan impian tidak akan menjadi kenyataan, namun hari ini kita buktikan, kita berani bermimpi, kerana kita kuat menjadikannya impian. Ingat, kita ini merupakan benih yang bernas, sungguhpun digetus digetas binatang buas, sungguhpun dibasah kering hujan dan panas, kita tetap tumbuh mencetus tunas.

Sekian, terima kasih. 

MOHD NURHAFIZU ADHA BIN SHAMDDIN
Pengerusi
Seminar Penyelidikan Tindakan PISMP
Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail 2013

Ucapan Alu-aluan Sempena Majlis Perasmian Seminar Penyelidikan Tindakan IPG Kampus Dato' Razali Ismail 2013

Bismillah al Rahman al Rahim
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah subhanahuataala kerana dengan limpah ehsanNya, kita semua dapat berkumpul hari ini bagi sama-sama menyaksikan Majlis Perasmian Seminar Penyelidikan Tindakan, Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ambilan 2010 Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, yang bakal dirasmikan oleh Yang Berbahagia Tuan Sulaiman Bin Wak, Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia. Saya mewakili seluruh warga PISMP Semester 8 berasa sungguh berbesar hati atas kesudian Tuan Rektor menghadiri seminar sekaligus menjadi perasmi majlis yang penuh bermakna ini.

Yang Berbahagia Tuan Rektor, serta hadirin.

Seminar Penyelidikan Tindakan ini merupakan acara tahunan bagi setiap guru pelatih tahun akhir yang mengikuti program PISMP. Kami merupakan kumpulan ke empat yang bakal dikeluarkan IPG bagi menyambung tali perjuangan pendidikan negara. Buat makluman hadirin, seminar kali ini menyaksikan jumlah pembentang seramai 217 orang yang terdiri daripada 8 pengkhususan pendidikan iaitu Bahasa Melayu, Pendidikan Agama Islam, Matematik, Sains, Pemulihan, Pendidikan Khas, Kajian Sosial, dan Pendidikan Seni Visual. Sebanyak 217 penyelidikan tindakan bakal dibentang sebagai tuntutan akhir bagi penganugerahan Ijazah Sarjana Muda Perguruan di samping menjadi serampang yang mampu menambahbaik mutu pendidikan negara. Penyelidikan-penyelidikan yang dibuat oleh para guru pelatih ini melibatkan masalah seharian warga pendidik di sekolah, terutama dalam meningkatkan mutu akademik murid.

Warga dewan sekalian.

Umum mengetahui bahawa guru pelatih Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) telah mengikuti kursus latihan perguruan ini selama 66 bulan mengikuti 4 fasa program Bina Insan Guru, 4 fasa Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) yang berjumlah 4 minggu, 3 fasa praktikum yang berjumlah 6 bulan, dan 1 bulan internship. Masa selama 66 bulan ini melengkapkan guru pelatih dengan pengetahuan pedagogi, komunikasi, pengurusan, kepimpinan, dan pembinaan imej keguruan. Melalui latihan-latihan ini, maka tidak syak lagi bahawa guru-guru keluaran IPG merupakan tonggak, dan memenuhi inspirasi pendidikan negara. Setiap pihak harus memberi sepenuh keyakinan kepada pihak IPG untuk terus berusaha, dan mengeluarkan guru-guru yang berkualiti selaras dengan kehendak Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Semakin cepat guru-guru keluaran IPG bertugas, semakin cerah peluang negara untuk mencapai taraf antarabangsa bagi pendidikan negara.

Penyelidikan tindakan yang dijadikan asas utama dalam penganugerahan Ijazah Sarjana Muda Perguruan merupakan langkah utama kerajaan dalam membentuk warga pendidik yang suka menyelidik, dan menambahbaik mutu pendidikan. Tanpa penyelidikan, banyak masalah akan terus terpendam tanpa penyelesaian. Budaya penyelidikan haruslah diteruskan oleh kita semua demi mencapai pendidikan bertaraf antarabangsa.

Hadirin sekalian.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya mewakili seluruh jawatankuasa Seminar Penyelidikan Tindakan PISMP Ambilan 2010 IPG Kampus Dato’ Razali Ismail, ingin merakamkan jutaan terima kasih atas kesudian Yang Berbahagia Tuan Sulaiman Bin Wak, Rektor IPGM Kementerian Pendidikan Malaysia kerana telah sudi bertandang, dan merasmikan program kami. Sesungguhnya kehadiran Tuan menambahkan lagi semangat kami guru pelatih untuk terus berusaha demi memartabakan imej IPG di mata dunia. Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh jawatankuasa Seminar Penyelidikan Tindakan PISMP Ambilan 2010 IPG Kampus Dato’ Razali Ismail, yang telah bertungkus lumus, siang dan malam demi menjayakan program ini. Sesungguhnya setiap apa yang kita lalui dalam proses menjayakan program ini, merupakan pengalaman berharga yang kita akan kenang selama-lamanya. Kepada semua rakan guru pelatih, saya mengucapkan Selamat Maju Jaya, dan buatlah yang terbaik.

Sekian, terima kasih. 

MOHD NURHAFIZU ADHA BIN SHAMDDIN
Pengerusi
Seminar Penyelidikan Tindakan PISMP
Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail 2013

Pidato Terakhir.

Julai 2008 hingga November 2013. Jikalau seorang bayi dilahirkan, hari ini dia sudah petah berbicara, sudah pantas berlari, sudah pandai mengira, menulis, dan membaca, sudah pandai membaca doa, dan mengaji. Tempoh 5 tahun 6 bulan bukan tempoh yang singkat, jika dilihat dari awal, maka kelihatan sangat lama, jika dikira bermula hari ini segalanya nampak begitu sedikit, sedangkan masih banyak yang belum dilakukan.

Remaja, jika dikatakan kami dahulunya remaja, kami kini sudah dewasa. Kami ke sini sebagai kanak-kanak yang serba kurang. Kurang tahu, kurang adab, kurang sopan, kurang berani, kurang pandai mengajar, kurang pandai mengurus, kerana kami serba kurang. Siapa sangka, Tuhan pertemukan remaja serba kurang, dan manusia serba tahu, mereka jejaka dan gadis hebat telah membahagi-bahagikan ilmu dan cinta, lalu umpama pedang yang dahulunya hanya besi kotor, kini kemas bertempat, tertempa di dalam sarung emas yang sedia untuk terhunus.

 Ayuhai pensyarah dan staf sokongan, kami kenali kalian sebagai WARGA IPGKDRI yang berjasa. Kalian telah memberi air pada tanah yang tandus. Menghidupkan pelita dalam kegelapan. Umpama tongkat pada si buta. Terima kasih kerana telah bekerjasama, menggembleng tenaga membentuk anak-anak muda sejuta karenah ini dengan sabar, dan penuh kasih sayang. Kalian mengorbankan jutaan masa buat kami, melebihi bersama keluarga kalian. Kalian memberi lebih banyak perhatian kepada kami, melebihi keluarga kalian. Maka hari ini kami berdoa agar dengan usaha, dan kesungguhan itu semoga Tuhan memberi sebesar-besar ganjaran kepada kalian.

Wahai rakan-rakanku sekalian, sekejap lagi kita akan keluar. Meninggalkan gedung ilmu ini setelah disiapkan dengan asas-asas perjuangan. Ingat, yang digalas itu bukan tugasan semata-mata, namun tanggungjawab yang mesti dilunaskan. Ingat, kita bertanggungjawab pada nama IPG Kampus Dato’ Razali Ismail. Ayuh, mari kita sedarkan segenap cerap yang lena dengan kehadiran kita. Kita buktikan lebih daripada guru, di IPGKDRI dilahirkan seorang ilmuan, bukan hanya tahu membaca buku, namun pandai berfikir, merasa, dan memimpin. Sungguhpun kita akan temui ranjau di hadapan kelak, bersabarlah, kerana apa yang kita pelajari di sini sudah cukup, namun nilainya nanti hanya kita yang tahu bila hendak dipakai guna, bila hendak disimpan diam-diam.

Terima kasih para pensyarah, terima kasih sekalian jentera pengurusan, terima kasih staf sokongan Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail. Bersenanglah hati kalian, kerana tugas-tugas yang digalas, amanah-amanah yang terikat itu sudah bercerai, kami sudah siap. Doakan kami kuat, doakan kami berjaya, doakan kami cemerlang dunia akhirat. Menempa nama di persada dunia, terus berjaya meniti cabaran dunia, mencari bekalan ke akhirat sana.

Sahabatku, kita akan berpisah. Namun, biarpun jauh dari mata, jangan bercerai dari hati. Jika apa yang kita miliki ini merupakan tali silaturrahim yang benar-benar tulus, maka seringlah hubung-menghubungi, rindu merindui. Janganlah kita hanya menjadi sahabat kerana sering bersemuka, namun jadilah sahabat yang masih dekat sungguhpun jarak memisahkan. Jangan membuat alasan, namun sentiasalah mencari peluang.


Sekian, terima kasih. 

Disampaikan saya semasa Majlis Memori 10, IPG Kampus Dato' Razali Ismail.

Ucapan Sempena Penutupan Minggu Pengurusan Pelajar Baharu Jun 2011

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Terima kasih kepada Pengacara Majlis. Yang Berbahagia Encik Mohamad Bin Ngah, Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, Yang Berusaha Tuan Haji M. Shaipulah Bin Awang Ibrahim, Timbalan Pengarah IPG Kampus Dato’ Razali, Yang Berusaha Tuan Haji Yahaya Bin Osman,  Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar IPG Kampus Dato’ Razali Ismail, Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Unit, Barisan Kepimpinan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPG Kampus Dato’ Razali Ismail 2011/2012, Para Pensyarah, dan rakan-rakan pelajar yang dihormati sekalian.

Segala puji, puja, dan syukur kita rafakkan kepada Tuhan yang telah memberikan kita segala nikmat kehidupan. Dialah yang telah menebarkan rezeki buat semua kehidupan samada kehidupan yang seni-seni, mahupun hidupan yang besar-besar. Dialah yang melantunkan angin yang membelai lembut wajah kita, dan Dia jugalah yang menerjang segala badai sehingga kita diuji dengan ketakutan. Dialah yang Maha Agung, Maha Bijaksana, dan Dialah guru kepada sekalian guru, penghulu segala ilmu. Selawat, dan Salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad solallahualaihiwasallam, kaum kerabat Baginda, sahabat-sahabat Baginda, para ulama’ yang benar, para pemimpin yang adil, dan insan-insan yang sering merajutkan kerinduan kepada Baginda. Marilah kita sama-sama melafazkan alhamdulillah. Segala puji bagi Allah, yang telah menyantunkan dunia dengan penuh kesusilaan untuk kita semua menikmati, dan menggunakannya dengan sebaik mungkin.

Pertamanya, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua AJK yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan Minggu Pengurusan Pelajar Baharu PPISMP ambilan Jun 2011.  Semoga Allah menilainya sebagai ibadah yang membahagiakan anda semua di akhirat kelak.
Kata Saidana Ali Karamallahu wajhah:

Apabila kamu berasa letih setelah berbuat kebaikan, maka sesungguhnya keletihan akan hilang, namun kebaikan kekal selamanya. Sekiranya kamu bersenang-senang dengan dosa, sesungguhnya kesenangan akan hilang, tetapi dosa yang dilakukan akan terus kekal.
Hadirin sekalian,

Selamat datang, dan salam bahagia saya ucapkan kepada semua guru pelatih baharu ambilan Jun 2011 ini. Tahniah dan syabas atas kejayaan semua dalam mengejar cita-cita, mewarisi tugas mendidik, dan membentuk negara yang tercinta ini. Semoga sentiasa istiqamah dalam meneruskan perjuangan bagi mencapai cita-cita. Saya yakin bahawa guru-guru pelatih sedar bahawa menjadi guru bukanlah satu tugas yang senang ataupun mudah. Hidup ini bukannya mimpi, sungguhpun mimpi itu indah :

Anak Cina memetik selasih
Anyam rotan dibuat timba
Tiada yang indah dalam berkasih
Mimpikan bulan jatuh ke riba

Hadirin sekalian,

Guru Pelaksana Syariat Tuhan

Mustahil insan itu boleh dibina tanpa ilmu agama. Ilmu Al-Quran mengajar kita tentang adanya dua perkara dalam setiap insan itu yakni jasad dan roh.
Membina roh insan adalah memberi faham kepada mereka tentang dosa dan pahala, adanya taat dan maksiat, adanya malaikat dan adanya iblis, adanya hisab dan adanya hari pembalasan, adanya Syurga dan adanya Neraka.
Ini soal asas yang tiada khilaf. Ini konsep tarbiyyah bawaan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul alaihissalam serta para tabi'in dan wali-wali zaman berzaman.
Jika para guru mahu diiktiraf sebagai instrumen terpenting modal insan, maka kita jangan abaikan aspek pembinaan roh.
Jasad dan roh diumpamakan sebagai tiram dan mutiara. Sungguhpun tiram telah mati,mutiara tetap bersinar terang.

Akhirnya, sebagai pedoman kepada semua guru pelatih baharu dan lama, berhati-hatilah bila melangkah dan meredah onak.

Makan sirih berpinang tidak
Buah keranji atas perahu
Singgah tidak kenang pun tidak
Sampai hati buat tak tahu

Setiap tempat berpijak berbeza tanahnya, umpama pantai dan padang, sungguhpun sama di bumi Tuhan, pantai berpasir putih, padang berselimut rumput hijau. Setiap rumah ada pintunya, setiap tanah ada tuannya, setiap tempat ada adatnya. Sedarlah diri berada di Pantai Timur, negeri terjaga dengan kesopanan. Seliar-liar ikan, takkan sama ikan laut dan ikan sungai, segarang-garang singa takkan sama singa di gunung dan singa di hutan.

Selamat berjaya buat semua. Sekali lagi saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan Minggu Pengurusan Pelajar Baharu ambilan Jun 2011.

Dari Demak ke Mekasar
Bergalah perahu tidak berbaju
Maafkan hamba jika terkasar
Allah jua tempat dituju.

Dengan nama Allah, saya sudahi dengan Wabillahi taufiq Wal hidayah. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Dan salam sejahtera

Yang di Pertua
Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPG Dato' Razali Ismail

Siapa Pencuri Rusuk Kiriku?

Siapa pencuri rusuk kiriku
Adakah dia yang aku jumpa di jalanan tadi
Yang pakainya sekadar menutup kulit

Siapa pencuri rusuk kiriku
Adakah dia yang aku jumpa di jalanan tadi
Yang suaranya menusuk gemersik

Siapa pencuri rusuk kiriku
Adakah dia yang aku jumpa di jalanan tadi
Yang wajahnya tercoret solekan menarik

Siapa pencuri rusuk kiriku
Adakah dia yang aku jumpa di jalanan tadi
Yang cerianya membuatkan orang ketawa

Siapa pencuri rusuk kiriku
Adakah dia yang aku jumpa di jalanan tadi
Yang ramahnya membuatkan bicara bermula

Siapa pencuri rusuk kiriku
Adakah dia yang aku jumpa di jalanan tadi
Yang ukhwahnya menemani sahabat lelakinya

Siapa pencuri rusuk kiriku
Biar siapapun ia
Aku harap
Biarlah dia muslimah yang aku jumpa di jalanan tadi
Pakainya membuatkan dirinya mulia
Suaranya suatu rahsia kebanggaannya
Wajahnya suatu kecantikan yang sederhana
Cerianya hanya untuk mengubat luka
Ramahnya hanya untuk kenalan halalnya
Ukhwahnya dijaga hanya untuk mencapai
Redha Tuhannya

Siapa pencuri rusuk kiriku
Aku harap dia muslimah di jalanan tadi
Akan aku cintainya selagi dia mencintai TuhanNya

Warkah Buat Suami

Suamiku,
Ini pesan dari teman wanitamu,
Yang kemudian menjadi isterimu,
Dan kini ibu kepada anak perempuanmu.

Kini daku lihat dikau banyak membungkam,
Kata dan madahmu hilang ditelan angan
Daku rindukan sebentuk penghargaan
Bukan emas mahupun intan
Namun cukuplah sekadar gurauan, dan pelukan.

Daku masih isterimu yang dahulu,
Sebagaimana perkenalan,
Setelah berkelana diriku tetap begini,
Mungkin susukku tidak seanggun dulu,
Kerana bukan sedikit urat yang putus
bukan sedikit luka dan parut,
saat zuriat kita menjengah dunia.

Suamiku,
Cintaku padamu tidak pernah berkurang,
Bahkan sentiasa bertambah,
Entah dari mana bermulanya lautan cinta ini,
Sedar-sedar,
Daku sudah berlabuh pada syurga dunia.

Suamiku,
Andai ada yang tersilap maka maafkanlah daku,
Jangan hilangkan cintamu padaku,
Kerana hatiku sudah dikau ukir dengan kasihmu.

Pada Allah daku rafakkan doa serta harapan,
Agar cinta kita kembali berbahagia,
Gagahilah dirimu duhai perwiraku,
Tempuhilah arus dengan iman dan taqwa,
Daku akan sentiasa bersamamu,
Dengan tega dan lantang,

“Maralah suamiku, daku sentiasa ada di sisimu”


ini adalah antara puisi terawal saya yang saya nukilkan untuk sahabat saya yang mengadu mengenai suaminya kepada saya... Alhamdulillah, kini mereka bahagia semula... segala puji hanyalah untuk Allah