Siapa saya? Saya bukan siapa-siapa.
Jawatan? Saya tak ada jawatan. Anugerah? Pun tak pernah dapat. Gelaran? Bakal
allahyarham. Pengiktirafan? Pun tak ada juga. Tapi, kenapa saya nak awak baca
tulisan ni? Sebab saya nak awak tahu apa yang saya; anak muda kosong yang tidak
punya apa-apa; berfikir, dan pendapat saya. Memang awak akan tak setuju, atau
mungkin juga awak setuju. Itu terserah pada awak, sebab saya dah beritahu
awal-awal lagi bahawa saya bukanlah siapa-siapa.
Baik, saya ingin beri pendapat mengenai
sistem pendidikan negara Malaysia. Saya ulang, saya ingin beri pendapat
mengenai sistem pendidikan negara Malaysia. Negara mana? Negara Malaysia.
Kepada yang masih belum “kenal Malaysia”; Malaysia merupakan negara kecil di
benua Asia, spesifiknya Asia Tenggara. Jiran terdekat Malaysia adalah Brunei,
Indonesia, Singapura, dan Thailand. Malaysia ada KLCC, ada Putrajaya, ada Tuan
Guru Haji Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Haji Salleh, Tun Dr. Mahathir, Siti
Nurhaliza, Nicol David, Lee Chong Wei, dan Tony Fernandes. Kalau tak kenal
juga, sila tanya pak cik Google.
Bila berbicara mengenai sistem, ia
merupakan bicara yang terlalu luas. Kerana, sistem itu sendiri melambangkan
perkaitan banyak perkara, kerumitan yang saling bersangkut paut, dan amat
memeningkan. Jadi, saya kecilkan skop perbincangan sistem pendidikan, saya
hanya akan beri pendapat kepada satu topik kecil, paling kecil, amat kecil,
terlalu kecil, tapi paling penting. Apa itu? Saya ingin beri pendapat mengenai
kurikulum pendidikan di Malaysia. Wah, kau siapa nak bagi pendapat? Mungkin
anda terdetik sebegitu, jadi baca balik perenggan pertama tulisan ini. (^^,)
Saya akui, kurikulum pendidikan
Malaysia samada yang lama, baru, mahupun terbaharu sememangnya baik, dan boleh
dipuji. Kehendak negara digarap jelas di dalamnya. Negara mahukan rakyatnya
cemerlang bahasa Melayu, matematik, sains, bahasa Inggeris, Pendidikan Islam,
Sejarah, Ekonomi Asas, Sains Rumah Tangga, dan puluhan lagi subjek yang malas
saya senaraikan. Dahulu, pelajar boleh mengambil paling sedikit 6 subjek untuk
SPM, dan tiada had maksima, kemudiannya tanpa sebab yang diketahui (mungkin
saya jahil) subjek untuk SPM dihadkan kepada 10 sahaja. Jadi, tiada lagi berita
gempar pelajar dapat 20 A, 19 A, 18 A, dan sebagainya. Sedihkan? Kehebatan pelajar
Malaysia dalam mendalami puluhan subjek serentak kini tinggal sejarah sahaja.
Tapi, persoalan saya : sejauh mana
kurikulum ini telah membawa kita? Oh ya, kita sudah ke angkasa. Ya, agak jauh.
Berapa orang yang ke angkasa tu? 1000 orang? 100 orang? 10 orang? Hanya 1 orang
sahaja kan? Baik, jadi kurikulum kita setelah 50 tahun mampu lahirkan SEORANG
angkasawan. Baik, itu merupakan pencapaian yang patut dipuji, sebab ada
sesetengah negara masih belum ada walau seorang pun angkasawan. Berapa kali
angkasawan kita naik ke angkasa? 10 kali? 20 kali? Atau berapa? Anda cari
sendiri, dan itulah apa yang kurikulum kita mampu beri setelah 50 tahun. Kepada
yang sedang membaca (tahniah sebab anda masih sudi membaca!) adakah kurikulum
yang kita pernah lalui, sedang lalui, bakal lalui menjadikan kita manusia yang
gigih?
Kurikulum negara kita telah berjaya
melahirkan bijak pandai, namun tidak sedikit juga yang terkandas, dan kita
namakan mereka penganggur. Kadang kala mereka mengemis, tidak kurang yang
menjadi kutu rayau, penjenayah, penagih dadah, dan penghuni penjara serta pusat
serenti. Namun, adakah pernah kita ambil masa seketika, muhasabah seketika, dan
menggelarkan mereka sebagai mangsa sistem pendidikan negara? Mereka merupakan
mangsa ketempangan kurikulum yang terbina, mangsa kepincangan industri
pendidikan, mangsa ketidaktelusan skala peperiksaan.
Kurikulum pendidikan merupakan nadi
negara. Lebih penting daripada pertahanan negara. Lebih penting daripada
kedaulatan seorang sultan. Lebih penting daripada parti politik. Lebih penting
daripada keamanan, dan kekayaan. Kenapa? Tanpa pendidikan, pertahanan,
kedaulatan, politik, dan keamanan tidak akan dihargai, lalu kita akan
mencincang negara kita sendiri, kerana jahil, dan kebodohan. Kurikulum ibarat
kepala seorang manusia. Kita boleh hidup tanpa kaki, tanpa tangan, tanpa hidung,
namun bolehkah kita hidup tanpa kepala? (Saya maksudkan kepala yang terletaknya
hidung, mulut, otak, mata, telinga, dan rambut, bukan kepala lutut, atau
selainnya.)
Ada menteri suka merujuk Finland
untuk pendidikan, namun saya suka merujuk Palestin. Sebuah negara bergolak yang
mencari keamanan setelah sekian lama penjuru itu dicuri. Palestin tidak aman,
namun bagaimana negara itu hidup? Bagaimana perkembangan ekonomi? Bagaimana
dengan makan, minum, pakai, tempat tinggal? Kita sering melihat penduduknya
dibunuh, berpuluh tahun lamanya, namun mereka bangkit, terus bangkit, tanpa
sehari pun berkurang semangat kebangkitan mereka? Apa kekuatan mereka? Apa
rahsia mereka? Jawapannya, pendidikan. Pendidikan negara mereka, pendidikan
yang bukan sahaja memberi mereka pandai, namun memberi mereka kegigihan. Mereka
hidup sehingga hari ini, mempertahankan al Aqsa bukan kerana mereka pandai,
namun kerana mereka pandai, dan gigih.
Mari kita lihat negara kita. Negara
yang kita sayang, cinta, sanjung, dan pertahankan. Soal saya, adakah kita
merupakan isi negara yang gigih? Syarat utama gigih adalah kesanggupan untuk
bersusah payah. Adakah kita masyarakat yang sebegitu? Adakah kita sanggup
bersusah payah untuk negara kita? Adakah pendidikan negara kita berjaya
melahirkan anak-anak Malaysia yang gigih? Persoalan ini sungguh berat, dan saya
sendiri bergenang air mata ketika menulis bahagian ini. Saya tidak akan menulis
berapa banyak Malaysia telah hilang, kerana saya sendiri tidak gigih. Saya
tahu, namun saya tidak kuat. Namun, saya ingin soal anda semua, terutama
golongan warga emas, KENAPA SAYA PERLUKAN PASPORT UNTUK KE SINGAPURA? Saya
belajar dalam sejarah, Singapura merupakan sebahagian Malaysia, namun apa yang
anda buat sehingga generasi baru ini kehilangan sebuah destinasi? Saya
tinggalkan persoalan untuk anda jawab.
Adakah pendidikan negara mampu
menjadikan kita rakyat Malaysia yang gigih? Ledakan teknologi sehingga kini
terbukti menjadikan manusia lebih manja. Adakah kurikulum pendidikan negara
kita sudah bersedia untuk mematahkan hujah teknologi memanjakan manusia? Adakah
kurikulum ini mampu melahirkan 100 orang lagi angkasawan? Saya menulis, namun
saya tidak punya jawapan untuk setiap persoalan itu. Melihat kemanjaan
murid-murid di sekolah, arus teknologi yang melemaskan, dan hiburan masa kini,
keupayaan kurikulum hari ini untuk melahirkan insan yang gigih seakan kabur.
Kita mampu melahirkan manusia yang pandai, namun manusia yang gigih?
Cadangan saya : Agamawan, pemimpin,
pendidik, belia, dan wakil masyarakat harus berada pada satu landasan, membina
satu kesepakatan, membuat satu kesimpulan mengenai persoalan saya. Jika jawapan
: kurikulum ini cukup untuk membina masyarakat yang gigih, maka teruskanlah kurikulum
ini. Namun jika jawapan menyatakan sebaliknya, maka agamawan, pemimpin,
pendidik, belia, dan wakil masyarakat harus bersedia, secara tulus, telus,
tanpa dipengaruhi ideologi politik, melangkaui batas bangsa; membina semula
landasan pendidikan negara. Kehidupan dunia ini bukan bermula dengan
kepandaian, namun kegigihan. Kegigihan itulah yang membuatkan kita hari ini
menggelarkan diri kita moden.
Tulisan ini merupakan luahan hati
saya. Luahan pemikiran, penaakulan, pemerhatian, dan pembacaan. Saya tahu,
terlalu banyak kesilapan di dalamnya. Maka saya mohon kemaafan, dan keredhaan.
Saya tidak paksa anda untuk bersetuju dengan pendapat ini, kerana memang
sifatnya pendapat itu tidak semuanya tepat. Saya ucapkan jutaan terima kasih
kepada anda yang sudi membaca sehingga ke perenggan akhir tulisan ini, anda
merupakan penyanjung pendidikan negara, dan anda ambil berat tentang pendidikan
negara. Akhirnya, saya sekali lagi memohon kemaafan seandainya tulisan ini ada
menyentuh peribadi, dan isu yang tidak menyelesakan.
No comments:
Post a Comment