Kedudukan Yang Dipertua (YDP) sebagai pemimpin pelajar
nombor 1 di Institut Pendidikan Guru (IPG) mewajarkan gelaran Yang Dipertua
dipakai, dan digunakan. Yang Dipertua membawa maksud, individu yang
ditua-tuakan oleh masyarakat sekeliling yang telah melantik beliau. Sifat
ketua-tuaan itu membawa kepada penghormatan, dan taat setia atas pemikirannya
yang matang, serta eksklusif. Beliau menduduki tangga teratas senarai
kepimpinan pelajar di IPG, dan merupakan individu paling dekat dengan
kepimpinan eksekutif di IPG. Oleh yang demikian, dalam proses pemerkasaan JPP,
maka tiada pendekatan lebih tepat melainkan jawatan YPD diperkasakan terlebih
dahulu.
Pemerkasaan YDP mempunyai beberapa tahap, memecah ruang
tipikal yang diwarisi daripada YDP terdahulu. Baik dari segi penampilan,
komunikasi, pemikiran, dan sosial, YDP harus berani membuat pusingan U
bersesuaian dengan kapasiti punca kuasa yang telah diberi.
Saya dengan ini mengemukakan beberapa cadangan, yang
saya kira mampu menjadi batu loncatan ke arah memperkasakan jawatan YDP.
1. Unit Komunikasi
Yang Dipertua (UKYDP)
Terinspirasi daripada Unit Komunikasi Menteri Besar,
maka saya lihat wujudnya kewajaran untuk menubuhkan satu badan khas dalam
menyalurkan maklumat, serta perkembangan semasa YDP bersama JPP. Berdasarkan
pengalaman bertugas selama 3 tahun di dalam JPP, masalah utama yang dihadapi
JPP adalah berdepan dengan pelajar, dan pensyarah yang sering menabur tohmah
“JPP tidak berbuat apa-apa”, sedangkan dalam kalangan JPP mereka sedang
berlumus dengan sesuatu perkara. Masalah akses kepada perbuatan, dan kerja JPP
ini menyebabkan berlakunya perselisihan maklumat antara JPP dan pelajar yang
dipimpin. Oleh yang demikian, dengan adalan UKYDP ini maka, segala mesyuarat,
kunjungan hormat, pertemuan, perbincangan, lawatan, aktiviti, dan peristiwa
yang disertai YPD mahupun JPP akan dipaparkan kepada khalayak secara bergambar,
rakaman video, ataupun laporan.
UKYDP akan menggunakan kemudahan laman sesawang berdaftar,
dan laman sosial seperti Facebook, dan Tweeter sebagai wadah memaklumkan
aktiviti JPP. UKYDP tidak perlu ditubuhkan sebagai biro yang baharu, namun
boleh diserap untuk berada di bawah mana-mana biro yang dirasakan sesuai di
dalam JPP. Namun, ahli yang menganggotai UKYDP mestilah aktif, dan telus dalam
menyampaikan maklumat.
2. Penasihat Khas
YDP
Tiada burung yang mampu terbang jauh jika bersendirian.
Sebegitu jugalah dengan seorang pemimpin. Tiada pemimpin yang mampu meneroka
jauh alam kepimpinan tanpa bimbingan. YDP selaku penjawat jawatan tertinggi di
dalam JPP wajar memilih sendiri penasihat yang beliau inginkan, dan bukannya
tertakluk atas pilihan pihak eksekutif. Kebebasan yang diberi ini akan memberi
ruang keselesaan kepada YDP untuk berkomunikasi, dan meminta nasihat ketika
memerlukannya. Penasihat Khas ini boleh terdiri dalam kalangan sesiapapun,
samada warga IPG, mahupun bukan. Keutamaan yang harus difahami di sini adalah
keperluan YDP mendapatkan idea, dan kebernasan dalam mentadbir urus JPP serta
pelajar.
Saya mencadangkan YDP mempunyai tiga Penasihat Khas yang
meliputi tiga bidang utama, iaitu Penasihat Undang-undang, Penasihat Agama,
serta Penasihat Komunikasi dan Protokol. Ketiga-tiga jawatan ini akan diberi
punca kuasa daripada IPG untuk menjalankan tugas rasminya sebagai penasihat
kepada YDP pada saat diperlukan, atau memerlukan. Penasihat Khas akan membantu
YDP setiap masa dalam membuat keputusan, dan membikin buah fikiran segar demi
menjadikan pentadbiran JPP bertambah baik.
3. Peruntukan
Elaun Khas YDP
Pengalaman, dan pengetahuan menjadi panduan artikel ini
ditulis. Justeru, bersandarkan kepada pengalaman, maka elaun khas bagi YDP saya
kelaskan sebagai tuntutan paling kritikal. Sedia maklum, YDP akan sering
menerima kunjungan, baik daripada warga IPG, mahupun bukan IPG. Adakalanya,
jamuan ringan, ataupun cenderahati dihulur sebagai tanda ketimuran yang segar
subur di dalam diri setiap daripada kita. Oleh yang demikian, peruntukan elaun
khas YDP akan membantu kelancaran majlis yang dirangka. Saya tidak menolak
wujudnya peruntukan bagi aktiviti-aktiviti JPP, namun kita juga sedia maklum
betapa sukarnya JPP untuk menerima kelulusan peruntukan yang diminta, kerana
JPP bersaing dengan jabatan-jabatan akademik, serta bukan akademik yang ada di
IPG. JPP tidak mempunyai peruntukan khas yang boleh digunakan oleh JPP sahaja,
tanpa perlu bersaing, dan berebut. Maka, kewujudan elaun khas ini, sedikit
sebanyak membantu JPP melaksanakan aktiviti, di samping meraikan tetamu-tetamu
yang berkunjung di IPG. Saya mencadangkan YDP menerima sebanyak RM 1500
setahun.
4. Penilaian
Sebelum Lantikan YDP
YDP merupakan jawatan tertinggi dalam kalangan pelajar
di IPG. Maka, untuk menyandang jawatan tersebut, mestilah penyandangnya
merupakan pelajar yang paling layak, serta paling berpengetahuan. Jika dilantik
pelajar-pelajar baharu sebagai pengerusi biro, perkara tersebut masih boleh
diterima, sebagai jalan mereka untuk mempelajari selok belok kepimpinan. Namun,
penyandang jawatan YDP mestilah bukan dalam kalangan pelajar yang baharu mula
mengorak langkah, kerana YDP sendiri merupakan kemudi kepada JPP, penentu hala
tuju, dan kebersamaan para ahli JPP. Oleh yang demikian, satu penilaian khas
perlu diadakan sebelum calon-calon YDP dibawa ke medan Pilihan Raya Kampus (PRK).
Penilaian tersebut meliputi Penilaian Sahsiah, Penilaian
Emosi, Penilaian Pengurusan Teknikal, dan Penilaian Kecekapan Mengurus Masa. Penilaian-penilaian
ini membantu pemilihan YDP diadakan dalam keadaan yang setara, di padang yang
sama rata. Pertandingan antara calon YDP yang pernah berada di dalam gelumang
JPP, dengan pelajar yang baharu bertatih akan kelihatan tidak adil, jika
mana-manapun antara keduanya menang. Maka, saya cadangkan Penilaian Sebelum Lantikan
YDP diadakan bagi menjamin kualiti, dan keberkesanan YDP dalam meluaskan
kapasiti kuasa yang dimiliki.
Kesimpulannya, Yang Dipertua merupakan jawatan perdana
dalam kalangan pelajar. Jawatan yang disandang bukan hanya pada gelaran
jawatan, namun makna yang terkandung di sebaliknya. Bukan mudah menjadi insan
yang sepatutnya ditua-tuakan, namun dilayan sebagai anak hingusan. Oleh yang
demikian, saya berharap cadangan-cadangan yang diberi ini akan dipertimbangkan
sewajar mungkin, demi memartabatkan YDP beserta JPP.
No comments:
Post a Comment