Malam Bicara Pemimpin (MBP) merupakan
malam pertama, dan terakhir kita semua akan mendengar hujah bicara, seorang
individu yang terpilih sebagai calon Ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP).
Mereka mengutarakan pandangan, dan pendirian secara umum; memberi penjelasan
yang ringkas, demi mengaut kepercayaan daripada pengundi. Saya berada di sana,
dalam misi memahami MBP dari kaca mata orang luar, dan bukannya pengundi.
Alhamdulillah, setelah menghubungi pihak Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus
(JPRK), saya berada di sana secara sah, dan membuat pemerhatian secara
menyeluruh mengenai MBP.
Secara keseluruhan, MBP telah
dilaksanakan dengan baik oleh jentera JPRK. Sejujurnya saya terharu, kerana
JPRK sudi melaksanakan MBP tahun ini menggunakan model baharu MBP yang telah
dicetuskan oleh JPRK tahun 2013. Dan, lebih saya syukuri kerana beberapa
penambahbaikan telah diadakan, selari dengan keadaan semasa yang menuntut para
guru pelatih untuk sentiasa berfikir secara kritis, kreatif, inovatif, dan
optimis. MBP tahun ini membuktikan bahawa guru pelatih sentiasa berada dalam
arus dinamik positif, yang boleh dilentur namun tidak boleh dimanipulasi.
Tahniah!
Calon-calon yang berucap pada MBP wajar diberi penghargaan, dan pujian atas
keberanian, serta kecekalan yang telah ditonjolkan. Beberapa calon khususnya, wajar diberi penghormatan atas idea mengubah formaliti
MBP dengan sesuatu yang kreatif, namun masih berada tepat pada landasan idea
kepimpinan. Walau bagaimanapun, memahami dan menganalisis MBP secara
mendalam, akan memperlihatkan beberapa kekurangan dalam hujah para calon.
Sebahagian calon dilihat gagal memahami
portfolio-portfolio yang mereka tandingi. Saya terkejut apabila ada calon
yang telah mengemukakan manifesto yang
jelas melanggar Perkara 8, Jadual Ketiga Akta 174. Akan tetapi, saya akan
memberi penghormatan paling besar sekiranya ada dalam kalangan JPP yang mampu
meminta pihak berkuasa, menyemak kembali Perkara 8, Jadual Ketiga, Akta 174
tersebut, lantas mampu memindanya demi kebaikan bersama.
Analisis
hujah para calon hanya menyentuh permukaan yang sangat hambar. Kebanyakan ucapan gagal
menambat keyakinan para pengundi, tanpa menidakkan adanya ucapan-ucapan,
dan gaya pemimpin yang sangat berani, lantas memaparkan komitmen diri. Beberapa
isu telah berjaya disentuh dengan baik,
namun tidak membumi. Saya tertarik dengan isu tuntutan penyamarataan elaun,
dan isu barang pos. Saya kira keadaan akan menjadi lebih dekat dengan guru
pelatih, sekiranya ada calon yang berani
menggunakan peluang MBP yang turut dihadiri oleh para pentadbir IPG, untuk
mengemukakan tuntutan secara langsung dari pentas ucapan. Contoh-contoh
tuntutan tersebut adalah, meletakkan
beberapa aktiviti pelajar seperti Hari Terbuka, Sambutan Ihya’ Ramadhan,
Karnival Sukan, dan Malam Munajat Perdana di dalam Takwim Induk IPG.
Penampilan
memaparkan pendirian, gaya melambangkan pemikiran, suara melambangkan kekuatan,
dan hujah melambangkan kebijaksanaan.
Majoriti calon JPP yang menyertai MBP semalam gagal menonjolkan penampilan
seorang guru, apatah lagi seorang pemimpin peringkat glokal yang cemerlang. Pemakaian yang terlalu santai,
menyimpang dengan arus sebenar dunia kepimpinan, dan keguruan. Pada MBP para
calon sewajarnya membawa penampilan yang
mampu menambat kepercayaan dengan hanya sekilas pandangan. Saya teringat
pesanan seorang tokoh pemikir barat iaitu Malcolm Gladwell di dalam bukunya
yang bertajuk Blink. Kata Gladwell, “suatu ketika dahulu kita memerlukan masa
yang terlalu lama untuk mengenali seseorang, dan adakalanya ketika kita sudah
mengenali si dia dengan sebenarnya, si dia telah selesai memanipulasi kita.
Lantas, kita perlu mengenali seseorang dengan sekilas pandang, dan tentunya
pandangan pertama adalah pada wajah, tubuh, dan pakaiannya”. Anda akan
mempelajari teknik yang dibahaskan oleh Gladwell ini, sekiranya anda berusaha
memiliki buku karangannya.
Sebagai pemimpin, komunikasi sangat
penting, namun saya tidak akan mengulas dengan panjang pada masalah komunikasi para calon JPP semasa
MBP kerana memahami mereka merupakan pemimpin-pemimpin muda yang sedang
belajar, dan akan sentiasa menambah baik mutu komunikasi, dan kemahiran berucap
mereka dari masa ke masa. Sungguhpun demikian, beberapa perkara asas seperti lontaran suara, pemilihan perkataan, kekuatan
tatabahasa dalam motto, dan laras bahasa perlu diberi perhatian yang serius
oleh setiap calon.
DEBAT
YANG DIPERTUA
Saya cukup teruja apabila kedua orang
calon YDP berada di pentas yang sama mengemukakan manifesto mereka, dan
menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh para pengundi. Menyedari jawatan
YDP merupakan jawatan paling utama, maka memberi keyakinan kepada saya calon
yang merebut jawatan tersebut sudah mempunyai
kredibiliti, serta kemahiran yang baik.
Dari segi pemakaian, atau penampilan
seorang pemimpin, kedua mereka tampil dengan penampilan serta gaya yang sederhana. Keduanya memakai pakaian yang
tidak melebihi untuk dibandingkan antara satu sama lain. Namun, melihat pada aspek komunikasi, salah seorang calon YDP mempunyai
kelebihan yang ketara. Saya tertarik dengan soalan teknikal yang
dikemukakan oleh wakil pengundi lelaki. Soalan tersebut memaparkan pengalaman
yang dimiliki calon YPD dalam menangani masalah birokrasi di IPG. Semasa
mendengar soalan, saya menuntut jawapan
yang ringkas, padat, dan berguna. Kedua calon YDP telah memberi penerangan
yang baik, namun ketika menilai dari aspek psikolinguistik, kelemahan salah
seorang calon sangat menyerlah. Penerangan
yang terlalu panjang, dengan sebutan perkataan secara pipih, serta pergerakan
ke depan dan belakang secara berulang kali menunjukkan calon tersebut tidak yakin
dengan jawapan yang diberi. Manakala, calon YDP selainnya, memberi jawapan
dengan tegas, dan meletakkan dirinya sebagai mangsa birokrasi tersebut. Sebutan perkataan “sekiranya saya berada di
dalam situasi tersebut” merupakan ayat keemasan seorang pemimpin yang sangat
dengan dengan rakyatnya. Sebutan perkataan calon YDP tersebut adalah
bulat-bulat, dan kedengaran tegas, melambangkan keyakinan.
Soalan psikologi yang ditanya oleh wakil
pengundi wanita juga agak mencabar, dan mencetus keadaan yang seakan polemik.
Dan jawapan yang diberi oleh kedua calon YDP sangat tipikal, tanpa sebarang
kejutan. Jika saya diberi peluang bertanya soalan, tentu sekali saya akan
bertanya “saya hanya akan mengundi salah
seorang daripada calon YDP ini, maka kenapa saudara berasa saya perlu undi
saudara, berbanding orang yang berada di sebelah saudara itu?”
CADANGAN
Pada masa akan datang, saya berharap
JPRK akan terus berusaha menambah baik MBP. Berikut merupakan beberapa cadangan
daripada saya.
1.
Mengadakan etika pemakaian para calon JPP
2.
MBP diadakan selama 2 hari, hari pertama untuk
memperkenalkan calon, hari kedua untuk bentang manifesto.
3.
Mewujudkan jawatan Pencatat Isu yang akan mencatat
isu-isu yang dikemukakan calon, kemudian dihantar kepada pihak eksekutif IPG,
bagi memberi peluang kepada pihak eksekutif untuk memahami kehendak guru
pelatih.
4. Mewujudkan Debat YDP dengan mengambil format Debat
Presiden.
5. Meluaskan had tempat penganjuran MBP bukan hanya di Dewan
al Farabi, namun boleh diadakan di tempat terbuka seperti di tempat parkir kenderaan kolej kediaman.
6. Setiap calon yang bertanding mesti memahami portfolio
yang direbut.
7. Hujah yang dikemukakan calon hendaklah selari dengan
undang-undang IPGM.
Kesimpulannya, MBP telah dianjurkan
dengan baik, dan saya yakin akan sentiasa ditambah baik dari masa ke masa. Saya
mengucapkan jutaan terima kasih atas kebaikan JPRK membuka ruang untuk saya
hadir semasa MBP. Kepada para calon, saya ucapkan sejuta tahniah kerana telah
berani tampil di pentas, dan memberi ucapan yang sangat bermakna. Mengenai
kritikan, dan komen, saya berharap semua pihak bersedia menerimanya dengan
terbuka demi kebaikan bersama.
Sekian, terima kasih.