Wednesday, 5 February 2014

Secangkir Susu Dari Mimpi

Aku termimpi,
Bermimpi pada suatu pagi,
Menghirup secangkir susu,
Disuakan kepadaku oleh sang gadis membisu,
Yang tertutup wajahnya tidak terlihat
Hanya terbayang selendangnya
Yang berhias kepingan duit keemasan.

Daripada mangkuk indah,
Aku yakin itu emas.
Aku hirup secangkir susu yang manis,
Terbawa-bawa rasa yang enak sedari mimpi,
Sampailah ketika ini.

Lantas menggamit rindu,
Pada gadis yang membisu.

Bila lagi mimpi itu datang lagi,
Ingin ku tanya namamu,
Dan mengapa pada bibirku dikau suakan minuman?
Sedangkan ramai lagi arjuna hebat mengiringimu.

Wahai gadis yang membisu,

Hatiku berakar rindu.

Tuesday, 4 February 2014

Keliru

Saban masa, saya keliru, rasa cuai dengan perasaan sendiri. Dalam pada menunggu penempatan kerja, banyak masa saya berfikir, berfikir mengenai perasaan saya sendiri, setelah penat memikirkan perasaan orang lain. 

Saya fikirkan perasaan saya apabila terpisah dengan Mama nanti. Mama tidak sihat, hanya ditemani oleh adik bongsu yang berusia 16 tahun di kediaman kami ini. Apabila adik ke sekolah, Mama sendirian, dan tentu sekali sayalah yang pertamanya dipeluk gelisah dan ketakutan. Saya ingin sekali bersama Mama sepanjang masa, menjaga, dan menunaikan segala kehendaknya. 

Namun,

Bagaimana pula dengan Abah di Kuala Lumpur sana? Siapa pula yang bakal mengambil tanggungjawab menjaga, dan mengambil berat pada dirinya yang dimamah usia. Semenjak berpisah dengan Mama pada tahun 2008, Abah tinggal di Kuala Lumpur sendirian. Abah menolak untuk tinggal bersama Abang, dan tentu sekali saya memahami sebabnya. 

Semenjak kecil, saya bercita-cita untuk menjaga Abah dan Mama, membelai mereka sedaya yang saya mampu. Pahala saya tidak banyak, lantas bagaimana lagi untuk merayu syurga Allah jika tidak melalui bakti pada Abah dan Mama. Saya ingin keduanya bahagia, dan saya menjadi anak yang adil dalam memberi serta menerima kasih sayang mereka. 

Sebelum cuti ini, saya menanam cita-cita untuk menjenguk Abah di Kuala Lumpur, namun niat hanya tinggal niat, kerana kesihatan Mama tidak mengizinkan saya meninggalkan Mama sendirian. Abah kini tidak lagi menjawab panggilan telefon saya, tentu sekali berkecil hati kerana saya mungkir janji untuk tinggal bersamanya. 

Saya mengeluh, ya saya memang mengeluh. Mengeluh kerana buntu untuk mencari penyelesaian. Mama sudah memberi amaran awal-awal, sekiranya Abah dibenarkan memasuki dewan semasa konvokesyen nanti, Mama tidak akan turut serta meraikan Hari Jubah saya. Aduhai, pertelingkahan ini benar-benar merunsingkan saya. Apalah jalan penyelesaian yang terbaik, saya sudah buntu.

Wahai Allah, tuntunlah tanganku ke arah jalan penyelesaian pertelingkahan antara kedua orang tuaku, dan kemudian pertemukanlah aku pada penyelesaian masalah aku untuk berbakti kepada mereka berdua secara adil. 

Hilang Rasa

Saya hilang rasa,
hilang rasa bimbang,
hilang rasa rindu,
hilang rasa sayu,
hilang rasa cinta,
lantas saya hilang sendu.

Saya hilang rasa,
rasa untuk terus mencintai,
dan dicintai.

Saya hilang rasa,
rasa untuk memiliki,
dan dimiliki.

Tapi,
kerana kehilangan rasa itu,
rasa takut hingar sekali,
saya takut lupakan awak.

Saya takut ingatan pada kenangan kita pudar,
saya takut berhenti mencari awak.

Wahai Sang Rasa,
apakah tarian kalian dalam dadaku mabuk,
aku yang hidup ini teroleng-oleng,
mencari suatu yang tidak pasti,
perasaan lantas tidak berperasaan.

Wahai Sang Rasa,
racun apakah teresap dalam jiwaku?