Showing posts with label Puisi. Show all posts
Showing posts with label Puisi. Show all posts

Tuesday, 18 March 2014

Sekuntum Hari Yang Bernama Rindu

Wahai sekuntum hati yang bernama rindu,
Dikau memberi aku sejambak wajah,
Wajah-wajah yang aku rindu
Wajah-wajah yang aku tangisi
Wajah-wajah yang aku cintai
Wajah-wajah yang sunyi dan sepi.

Sekuntum hati yang bernama rindu,
Terpercik dari alur cinta yang tak bertepi,
Menongkah onak dan ranjau
Menerjah muara mimpi.

Kalian merupakan sampan dan kolek,
Tempat aku bersinggah dan dibawa arus
Teroleng-oleng disanggah badai,
Terhempas jatuh
Terpulas layu
Tersadai di pulau tanpa nama.

Ya
Sekuntum hati yang bernama rindu
Takkan dimengerti
Kerana aku rahsiakan begini
Secangkir rahsia dalam lautan cinta
Takkan mampu memadamkan ingatan
Yang kita pernah cipta bersama

Biarkan aku lupa
Pada sekuntum hati yang bernama rindu.





Wednesday, 5 February 2014

Secangkir Susu Dari Mimpi

Aku termimpi,
Bermimpi pada suatu pagi,
Menghirup secangkir susu,
Disuakan kepadaku oleh sang gadis membisu,
Yang tertutup wajahnya tidak terlihat
Hanya terbayang selendangnya
Yang berhias kepingan duit keemasan.

Daripada mangkuk indah,
Aku yakin itu emas.
Aku hirup secangkir susu yang manis,
Terbawa-bawa rasa yang enak sedari mimpi,
Sampailah ketika ini.

Lantas menggamit rindu,
Pada gadis yang membisu.

Bila lagi mimpi itu datang lagi,
Ingin ku tanya namamu,
Dan mengapa pada bibirku dikau suakan minuman?
Sedangkan ramai lagi arjuna hebat mengiringimu.

Wahai gadis yang membisu,

Hatiku berakar rindu.

Tuesday, 4 February 2014

Hilang Rasa

Saya hilang rasa,
hilang rasa bimbang,
hilang rasa rindu,
hilang rasa sayu,
hilang rasa cinta,
lantas saya hilang sendu.

Saya hilang rasa,
rasa untuk terus mencintai,
dan dicintai.

Saya hilang rasa,
rasa untuk memiliki,
dan dimiliki.

Tapi,
kerana kehilangan rasa itu,
rasa takut hingar sekali,
saya takut lupakan awak.

Saya takut ingatan pada kenangan kita pudar,
saya takut berhenti mencari awak.

Wahai Sang Rasa,
apakah tarian kalian dalam dadaku mabuk,
aku yang hidup ini teroleng-oleng,
mencari suatu yang tidak pasti,
perasaan lantas tidak berperasaan.

Wahai Sang Rasa,
racun apakah teresap dalam jiwaku?

Monday, 30 December 2013

Kesian

Kesian.. kesian.. kesian..
Kesian pada si buta yang pada matanya tergonggong kebodohan,
Dipercayai TV sebulat mutlaknya,
Seolah tertipu jutaan rakyat mengenai kemiskinan dirimu.

Antara TURUN dengan GULING,
tak sama takkan sama.
Sungguh berguling membawa turun,
jika langkah terjaga turun tak berguling.

Wahai yang sedang meneguk darah dari bejana emas,
TAHNIAH!

Tuesday, 17 December 2013

Kelantan Di Hatiku

Dalam negara
Jauh pernah aku jejaki
Berjuta bekas aku tinggalkan
Namun
Cinta tetap pada pertama
Buah tangan warisan lama
Untuk dikenang anak muda

Cerita banyak bermula di sini
Pada kesederhanaan dan kekerasan
Banyak sekali

Menjunjung kasih pada Sultan
Jasadnya mulia tingkahnya sederhana
Namun hatinya sejuta kaya
Islam dijunjung
Raja disanjung
Rakyat dipayung

Kadang-kadang
Awan tersinggung pada hujan
Hingga enggan berlari pada muka langit
Namun
Di sini tidak tandus

Pada daratnya
Bukanlah tempat kemewahan
Bukan tempat bersenang lenang
Namun
Kayalah jikalau berdagang

Kitab tua banyak di sini
Seusia dengan ulama melata di bumi
Di sini tempat murid bertemu guru
Akhirnya murid menjadi guru

Tanahnya lembut
Salah berpijak bisa jerlus
Bukan tenggelam
Cuma peringatan
Bumi ini milik Tuhan
Maka pada Tuhan kita berkerajaan

Inilah bumi satu
Menari pada merah dan putih
Tergantung pada nadi berdesir
Cintaku bersemi di sini

Kelantan Darul Naim.

Dalam Antara Kenangan

Di antara hutan bukit dan sungai
Di antara kehijauan fana dan keruhnya air
Berhadapan dataran rata kehijauan
Berdekatan rumah tua yang uzur
Hampir benar dengan sebuah perkuburan usang
Di situ sebuah kilang ilmuan cendekiawan
Sekolah Kebangsaan Manek Urai

Di tengah azmat sebuah desa
Padat dan rapat
Berdekatan sebuah stesen kereta api lama
Gertak besi yang bersejarah
Dan
Pasar Sabtu yang dirindui perantau
Itulah sebuah binaan biasa
Melahirkan insan luar biasa
Sekolah Kebangsaan Manek Urai

Tidak jauh dari Pengkalan Tangga Batu
Yang sibuk suatu ketika dahulu
Berhadapan dataran hijau
Yang mencatat sejuta sejarah
Tentang mak yong, wayang kulit, dan wayang pacak
Masih di situ
Berdiri dengan zuhud sebuah sekolah tua
Perlahan meniti zaman
Dalam kesabaran tidak pernah lelah
Memancarkan sejuta harapan
Pada segenap anak desa
Yang ingin menjadi dewasa
Sekolah Kebangsaan Manek Urai

Biarpun jauh merandai dunia
Menitip segala kejayaan dan kemenangan
Semuanya bermula dengan sabar seorang guru biasa
Mengajar tulis, baca, mengaji, dan mengira
Di sebuah sekolah tua yang luar biasa
Sekolah Kebangsaan Manek Urai

Manek Urai Di Hatiku

Entah dari mana asal namanya
Mungkin dari manik yang terurai
Atau pada lagendanya Puteri Mayang Mengurai
Atau juga pada mitos hujan manik
Apa pun
Nama Manek Urai tetap dalam ingatan

Sungguhpun kaki melangkah jauh
Meninggalkan rona desa yang biasa
Mencapai ibu kota yang dewasa
Setiap adanya masa terluang
Ingatan tidak pernah lupa
Akulah anak biasa
Dari desa biasa Manek Urai

Hinggap pada hijaunya pemandangan
Berlapis-lapis umpama rumputan pelangi
Menggamit sejuta memori:

Pada sungainya yang keruh di musim hujan
Di situlah aku mencari etak dan ara
Berenang-renang ke tepian
Tatkala balak tempat berpijak dihanyut air yang deras

Pada kebun tua sebelah padang di belakang rumah
Aku dihambat berlari ketakutan
Sehingga bersembunyi dalam enau tanjung
Di bawah pohon pauh kumbang
Kerana mencuri durian, sentul, dan rambai

Maka anak kecil itu dewasa
Membawa parut kerana kenakalan masa kecil
Kadang-kadang
Bila kaki disengat ngilu
Teringat kenangan mengail bersama saing
Jatuh di dalam denai
Ku ingat terseliuh
Patah rupanya

Manek Urai
Sungguhpun pada jasadmu yang kian berubah
Ada keisitimewaan yang tidak akan aku lupa
Bunyi bising kereta api menggegarkan gertak besi
Pada Pasir Yey yang menggamit memori
Pada pengkalan Mok Su Esoh yang sentiasa aku ingati
Pada balak di Tanjung Che dan Ayah Man
Pada kebun gemulah Ayah Soh
Pada kedai kayu Pok Man
Pokok ara di sebelahnya
Serta Mok Cik yang mengajar aku mengaji
Mok yang mengasuh dengan sabar
Semuanya akan aku kenang
Sungguhpun diri jauh di perantauan

Manek Urai
Dalam ingatan

Sentiasa 

Monday, 9 December 2013

Sahabat Yang Lupa

Tentu sekali aku tidak lupa padamu.
Aku tidak lupa bukan kerana aku mahu,
namun,
kerana aku tidak mampu melupakanmu.

Aku mengingatimu dalam 1000 perkara,
yang setiap satunya kita pernah soroti bersama.

Bagaimana aku akan lupa?
Sedangkan teras hidupku terbina bersamamu.

Bagaimana aku akan lupa?
Sedangkan aku cicip kemanisan ini keranamu.

Aku tidak lupa,
namun,
kau mungkin lupa.

Kau lupa aku mengikutimu ke daerah asing itu,
sedangkan aku meninggalkan hak persenangan yang aku miliki.

Kau lupa aku mengosongkan poketku,
sedangkan aku boleh membiarkan dikau kebuluran sendiri.

Kau lupa aku setia bersamamu,
saat dunia berpaling daripada mempercayaimu.

Kau lupa aku yang terakhir meninggalkanmu,
setelah air mata ini kering merayu HARGAILAH AKU.

Siapa aku di hatimu?
Benarlah aku tiada di hatimu.

Saturday, 7 December 2013

Habis Manis Sepahku Kau Luah!

Masa diperlukan,
aku dihubungi setiap masa.

Bila urusan telah selesai,
dikau diam umpama aku tiada rasa.

Masa berlalu

Berlalu

Berlalu

Berlalu

Aku memendam rindu,
menyatakan rindu.

Kau diam

diam

diam

terus diam.

Hari ini,
sesaat tadi
WeChatku berbunyi,
RUPANYA DIKAU KEPINGIN BANTUANKU LAGI.

Hati berbagi
antara membantu atau membatu?


Sunday, 24 November 2013

Siapa Pencuri Rusuk Kiriku?

Siapa pencuri rusuk kiriku
Adakah dia yang aku jumpa di jalanan tadi
Yang pakainya sekadar menutup kulit

Siapa pencuri rusuk kiriku
Adakah dia yang aku jumpa di jalanan tadi
Yang suaranya menusuk gemersik

Siapa pencuri rusuk kiriku
Adakah dia yang aku jumpa di jalanan tadi
Yang wajahnya tercoret solekan menarik

Siapa pencuri rusuk kiriku
Adakah dia yang aku jumpa di jalanan tadi
Yang cerianya membuatkan orang ketawa

Siapa pencuri rusuk kiriku
Adakah dia yang aku jumpa di jalanan tadi
Yang ramahnya membuatkan bicara bermula

Siapa pencuri rusuk kiriku
Adakah dia yang aku jumpa di jalanan tadi
Yang ukhwahnya menemani sahabat lelakinya

Siapa pencuri rusuk kiriku
Biar siapapun ia
Aku harap
Biarlah dia muslimah yang aku jumpa di jalanan tadi
Pakainya membuatkan dirinya mulia
Suaranya suatu rahsia kebanggaannya
Wajahnya suatu kecantikan yang sederhana
Cerianya hanya untuk mengubat luka
Ramahnya hanya untuk kenalan halalnya
Ukhwahnya dijaga hanya untuk mencapai
Redha Tuhannya

Siapa pencuri rusuk kiriku
Aku harap dia muslimah di jalanan tadi
Akan aku cintainya selagi dia mencintai TuhanNya

Warkah Buat Suami

Suamiku,
Ini pesan dari teman wanitamu,
Yang kemudian menjadi isterimu,
Dan kini ibu kepada anak perempuanmu.

Kini daku lihat dikau banyak membungkam,
Kata dan madahmu hilang ditelan angan
Daku rindukan sebentuk penghargaan
Bukan emas mahupun intan
Namun cukuplah sekadar gurauan, dan pelukan.

Daku masih isterimu yang dahulu,
Sebagaimana perkenalan,
Setelah berkelana diriku tetap begini,
Mungkin susukku tidak seanggun dulu,
Kerana bukan sedikit urat yang putus
bukan sedikit luka dan parut,
saat zuriat kita menjengah dunia.

Suamiku,
Cintaku padamu tidak pernah berkurang,
Bahkan sentiasa bertambah,
Entah dari mana bermulanya lautan cinta ini,
Sedar-sedar,
Daku sudah berlabuh pada syurga dunia.

Suamiku,
Andai ada yang tersilap maka maafkanlah daku,
Jangan hilangkan cintamu padaku,
Kerana hatiku sudah dikau ukir dengan kasihmu.

Pada Allah daku rafakkan doa serta harapan,
Agar cinta kita kembali berbahagia,
Gagahilah dirimu duhai perwiraku,
Tempuhilah arus dengan iman dan taqwa,
Daku akan sentiasa bersamamu,
Dengan tega dan lantang,

“Maralah suamiku, daku sentiasa ada di sisimu”


ini adalah antara puisi terawal saya yang saya nukilkan untuk sahabat saya yang mengadu mengenai suaminya kepada saya... Alhamdulillah, kini mereka bahagia semula... segala puji hanyalah untuk Allah

Belum Selesai

Kerjaku masih belum selesai
Waktu yang ada umpama menyekat jalannya.

Sering sahaja aku terluka
Dalam selumbar yang tersengaja
Aku jatuh tertiarap
Dan bangun semula
Dengan kelahiran yang baru
Dalam sejuta kekuatan

Masa umpama roda
Ia berputar
Aku harap ia berhenti
Namun
Hentinya ia
Sama dengan hentinya denyut nadiku

Biarlah aku berletih pada dunia ini
Aku mengharapkan rehat di alam sana
Sungguhpun sukar
Inilah sunnah perjalanan
Tidak akan mundur
Selagi nyawa belum berterabur

Aku
Tidak akan mengeluh
Sebagai hamba Tuhan
Letihnya sering terubat
Namun
Aku letih dengan karenah manusia
Dia mengerti bila hatiku luka
Ubatnya tidak akan pernah sampai
Kerana dia bukanlah semulia Tuhan.

Cintaku
Agar akan datang
Aku semangat dengan citra
Katarsisnya membuahkan ceria
Galang ini bukanlah kegembiraan
Namun
Cukuplah aku tenang
Dulu
Kini
Akan datang
bersamanya

Aku Pun Rindu.

Subhanallah
Jika inilah rindu
Maka tekakku terlalu haus
Untuk dibasahi dengan kenikmatan
Kerana terlalu rindu padanya
KekasihMu jua

Pada pipi yang bercabang merah
Di situ mengalir mutiara yang cair
Saat termanggu dan termenung
Ada masalah mengikat belikat
Rindunya aku pada nasihat
Dari insan semulia Muhammad

Rasanya ingin sahaja aku berlari
Mendapatkan susuknya yang kekar
Peluk dengan kejap
Dan bertanya
“Ya Rasulullah..
ajarkan daku ketabahan,
ajarkan daku kesabaran,
ajarkan daku kekuatan,
ajarkan daku kehidupan,
ajarkan daku perjuangan,
ajarkan daku cara mengubat kerinduan.”

Kalau boleh
Aku ingin menjadi si Samurah
Pohon yang taat pada perintahmu
Merengek merinduimu

Kalau boleh
Aku ingin menjadi Uwais al Qarni
Hidup untuk merinduimu
Setiap saat
Hamburan debu padang pasir
Tidak mungkin mengilangkan
Rintih dan kesayuan
Degup cintanya padamu

Maka citra mengenai ingatan
Pada kisah yang membuatkan pipiku basah
Suaraku bersedu sedan

Sabda mu:
Saudaraku ialah ialah mereka yang belum pernah melihatku
tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasul Allah dan
mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku
melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka.

Dan
Dikau ditanya oleh sahabatmu lagi
Siapakah yang benar-benar beriman
Malaikat pun bukan
Sahabatpun bukan
Maka siapa yang benar-benar beriman?

Sabda mu: 

Mereka ialah umatku yang hidup selepasku.
Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya.
Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku.
Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku
tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.
"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap dirimu bernada sayu.

Demi Allah
Hari ini daku menjawab
Aku pun rindu
Ya Rasulullah
Jangan tinggalkan kami di Mahsyar nanti
Pada saat harta bumi tidak berharga
Kauthar dan kemurahanmu
Menjadi peneduh
Buat kami sekalian ummatmu.


Wait (Tunggu)

Apa dikau tahu harga dirimu
Jika tahu
Maka nilaikanlah untuk dimiliki
Jika tidak
Diam sahaja

Apa sebuah harga untuk barangan
Sedangkan dirimu bukan biasa
Bukan terjumpa atau dijumpai
Melainkan dicari
Dengan hati bersuluh iman

Kalau harganya juta
Maka hanya jutawan pemiliknya
Sedangkan daku lihat fakir juga ada
Bahkan bahagia biasa juga

Kerana
Yang memiliki itu hati
Atmanya suci
Sudah dikhabarkan dari dahulu
Permata unggul untuk emas terindah
Dan kaca hanya untuk besi

Dikau baik
Temanmu juga baik
Baik di mata Allah
Dikau nakal
Temanmu juga nakal

Sabar ya
Sabar itu keimananmu
Dia akan hadir
Cuma masa sahaja
Dan
Dikau akan termanggu sambil bermadah
“rupanya dia jodohku! hahaha”

Bunga-bunga Cintaku

Hari ini mekarnya bukan seperti semalam
Indahnya banyak yang hilang
Harumnya sudah terbang
Rumpunnya sudah terbuang

Hari ini adanya di tengah laman,
Menjadi hiasan dipuja orang
Dalam diam pujangga kebanggaan
Sedangkan dirinya hanyalah jambangan

Hari berganti hari
Kuntuman kian layu
Gugur ia di dahan
Dahulu dipuja orang
Kini ingin kembali ke rumpun
Namun rumpun sudah tawar rindunya
Dan bunga
Gugur di jambangan…

Allahu Robbi (Allah Tuhanku)

Allah
mencintaiMu adalah impianku
impian yang dibina dengan perilaku
kadang-kadang bila dikuasai nafsu
diri tertipu dengan keindahan yang palsu
bertaubat sujud kepadaMu
memohon hati yang baru.

Allah
Telah aku kenali Islam ini
Bermula daripada jahil tidak mengerti
Bermula daripada gelap mata hati
Syukur dan puji pada Illahi
Hadiyah akhirnya menyapa diri
Aku sambut sejuta peri
Menggadaikan diri untuk agama sejati

Allah
Aku tahu diriMu Maha Mengerti
Mampu memahami gerak geri
Tahu apa yang terbuku di hati
Sarat terkandung memakan diri
Hanya padaMu Ya Robbi
Pada sujud di pagi hari
Air mata bergentayangan pada pipi
Mengenang ujian yang Dikau beri

Allah
Jika ini demikian suratan
Aku redha pada ketetapan
Jika dunia ini tiada kebahagiaan
Pada janjiMu aku bergantungan
Mengharap kebahagiaan dalam ribaan Tuhan
Itu harapan damba-dambaan.

Allah
hambaMu ini sering terlupa
bahawa dirinya pedagang cuma
datang dan pergi seadanya
tidak perlu berkejar pada dunia
kerana dunia akan hancur jua
yang kekal hanyalah akhirat dan syurga

Allah
Pada kasihMu aku berharap
Harapan ini jangan dibiar ranap
Pada redhaMu idam mengecap
ampunanMu pada setiap cakap
buat hambaMu yang cemerkap
lupa pada Tuan harapan kian lesap
moga hidayah kekal tersingkap
pada hati, jiwa, iman, dan sikap