Showing posts with label Dari Hati. Show all posts
Showing posts with label Dari Hati. Show all posts

Tuesday, 18 March 2014

Selamat Tinggal BIPG

Buat apalah saya memilih hidup yang susah, sedangkan saya ada ruang untuk hidup dalam keadaan senang tanpa tekanan.

Sudahlah saya bina page itu hanya untuk menyenangkan orang, tanpa meminta bayaran walau satu sen. Boleh pula dimarahi saya ini. Lucunya manusia. Sudahlah mendapat dengan percuma, jika ada silap, hendak dimarah pula. Lainlah sekiranya khidmat saya ini berbayar, tentu sekali marah itu perlu. Namun, kerana saya sukarela, sepatutnya mereka tahu bersyukur.

Oleh yang demikian, saya memilih jalan ini. Jalan untuk terus hidup tanpa tekanan, tanpa perlu melayan karenah manusia berhati durja. Wajah-wajah mereka benar-benar merupakan watak kamus tak berperikemanusiaan. Moga Allah, taburkan dalam hati mereka benih kesedaran, bahawa setelah banyak kami menabur budi, terkadang silap memberi, habis yang baik dibakar api, yang buruk juga disimpan subur di dalam hati.

Jika berterusan begini sikap para warga pendidik, maka benarlah, kesilapan pendidikan Malaysia bukanlah pada kurikulum, bukan juga pada politik, namun pada guru yang masih terpuruk bawah tempurung. Tidak mahu berfikir.

Selamat tinggal Berita Institut Pendidikan Guru.

Sampai jumpa lagi.

Tuesday, 4 February 2014

Keliru

Saban masa, saya keliru, rasa cuai dengan perasaan sendiri. Dalam pada menunggu penempatan kerja, banyak masa saya berfikir, berfikir mengenai perasaan saya sendiri, setelah penat memikirkan perasaan orang lain. 

Saya fikirkan perasaan saya apabila terpisah dengan Mama nanti. Mama tidak sihat, hanya ditemani oleh adik bongsu yang berusia 16 tahun di kediaman kami ini. Apabila adik ke sekolah, Mama sendirian, dan tentu sekali sayalah yang pertamanya dipeluk gelisah dan ketakutan. Saya ingin sekali bersama Mama sepanjang masa, menjaga, dan menunaikan segala kehendaknya. 

Namun,

Bagaimana pula dengan Abah di Kuala Lumpur sana? Siapa pula yang bakal mengambil tanggungjawab menjaga, dan mengambil berat pada dirinya yang dimamah usia. Semenjak berpisah dengan Mama pada tahun 2008, Abah tinggal di Kuala Lumpur sendirian. Abah menolak untuk tinggal bersama Abang, dan tentu sekali saya memahami sebabnya. 

Semenjak kecil, saya bercita-cita untuk menjaga Abah dan Mama, membelai mereka sedaya yang saya mampu. Pahala saya tidak banyak, lantas bagaimana lagi untuk merayu syurga Allah jika tidak melalui bakti pada Abah dan Mama. Saya ingin keduanya bahagia, dan saya menjadi anak yang adil dalam memberi serta menerima kasih sayang mereka. 

Sebelum cuti ini, saya menanam cita-cita untuk menjenguk Abah di Kuala Lumpur, namun niat hanya tinggal niat, kerana kesihatan Mama tidak mengizinkan saya meninggalkan Mama sendirian. Abah kini tidak lagi menjawab panggilan telefon saya, tentu sekali berkecil hati kerana saya mungkir janji untuk tinggal bersamanya. 

Saya mengeluh, ya saya memang mengeluh. Mengeluh kerana buntu untuk mencari penyelesaian. Mama sudah memberi amaran awal-awal, sekiranya Abah dibenarkan memasuki dewan semasa konvokesyen nanti, Mama tidak akan turut serta meraikan Hari Jubah saya. Aduhai, pertelingkahan ini benar-benar merunsingkan saya. Apalah jalan penyelesaian yang terbaik, saya sudah buntu.

Wahai Allah, tuntunlah tanganku ke arah jalan penyelesaian pertelingkahan antara kedua orang tuaku, dan kemudian pertemukanlah aku pada penyelesaian masalah aku untuk berbakti kepada mereka berdua secara adil. 

Thursday, 12 December 2013

TERIMA KASIH MAMA

"Eh, beberapa hari sahaja lagi, aku berusia 24 tahun"

Telah diri saya pada pagi ini. Tiba-tiba tersedar bahawa 23 tahun dahulu Mama bertarung nyawa untuk melahirkan saya. Sebelum melahirkan saya, Mama 3 kali keguguran, dan saat paling mengecewakan adalah apabila sudah 7 bulan mengandung, tiba-tiba sahaja bayi yang dikandung hilang lesap entah ke mana, yang ditinggalkan hanyalah uri sahaja. Mama redha, mungkin sudah rezeki yang tertulis, hanya 3 orang sahaja anak yang Allah kurniakan. Namun, alangkah bahagianya Mama, apabila pada Oktober 1989 mama disahkan mengandung sekali lagi. Mulai saat itu, Mama mula memperlahankan gerak kerja, tidak lagi lasak, tidak lagi melatih bola jaring untuk pelajar sekolahnya. Alhamdulillah, tiba jua tarikh 2 Julai 1990 bersamaan 8 Zulhijjah 1410, saya dilahirkan. Mengambil sempena perayaan Aidil Adha yang bakal tiba, maka Mama abadikan perkataan Adha di hujung nama saya.

Terima kasih Mama atas pengorbanan, dan jasa yang telah Mama taburkan. 

Abang sayang Mama selamanya. 

Monday, 9 December 2013

Bahagia Sebegini

Kita telah terpisah. Jarak telah menjadi penghalang sebarang pertemuan. Masa telah menjadi dinding yang mengikat kita berjauhan. Namun, saban waktu, dalam setiap helaan nafas, kata rindu diriku padamu tidak pernah putus.

Merindui umpama fitrah diri yang terbentuk daripada perkenalan kita yang singkat namun sungguh bermakna. Aku mengaku, telah jatuh cinta dengan sungguh kuat, sehingga tidak mampu bangkit daripadanya lagi. Entah bagaimana, aku sudah berada dalam muara cinta, di dalam sampan rindu yang dikau bina, dan kita pernah dayungnya bersama.

Tidak pernah aku merasai cinta yang sebegini dalam hayatku. Tidak pernah aku merindu dengan sebegini kuat. Dan, tidak pernah jua aku tidak kuat meluahkan cinta ini padamu. Kebahagiaan yang aku kecapi saban hari bukanlah kerana cinta yang dikau beri, namun kerana aku berasa sungguh indah dapat mencintaimu setiap hari.

Cinta yang aku tuang ke dalam dirimu, tidak akan pernah penuh. Kerana di dalam hatimu tiada bertempat untuk insan sepertiku. Aku mengerti, dan aku fahami bahawa telah tersemat di dalam dirimu cinta untuk insan yang lebih baik, lebih sempurna, lebih dikau sukai, dan kerana itu aku hanya mampu bersimpuh, dan terus mencintai dalam setiap helaan nafasku.

Bagaimana terbitnya cinta seutuh ini? Mungkin kerana perjalanan hidup aku telah dikau penuhi dengan semua kehendak yang aku cita-citakan. Kehendak yang tidak pernah tersimpang daripada jalan cinta pada Tuhan dan RasulNya. Dikau umpama telaga berisi air yang menghilangkan dahaga sang musafir. Dikau umpama dahan yang utuh menjadi tempat hinggap burung yang telah terbang jauh.

Wahai insan yang aku cintai. Semalam aku dihurung mak cik-mak cik ku yang bertanya, dan menyuakan aku pada insan yang sepatutnya aku kahwini. Namun, aku hanya senyum, membalas dengan canda bahawa aku tidak bersedia. Tetapi, sejujurnya aku boleh untuk menyayangi sesiapapun, mengerti sesiapapun, namun aku tidak punya kekuatan, kerana bagai rambut yang telah tersimpul mati, sebegitu kuat jua simpulan cintaku pada dirimu.


Aku di sini, akan selalu menunggu dirimu, sungguhpun bukan untuk memiliki dirimu. Cukuplah aku dapat menatap wajahmu, biarpun tidak akan pernah melelahkan rindu yang berlari di dalam urat nadiku. Aku akan tetap menanti, dan setia pada cinta untuk dirimu. Aku bahagia hidup begini. Bahagia dalam mimpi-mimpi yang indah segala. 

Saturday, 7 December 2013

Gigihkah Sistem Pendidikan Negara Kita?

Siapa saya? Saya bukan siapa-siapa. Jawatan? Saya tak ada jawatan. Anugerah? Pun tak pernah dapat. Gelaran? Bakal allahyarham. Pengiktirafan? Pun tak ada juga. Tapi, kenapa saya nak awak baca tulisan ni? Sebab saya nak awak tahu apa yang saya; anak muda kosong yang tidak punya apa-apa; berfikir, dan pendapat saya. Memang awak akan tak setuju, atau mungkin juga awak setuju. Itu terserah pada awak, sebab saya dah beritahu awal-awal lagi bahawa saya bukanlah siapa-siapa.

Baik, saya ingin beri pendapat mengenai sistem pendidikan negara Malaysia. Saya ulang, saya ingin beri pendapat mengenai sistem pendidikan negara Malaysia. Negara mana? Negara Malaysia. Kepada yang masih belum “kenal Malaysia”; Malaysia merupakan negara kecil di benua Asia, spesifiknya Asia Tenggara. Jiran terdekat Malaysia adalah Brunei, Indonesia, Singapura, dan Thailand. Malaysia ada KLCC, ada Putrajaya, ada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Haji Salleh, Tun Dr. Mahathir, Siti Nurhaliza, Nicol David, Lee Chong Wei, dan Tony Fernandes. Kalau tak kenal juga, sila tanya pak cik Google.

Bila berbicara mengenai sistem, ia merupakan bicara yang terlalu luas. Kerana, sistem itu sendiri melambangkan perkaitan banyak perkara, kerumitan yang saling bersangkut paut, dan amat memeningkan. Jadi, saya kecilkan skop perbincangan sistem pendidikan, saya hanya akan beri pendapat kepada satu topik kecil, paling kecil, amat kecil, terlalu kecil, tapi paling penting. Apa itu? Saya ingin beri pendapat mengenai kurikulum pendidikan di Malaysia. Wah, kau siapa nak bagi pendapat? Mungkin anda terdetik sebegitu, jadi baca balik perenggan pertama tulisan ini.  (^^,)

Saya akui, kurikulum pendidikan Malaysia samada yang lama, baru, mahupun terbaharu sememangnya baik, dan boleh dipuji. Kehendak negara digarap jelas di dalamnya. Negara mahukan rakyatnya cemerlang bahasa Melayu, matematik, sains, bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Ekonomi Asas, Sains Rumah Tangga, dan puluhan lagi subjek yang malas saya senaraikan. Dahulu, pelajar boleh mengambil paling sedikit 6 subjek untuk SPM, dan tiada had maksima, kemudiannya tanpa sebab yang diketahui (mungkin saya jahil) subjek untuk SPM dihadkan kepada 10 sahaja. Jadi, tiada lagi berita gempar pelajar dapat 20 A, 19 A, 18 A, dan sebagainya. Sedihkan? Kehebatan pelajar Malaysia dalam mendalami puluhan subjek serentak kini tinggal sejarah sahaja.

Tapi, persoalan saya : sejauh mana kurikulum ini telah membawa kita? Oh ya, kita sudah ke angkasa. Ya, agak jauh. Berapa orang yang ke angkasa tu? 1000 orang? 100 orang? 10 orang? Hanya 1 orang sahaja kan? Baik, jadi kurikulum kita setelah 50 tahun mampu lahirkan SEORANG angkasawan. Baik, itu merupakan pencapaian yang patut dipuji, sebab ada sesetengah negara masih belum ada walau seorang pun angkasawan. Berapa kali angkasawan kita naik ke angkasa? 10 kali? 20 kali? Atau berapa? Anda cari sendiri, dan itulah apa yang kurikulum kita mampu beri setelah 50 tahun. Kepada yang sedang membaca (tahniah sebab anda masih sudi membaca!) adakah kurikulum yang kita pernah lalui, sedang lalui, bakal lalui menjadikan kita manusia yang gigih?

Kurikulum negara kita telah berjaya melahirkan bijak pandai, namun tidak sedikit juga yang terkandas, dan kita namakan mereka penganggur. Kadang kala mereka mengemis, tidak kurang yang menjadi kutu rayau, penjenayah, penagih dadah, dan penghuni penjara serta pusat serenti. Namun, adakah pernah kita ambil masa seketika, muhasabah seketika, dan menggelarkan mereka sebagai mangsa sistem pendidikan negara? Mereka merupakan mangsa ketempangan kurikulum yang terbina, mangsa kepincangan industri pendidikan, mangsa ketidaktelusan skala peperiksaan.

Kurikulum pendidikan merupakan nadi negara. Lebih penting daripada pertahanan negara. Lebih penting daripada kedaulatan seorang sultan. Lebih penting daripada parti politik. Lebih penting daripada keamanan, dan kekayaan. Kenapa? Tanpa pendidikan, pertahanan, kedaulatan, politik, dan keamanan tidak akan dihargai, lalu kita akan mencincang negara kita sendiri, kerana jahil, dan kebodohan. Kurikulum ibarat kepala seorang manusia. Kita boleh hidup tanpa kaki, tanpa tangan, tanpa hidung, namun bolehkah kita hidup tanpa kepala? (Saya maksudkan kepala yang terletaknya hidung, mulut, otak, mata, telinga, dan rambut, bukan kepala lutut, atau selainnya.)

Ada menteri suka merujuk Finland untuk pendidikan, namun saya suka merujuk Palestin. Sebuah negara bergolak yang mencari keamanan setelah sekian lama penjuru itu dicuri. Palestin tidak aman, namun bagaimana negara itu hidup? Bagaimana perkembangan ekonomi? Bagaimana dengan makan, minum, pakai, tempat tinggal? Kita sering melihat penduduknya dibunuh, berpuluh tahun lamanya, namun mereka bangkit, terus bangkit, tanpa sehari pun berkurang semangat kebangkitan mereka? Apa kekuatan mereka? Apa rahsia mereka? Jawapannya, pendidikan. Pendidikan negara mereka, pendidikan yang bukan sahaja memberi mereka pandai, namun memberi mereka kegigihan. Mereka hidup sehingga hari ini, mempertahankan al Aqsa bukan kerana mereka pandai, namun kerana mereka pandai, dan gigih.

Mari kita lihat negara kita. Negara yang kita sayang, cinta, sanjung, dan pertahankan. Soal saya, adakah kita merupakan isi negara yang gigih? Syarat utama gigih adalah kesanggupan untuk bersusah payah. Adakah kita masyarakat yang sebegitu? Adakah kita sanggup bersusah payah untuk negara kita? Adakah pendidikan negara kita berjaya melahirkan anak-anak Malaysia yang gigih? Persoalan ini sungguh berat, dan saya sendiri bergenang air mata ketika menulis bahagian ini. Saya tidak akan menulis berapa banyak Malaysia telah hilang, kerana saya sendiri tidak gigih. Saya tahu, namun saya tidak kuat. Namun, saya ingin soal anda semua, terutama golongan warga emas, KENAPA SAYA PERLUKAN PASPORT UNTUK KE SINGAPURA? Saya belajar dalam sejarah, Singapura merupakan sebahagian Malaysia, namun apa yang anda buat sehingga generasi baru ini kehilangan sebuah destinasi? Saya tinggalkan persoalan untuk anda jawab.

Adakah pendidikan negara mampu menjadikan kita rakyat Malaysia yang gigih? Ledakan teknologi sehingga kini terbukti menjadikan manusia lebih manja. Adakah kurikulum pendidikan negara kita sudah bersedia untuk mematahkan hujah teknologi memanjakan manusia? Adakah kurikulum ini mampu melahirkan 100 orang lagi angkasawan? Saya menulis, namun saya tidak punya jawapan untuk setiap persoalan itu. Melihat kemanjaan murid-murid di sekolah, arus teknologi yang melemaskan, dan hiburan masa kini, keupayaan kurikulum hari ini untuk melahirkan insan yang gigih seakan kabur. Kita mampu melahirkan manusia yang pandai, namun manusia yang gigih?

Cadangan saya : Agamawan, pemimpin, pendidik, belia, dan wakil masyarakat harus berada pada satu landasan, membina satu kesepakatan, membuat satu kesimpulan mengenai persoalan saya. Jika jawapan : kurikulum ini cukup untuk membina masyarakat yang gigih, maka teruskanlah kurikulum ini. Namun jika jawapan menyatakan sebaliknya, maka agamawan, pemimpin, pendidik, belia, dan wakil masyarakat harus bersedia, secara tulus, telus, tanpa dipengaruhi ideologi politik, melangkaui batas bangsa; membina semula landasan pendidikan negara. Kehidupan dunia ini bukan bermula dengan kepandaian, namun kegigihan. Kegigihan itulah yang membuatkan kita hari ini menggelarkan diri kita moden.


Tulisan ini merupakan luahan hati saya. Luahan pemikiran, penaakulan, pemerhatian, dan pembacaan. Saya tahu, terlalu banyak kesilapan di dalamnya. Maka saya mohon kemaafan, dan keredhaan. Saya tidak paksa anda untuk bersetuju dengan pendapat ini, kerana memang sifatnya pendapat itu tidak semuanya tepat. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada anda yang sudi membaca sehingga ke perenggan akhir tulisan ini, anda merupakan penyanjung pendidikan negara, dan anda ambil berat tentang pendidikan negara. Akhirnya, saya sekali lagi memohon kemaafan seandainya tulisan ini ada menyentuh peribadi, dan isu yang tidak menyelesakan. 

Kenal Sehari; 1000 Tahun Terkenang.


PERASAAN TERSEDIH MALAM INI,
HIBA MENGENANGKAN SAHABATKU YANG JAUH,
SEAKAN TIDAK MENGENALI DIRIKU LAGI,
SEDANGKAN AKU TERHUNJAM
DALAM AKAR KERINDUAN PADANYA.

Senyum Itu Bukan Milikku Lagi


TERPISAH KERANA CINTA TUHAN

SAHABATKU,
PERPISAHAN INI BUKANLAH HALANGAN,
NAMUN UJIAN PERSAHABATAN KITA.
DAN,
AKU SUDAH MENDAPAT JAWAPAN BAGI PERSOALANKU.
AKU SUDAH TAHU,
DI MANA AKU DI HATIMU.

AKU TAHU,
AKU FAHAM
AKU MENGERTI.

TERIMA KASIH SAHABAT.


Thursday, 21 November 2013

Kita Berpaling Namun Tidak DIA

Allah, adalah Pemilik dan Tuan Empunya Segalanya, yang kita sangka adalah milik kita. Banyak ketikanya, kita leka dengan pinjamanNya, dan pemberianNya. Namun, Allah tidak murka, bahkan sentiasa menambahkan nikmatNya buat kita. Semakin hari, semakin dewasa usia kita, dirasakan banyak impian kita yang tidak terpenuhi. Kita berdoa, dan meminta kepada Allah, namun Allah seakan enggan melunaskan impian kita. Lalu kita berpaling dari Allah, meninggalkan suruhan, memakai larangan sebagai perhiasan, seakan merajuk dengan Allah, membalas dendam atas Allah yang tidak memakbulkan doa kita. Siapakah kita untuk melakukan sedemikian? Allahu robbi, ampunkan dosa-dosa kami.

Di alam fana ini, kita semakin tamak. Kita membelenggu dunia dengan iri hati, dan dengki, sehingga dunia bermandi darah. Kita banyak meminta, namun kita jarang bersyukur. Kita berpaling dari Allah, namun Allah tidak murka, bahkan Allah hamparkan keampunanNya, dan kemurahanNya untuk kita hampiri. Allah tidak melupakan kita, walau sedetik, bahkan sentiasa dekat dengan kita, sungguhpun kita sering ingin menjauhkan diri dariNya. Lihatlah mereka yang kejam itu, mereka memusnahkan agama mereka, mereka lemas dalam nafsu, mereka berprasangka buruk dengan Allah. Namun, udara siapa yang mereka hirup? Air siapa yang mereka minum? Jasad mereka, siapa yang menciptanya? Darah di dalam pembuluh itu milik siapa? Dan, jantung yang berdegup itu, tanpa henti atas arahan siapa? Saudaraku, usahlah berusaha untuk menjauhi Allah, sedangkan kita berhutang denganNya. Allah, ampunkan kami, redhalah dengan kami, maafkan kelemahan kami. Allah...

Ya Allah, dalam jutaan doaku, semuanya telah Dikau makbulkan. Dikau telah kirimkan kejayaan buat diriku. Dikau kuntumkan kebahagiaan di dalam hidupku. Dikau telah mewangikan jiwaku dengan hidayahMu. Dikau telah mengurniakan daku sebuah keluarga yang memahami. Telah Dikau jua hadiahkan daku sahabat-sahabat yang amat baik. Dan, kesihatan ini amat diriku hargai. Namun, satu daripadanya, aku masih sabar menunggu. Hari demi hari, zikir demi zikir, sujud demi sujud, dan air mata yang mengalir di pipi ini tandanya aku masih setia menunggu dimakbulkan hasratku yang satu itu. Entah bila, mungkin esok, atau lusa, atau mungkin jua di akhirat kelak, aku akan sabar menanti. Allah, sekiranya Dikau telah tetapkan usiaku berakhir sebelum musibah itu terangkat, maka dengan kerendahan hati ini, daku berharap matikanlah diriku dalam iman, dalam ketaqwaan, dan perasaan takut kepadaMu. Allah, sekiranya usiaku dipanjangkan untuk diampunkan dosaku dengan bebanan musibah ini, maka daku redha, dan akan daku tempuhinya dengan sedaya upaya. Namun, alangkah indahnya jika Rasulullah datang memelukku dan mengungkapkan kata semangat agar dapat daku tempuhinya dengan kuat. Pada dada Rasulullah ingin daku hempaskan air mata, daku ingin luahkan bahawa daku takut dengan dunia ini.

Allah, ampunkan kami. Kami mengharapkan ampunanMu, keredhaanMu, dan belas kasihanMu. 



Wajah- Wajah Terindah


Wahai wajah-wajah terindah, bagaimana mungkin aku melupakan kalian?

Ungkapan Pada Dinding Tak Bernyawa

Kepada insan yang tidak kekok untuk saya panggil ayah, ummi, kakak, abang, dan adik. Saya harap anda semua teladani nasihat ini. Jangan jadi seperti saya.

Dahulu, saya ada seorang sahabat, boleh dikatakan kami sangat akrab, terlalu akrab. Bahkan kami pernah berbincang, jika siapa antara kami terlebih dahulu kembali ke Rahmatullah, maka yang masih hidup akan memandikan jenazah. Berbincang tentang syurga, yang kami ingin saling bersebelahan, kerana kami tak kuat untuk berjauhan. Indah, persahabatan syariat yang sangat indah. Ketika ditanya di mana bermula persahabatan indah itu, saat inilah baharu saya sedar, bahawa dia insan pertama yang mentasmi' hafazan surah al Waqiah saya. Ya Allah, berseninya takdir yang Dikau ukir.

Bertahun lamanya kami meniti saat terindah dalam hidup, sehinggalah tragedi 13 Ogos 2013 merubah segalanya 360 darjah. Daripada sahabat yang sangat akrab menjadi, insan yang saling menjauhi. Ya Allah, tidak terbayang bagaimana sakitnya hati saya ketika itu, kerana terpaksa berjauhan dengan insan yang dahulunya umpama nyalir nyali nadi ini. Ya Allah, dugaan apakah ini? Banyak dalam sujud saya menangis, teresak-esak, merengek bagai bayi, meminta kekuatan, merayu kepada Tuhan, agar persahabatan ini kembali terjalin. Apakah tragedi 13 0gos 2013 tersebut, biarlah diri insan yang terlibat sahaja yang mengetahuinya.

Berminggu mendiamkan diri, melayan ego masing-masing, saya sudah tidak tahan lagi. Peritnya derita hanya Allah yang tahu. Lalu, saya pinta sebuah perbincangan, lantas pada suatu petang segala yang terbuku di dalam dada saya luahkan, dan dia berbuat demikian juga. Alhamdulillah, hubungan kembali terjalin. Ukhwah yang renggang bertaut kembali. Kami melayari lagi hari-hari dengan kesederhanaan kasih sebagaimana yang dididik oleh Baginda Rasulullah.

Namun, entah mengapa saya rasakan hubungan selepas perbalahan itu tidak sama lagi. Kami akrab, namun tidak rapat. Dan, kejahatan saya sendiri, mulut senang sahaja mencaci peribadi sahabat itu, tidak seperti dahulu. Ya Allah, apa terjadi pada imanku, dan kesetiaanku pada persahabatan? Lalu, saya jujur dengan diri sendiri, saya perlukan perhatian. Saya perlukan balasan daripada pemberian, bukan sebagai membalas budi, namun cukuplah sekadar untuk saya berasa dihargai. Ya, saya ingin dihargai. Saya ingin dia menelefon saya setelah saya menelefon dia, saya ingin dia memulakan perbualan di SMS setelah saya memulakannya, saya ingin dia mengajak saya keluar bersamanya, setelah saya yang sering memulakan segalanya. Saya inginkan komitmen dia dalam persahabatan. Kerana lemah dengan hasutan syaitan, saya berasa hubungan persahabatan ini tidak adil. Lalu, hari demi hari saya menunggu sesuatu yang saya sebut sebagai komitmen. Saya tagih komitmen itu saat demi saat, namun seumpama menunggu bulan jatuh ke riba, sahabat itu juga diam, dan bungkam. Semakin lama, masing-masing diam, terus diam, senyap, dan kini berjauhan. Kemesraan terbang, hilang entah ke mana. Kekok, dan segan pula menyulami persahabatan kami.

Di mana silap saya? Silap saya ialah saya tidak berusaha untuk meluahkan bahawa saya inginkan komitmen dalam persahabatan ini secara bersemuka. Saya hanya menulis di Facebook, dan blog mengenai perasaan saya, tanpa memilih untuk berbincang. Saya buta, buta dengan ego, dan perasaan tinggi diri. Saya banyak menghitung kebaikan saya untuk dia, sehingga terlupa dosa yang pernah saya buat kepada dia. Ya Allah, sahabat jenis apa saya ini? Saban hari, jika tidak di Facebook, dan blog, saya pilih orang lain untuk meluahkan rasa tidak senang hati, sedangkan saya punya ruang untuk berjumpa, dan berbincang dengan sahabat saya. Akhirnya, kami berpisah sebagai insan asing. Tanpa bersalam, tanpa pelukan, kami berpisah, entah bila akan bertemu lagi.

Hari ini, hati saya tergerak untuk membuka akaun Tweeter setelah didesak beberapa sahabat. Lebihlah saya kecewa, dia juga melakukan yang sedemikian di akaun Tweeter miliknya. Lalu, saya lihat tarikh-tarikh dan status yang ditulis, nyata dia sedang mengharungi kesakitan perpisahan sebagaimana yang saya rasa, namun segalanya terluah di dinding Tweeter yang tidak bernyawa, yang tidak punya perasaan. Sesal, memang ada sesalan yang berbuah di hati saya. Namun, dalam kenyataan sebenar, Allah sedang mengukir sesuatu yang masih belum jelas pada pandangan saya.

Kepada ayah, ummi, kakak, abang, dan adik, jika kalian punyai masalah dalam perhubungan, berbincanglah. Jangan hanya menulis pada dinding-dinding yang tidak bernyawa. Jangan kerana laman sosial, makna silaturrahim yang sebenar mati, dan hilang. Berbincanglah, dalam perbezaan carilah titik persamaan. Bawalah kenangan, dan pengalaman manis yang telah terbina sebagai pengikat hubungan yang retak. Janganlah Facebook, dan Tweeter membaham mangsa yang seterusnya.

Moga Allah mengampunkan dosa saya, dosa sahabat saya, dan dosa kalian.



Mengapa Luahkan di Tweeter? Bukankah Aku Masih Hidup?

Sepatutnya saya sudah lena, namun kejadian petang tadi membuatkan mata ini tidak mahu lena, kerana jiwa terlalu hidup, belum tiba masanya untuk tidur.

Sudah lama, kawan-kawan meminta saya membuat akaun Tweeter, namun saya tak layan, sehinggalah petang tadi. Apabila siap sahaja akaun itu, segera saya cari beberapa nama untuk saya ikuti, sebagai rakan di dunia maya. Nama demi nama saya taip, sehinggalah nama seorang insan yang pernah menjadi sangat istimewa di dalam hidup saya. Saya tahu, sudah lama dia mempunyai akaun Tweeter, dan saya tahu daripada rakan-rakan, bahawa dia sering meluahkan rasa di Tweeter, terutama setelah hubungan saya dan dia retak. Menaip nama dia takkan pernah sesekali tanpa diiringi perasaan rindu yang sangat kuat. Tentu sekali saya sentiasa merindui dia setiap hari, setiap masa, dalam setiap helaan nafas. Dia merupakan sahabat terbaik yang Allah anugerahkan kepada saya, namun kerana Allah juga jadikan saya buta pada jiwa, maka hubungan terindah itu hilang begitu sahaja.

Saya soroti tulisan dia di akaunnya. Seolah melihat sebuah tayangan gambar, satu demi satu kenangan tersingkap, satu demi satu perasaan dia saya faham. Wahai sahabatku, mengapa dikau luahkan di Tweeter, bukankah aku masih hidup? Kenapa tidak bertemu denganku, luahkan bahawa kau tidak senang mengenai hubungan kita yang kian hambar? Sahabatku, aku jenuh menangis dalam sujud, meminta jawapan pada kedegilan hatimu yang seolah langsung tidak memerihalkan aku dalam hidupmu. Aku sunyi tanpa panggilan, dan SMS darimu, lantas aku selalu memulakan perbualan, yang disambut sangat dingin. Aku fikir, dikau membenci diriku, lantas aku banyak mendiamkan diri, menjauhi dirimu.

Wahai sahabatku, mengapa dikau luahkan pada Tweeter? Bukankah aku masih hidup? Atau sebenarnya aku ini dibenci? Lalu mengapa luahan itu tepat dengan keretakan kita? Tarikh-tarikh yang tercatat, semuanya dilalui dengan kelukaan hatiku yang terdalam. Wahai sahabatku, mengapa dikau luahkan pada Tweeter?

Keretakan yang kita sedang alami ini tidak seharusnya berlaku. Kita sepatutnya terus bergembira, dan aku bayangkan perpisahan 15 November lepas merupakan detik yang paling kita takuti, namun dek kerana perpecahan, semuanya dingin, sedingin ais yang tersejuk.


Wahai sahabatku, apakah sudah terlambat? Atau kita masih ada peluang? Hubungilah aku selagi aku masih hidup.